FANA SIRI #10

BAB 23

Katherine duduk bermenung. Wajahnya amat sugul. Tanda hatinya sedang dirundung gundah gulana. Batinnya didera oleh pelbagai persoalan berkisar cintanya terhadap Roshil. Apakah pandangan Roshil terhadapnya selepas kejadian tempoh hari? Persoalan itulah yang paling kuat bergema di fikirannya sekarang.

Memang Roshil menerima maafnya tempoh hari tetapi adakah pemuda itu ikhlas atau hanya sekadar untuk bermanis mulut?

Katherine mengeluh dalam. Menyesal kerana bertindak terburu-buru. Tetapi siapa yang tidak pendek akal bila dihembus kasar oleh cemburu melampau sepanjang waktu? Saingannya pula bukan calang-calang gadis.

Katherine yang sedang gundah gulana itu diperhati oleh Rabbi Yahuda sejak tadi. Lelaki pertengahan usia itu menghampiri Katherine yang sedang duduk di bangku taman.

“Tak sepatutnya engkau mengabaikan bunga-bunga yang sedang mekar,” kata Rabbi Yahuda, menegur Katherine. Teruskan membaca

FANA SIRI #9

BAB 21

Roshil bukan sahaja membesar sebagai ilmuwan tetapi juga sebagai seorang pemuda yang amat baik paras rupanya. Setiap gadis yang bertemu dengannya pasti dipanah cinta seawal pertemuan pertama. Lebih-lebih lagi jika mereka tahu dia dari Istana Abadi. Ramailah gadis yang menagih, mengharap dan mengejar cintanya. Termasuk di dalam senarai gadis-gadis itu ialah Rozanne dan Katherine, anak-anak kandung Richard Rotchield sendiri. Mereka berdua berusaha sedaya upaya untuk memenangi hati Roshil. Tetapi sehingga saat ini belum ada yang mampu memiliki cinta Roshil.

Roshil tahu perasaan Rozanne dan Katherine terhadapnya. Tetapi dia memandang sepi perasaan mereka. Tindakannya itu membuatkan perebutan di antara dua beradik itu menjadi lebih runcing dari hari ke hari. Sampailah ketikanya bila kedua-duanya sudah tidak mampu lagi membendung perasaan cinta itu. Perasaan cemburu mula menjadi pisau tajam yang menghiris hati masing-masing.

Roshil melepaskan pandangannya ke tengah tasik. Dia asyik dengan bayang-bayang bulan purnama yang indah pada permukaan tasik tersebut. Angin yang bertiup lembut dan desir daun yang bergaul harmoni menenangkan hati dan fikirannya.

Siang tadi dirinya diasak oleh pelbagai persoalan ketika sedang melukis langit berawan larat di pinggir Istana Abadi. Asal awan dari air yang disejat dari bumi. Ia lalu menjadi titisan-titisan air di langit. Kemudian ia ditiup angin lalu berkumpul membentuk awan. Bila tiba masanya awan yang semakin memberat itu akan luruh sebagai hujan. Ia menyuburkan tanaman, mengisi empangan-empangan dan membasahkan tanah kemarau. Ketika itulah satu soalan ini muncul? Awan punya asalnya tetapi dia? Tidakkah dia juga berasal? Tapi apakah asal usulnya? Kemudian persoalan lebih besar muncul. Awan bertujuan. Bukan semata hiasan langit atau memberi mendung. Tetapi juga penyubur tanaman, mengisi empangan-empangan dan membasahkan tanah kemarau dan lain-lain. Dia juga tentulah ada tujuan hidup di bumi ini? Apakah tujuan sebenarnya hidup di dunia ini?

“Malam ini indah.” Suara lembut seseorang menerpa dari arah belakang. Teruskan membaca

FANA SIRI #7

BAB 17

Kapal tangki minyak itu selamat tiba di Lautan Hindi. Syeikh Hakim, Sharifah Khadra dan Sayyid Mikyad beralih kapal. Jehan Angria yang mengemudi kapal kontena bernama Putera Laut mengambil alih tugas daripada Noh Reis. Sementara Noh Reis dan Izzuddin kekal di dalam Bunga Kemboja. Kapal tangki minyak itu mengikuti Putera Laut daripada belakang.

Putera Laut belayar tenang. Kini sudah pun sampai di Laut Andaman. Jehan Angria banyak menghabiskan masa di anjungan sambil berbual-bual dengan Syeikh Hakim. Mereka berbual tentang pelbagai perkara berkaitan lautan.

“Dulu bangsa engkau pelaut hebat,” kata Jehan Angria tiba-tiba. Teruskan membaca

FANA SIRI #6

BAB 15

Kini Jiwa Laut berada di Lautan Atlantik Selatan. Di situ ia berdepan pula dengan gyre iaitu pusaran air yang amat besar dan bahaya. Mana-mana kapal yang disedut oleh pusaran air gergasi itu hampir kesemuanya gagal kembali ke permukaan.

Jiwa laut berpusar-pusar di bibir gyre. Tidak lama kemudian haluannya mula disedut ke pusat gyre. Bahagian kiri Jiwa Laut menyenget. Air laut memanjat dek di bahagian kiri. Bahagian kanannya serta merta terangkat sedikit. Teruskan membaca

FANA SIRI #5

Bab 13

Dua buah kumpulan ditubuhkan untuk menghantar kembar itu ke Jira, Tanah Melayu.

Kumpulan Syeikh Hakim menggunakan jalan laut untuk ke Jira. Mereka akan menggunakan laluan : Pelabuhan Bisza – Lautan Atlantik Utara – Lautan Atlantik Selatan – Lautan Hindi – Laut Arab – Laut Bengal – Laut Andaman – Selat Jawi – Pelabuhan Darul Haq di Jira. Bahaya menanti mereka di Lautan Atlantik Utara, Lautan Atlantik Selatan, Lautan Hindi . Segitiga Syaitan dan USS Nimitz menunggu di kedua-dua lautan itu.

Izzuddin sudah dihubungi. Dia adalah keturunan Barbossa yang sudah bermastautin di salah sebuah pulau di Lautan Atlantik. Dia yang amat mahir dalam ilmu pelayaran dan lautan bersetuju untuk mengiringi Kumpulan Syeikh Hakim dari Pelabuhan Bisza hingga ke Laut Arab. Di situ Kumpulan Syeikh Hakim akan diserahkan pula kepada Noh Reis yang sebati dengan Laut Arab. Tiba di Lautan Hindi, tugas untuk mengiringi Kumpulan Syeikh Hakim itu hingga ke Selat Jawi akan tergalas dibahu Jehan Angria. Angkatan Laut Tanah Melayu akan mengambil alih tugas Jehan Angria di Selat Jawi hingga sampai di Pelabuhan Darul Haq.

Sauh Jiwa Laut, kapal kontena yang membawa kumpulan Syeikh Hakim itu pun dinaikkan. Jiwa Laut belayar tenang  meninggalkan Pelabuhan Bisza. Di anjungan, anak-anak kapal Izzuddin tenang mengemudi kapal kontena yang amat besar itu keluar dari muara dengan arahan daripada Izzuddin. Selepas beberapa ketika lautan luas pun terbentanglah di hadapan mereka. Teruskan membaca

FANA SIRI #4

BAB 9

Belum ada petunjuk baru di mana lokasi sebenar Ainul Hayat. Hal ini merungsingkan Richard Rotchield. Dia sudah menggunakan semua sumber ke tahap maksimum. Kredibilitinya sebagai pindar pasti diragui jika projek itu gagal. Kedudukannya pastinya akan dicabar oleh musuh-musuhnya.

Beberapa orang ketua keluarga sudah menyuarakan ketidakpuasan terhadap projek tersebut. Maklumat risikan yang diterimanya juga menunjukkan David Feller sedang menggerakkan usaha untuk menjatuhkannya. Dia tidak mahu hari malang itu berlaku. Dia sayangkan kuasa yang ada padanya. Dia mahu menjadi antara manusia paling berkuasa di atas muka bumi ini selama-lamanya.

“Dokumen dari Istana Raja Portugal tidak membantu. Banyak bahagian yang sudah pudar dan hilang. Tulisan rencong yang digunakan juga terlalu banyak kiasnya,” kata Aharon. “Kita belum dapat merungkai sesetengah makna ayatnya. Ia terlalu pelik dan seolah-olah menyembunyikan sesuatu.”

“Apa kata kumpulan penyelidik kita?” tanya Richard Rotchield. Teruskan membaca

FANA SIRI #3

BAB 6

Bilik bacaan Istana Abadi itu sangat besar. Beribu buku tersusun rapi di rak-rak setinggi siling. Kebanyakkan buku yang ada di situ berusia puluhan malah ratusan tahun. Sebahagiannya amat berharga dan sukar diperolehi. Dinding bilik bacaan itu dihiasi dengan potret-potret besar semua tokoh dalam Keluarga Rotchield. Kebanyakkan tokoh tersebut kurang dikenali dunia tetapi amat berpengaruh dalam mencatur arah tuju dunia.

Tetapi sekarang dialah satu-satunya lelaki normal di dalam keturunan tersebut. Semua sepupu lelakinya cacat bila mencapai usia tertentu. Dan semua anak saudara lelakinya juga mengalami nasib yang sama. Ia pelik tetapi benar. Tiada siapa tahu apa yang berlaku walaupun keturunan Keluarga Rotchield itu sudah melakukan pelbagai cara perubatan terkini untuk mendapatkan zuriat lelaki yang normal.

Richard Rotchield sedang berdiri di hadapan potret Nathan Rotchield. Berdiri di sisinya ialah Aharon yang sejak tadi mendengar acuh tidak acuh Richard Rotchield bercerita tentang salasilah keluarganya dan pencapaian mereka. Semua ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam sudah pulang. Richard Rotchield meminta Aharon tinggal bersamanya. Aharon menerima permintaan Richard Rotchield itu dengan gembira.

 Richard Rotchield melihat lama potret Nathan Rotchield. Keadaan ayahnya sebelum menemui ajal itu terbayang jelas di matanya. Bulu romanya meremang kerana kengerian. Richard Rotchield teringatkan pula penderitaan yang baru dilaluinya. Seolah-olah masih dirasainya bisa-bisa menjalar di dalam urat-uratnya. Serta merta itu mukanya pucat pasi, badannya berpeluh lenjun dan jantungnya berdegup kencang. Richard Rotchield mengalihkan pandangannya secepat kilat ke arah Aharon. Aharon menyambut pandangan Richard Rotchield itu dengan senyuman mengerti.

“Aku tidak mahu mati,” jelas Richard Rotchield. “Aku tak ingin jadi seperti ayahandaku.”

Aharon tersenyum lagi. Lelaki itu sudah tahu apa tujuan Richard Rotchield memintanya menunggu tadi. Richard Rotchield pasti ingin tahu lebih lanjut tentang bisikannya tadi.

“Benarkah aku boleh hidup selama-lamanya?” tanya Richard Rotchield dengan bersungguh-sungguh. Pertanyaannya itu terkandung harapan yang besar.

Aharon ketawa.

“Benarkah?”

Aharon terus ketawa. Teruskan membaca

FANA SIRI #2

BAB 3

Upacara pengebumian Nathan Rotchield itu dihadiri oleh tiga ratus lebih orang penting dari seluruh pelusuk Alam Hitam. Dua belas ketua keluarga, ahli-ahli Majlis Alam Hitam, orang-orang berpengaruh dan ketua-ketua negara Alam Hitam diberi peluang untuk melakukan penghormatan terakhir. Kawasan perkuburan rahsia itu dikawal rapi oleh oleh ratusan pengawal keselamatan terlatih. Beberapa buah helikopter Apache berteknologi terkini mengawasi ruang udara. Nun di atas langit yang lebih tinggi beberapa buah jet pejuang berteknologi terkini juga bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Beberapa buah kenderaan anti-misil ditempatkan di tempat-tempat paling strategik. Kenderaan yang dilengkapi dengan sistem radar juga ditempatkan di kawasan sekitar. Begitulah pentingnya manusia bernama Nathan Rotchield itu. Pengebumiannya mengalahkan pengebumian mana-mana ketua negara.

Upacara pengebumian Nathan Rotchield itu berlangsung singkat. Selepas selesai hadirin pun pulang ke tempat masing-masing. Kecuali tiga belas ketua keluarga yang juga adalah ahli-ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam yang berhimpun di dalam sebuah bilik mesyuarat yang terletak di tingkat lima bawah tanah Istana Abadi. Istana Abadi itu terdiri daripada sepuluh tingkat. Lima tingkat di atas permukaan tanah dan lima tingkat lagi di bawah permukaan tanah.

Mereka duduk mengelilingi sebuah meja panjang yang besar. Dua buah kerusi di kedua-dua hujung meja itu masih kosong.

Salah seorang daripada ketua keluarga daripada tiga belas keluarga itu bangun. Dia meminta perhatian semua yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Semua perbualan terhenti. Seluruh mata tertumpu kepada lelaki tersebut. Teruskan membaca

FANA SIRI #1

BAB 1

Tahun 2028

Langit dipenuhi oleh awan kelabu yang berkepul-kepul. Seluruh kawasan di bawahnya diserkupi oleh kegelapan. Hanya bercahaya sekali sekala bila diperciki oleh denyar cahaya petir yang disusuli dengan dentuman guruh.

Seekor helang botak muncul dari balik kepulan awan kelabu di sebelah timur. Helang botak itu melayang rendah di atas sebuah istana. Istana yang berwarna kelabu kusam itu diberi nama Istana Abadi. Ia milik Keluarga Rotchield. Kini didiami oleh Nathan Rotchield, ketua keluarga itu sekarang.

Istana Abadi dipagari oleh kawat berduri bervoltan tinggi yang mampu mematikan mammoth. Kawasan itu juga diawasi oleh berpuluh pengawal keselamatan yang terdiri daripada bekas agen-agen Mossad, CIA, MI6, KGB dan lain-lain.

Helang botak terbang ke arah Istana Abadi. Dia mengelilingi istana itu beberapa kali sebelum hinggap di atas dahan beranting duri pohon gharqad. Dahan itu menjulur ke salah sebuah tingkap pada kamar tidur utama istana itu. Hampir seluruh ruang kamar tidur utama itu dapat dilihat dari situ.

Kamar tidur utama itu luas. Mozek lantainya adalah mozek terbaik dan bercorak petak-petak hitam putih seperti corak papan catur. Sebuah katil kayu yang besar terletak bersetentangan dengan dinding utama itu. Katil itu berusia ribuan tahun dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Di atas katil itulah Nathan Rotchield yang berumur dalam lingkungan 70an itu terlantar. Pewaris terkini Keluarga Rotchield itu kelihatan tidak berdaya. Kepalanya kesit mirip kepala mumia. Matanya yang meliar terperosok ke dalam soket mata. Bibirnya amat kering, merekah dan berdarah. Mulutnya sentiasa ternganga mengah. Ulser-ulser besar dan kecil bertompok-tompok pada lelangit dan dinding mulut. Giginya yang kuning menghitam mereput seperti kayu dimakan anai-anai. Lidahnya pecah-pecah, menanah dan berdarah. Pada pangkal kerongkongnya kahak sedang membuak-buak seperti larva di dalam kawah gunung berapi. Nafasnya amat busuk dan hanyir. Perutnya berombak-ombak keras dan laju seperti ada sesuatu yang meronta-ronta hendak keluar.

“Arghhh… Arghhh…. Arghhh…” Sesekali terdengar aduhnya yang terlepas dari kerongkong.

Beberapa orang jururawat datang untuk membersihkan tubuh Nathan Rotchield. Salah seorang daripada mereka menarik selimut. Bila tubuh yang ditutupi selimut itu terdedah, salah seorang jururawat pantas mengepung mulut dan terus berlari ke bilik air. Gadis itu meloya sampai matanya berair. Seorang jururawat lain yang mengekori mengusap-usap belakang badannya sambil mengingatkan agar menahan diri daripada termuntah.

Jururawat yang meloya itu baru diambil bertugas pada hari ini bagi menggantikan jururawat yang sudah pun dihukum oleh Richard Rotchield kerana termuntah ketika membersihkan Nathan Rotchield semalam. Dia sudah diberitahu tentang keadaan pesakit tetapi masih tidak dapat mengawal tindakan refleksnya itu. Selepas beberapa lama akhirnya gadis itu berjaya juga menahan diri daripada termuntah. Jururawat itu lega bukan kepalang.

Sebahagian badan Nathan Rotchield dipenuhi dengan bisul-bisul. Ada yang sudah meletus dan menyemburkan nanah dan darah yang amat busuk dan hanyir. Dari bisul yang pecah itu keluar ulat-ulat hitam. Ulat-ulat hitam itu merayap di atas tubuh Nathan Rotchield dan tilam. Sebahagian bisul yang masih baru akan membesar, pecah dan meletuskan nanah, darah dan ulat-ulat hitam dalam masa seminggu.

Kumpulan jururawat itu membersihkan tubuh Nathan Rotchield dengan berhati-hati. Segala kelengkapan yang digunakan disterilkan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Seorang doktor lelaki datang memeriksa keadaan terkini Nathan Rotchield. Dia melihat data-data yang terpampang pada skrin mesin-mesin yang bersambung dengan tubuh badan Nathan Rotchield itu. Dia menggelengkan kepala dan kemudian berlalu pergi dari situ dengan langkah tergesa-gesa.

Helang botak yang bertenggek di atas dahan ranting pohon gharqad itu melihat semua kejadian yang berlaku di dalam kamar tidur utama itu. Matanya segar bercahaya. Selepas itu ia pun melonjakkan badannya ke udara. Ia terbang laju dan menghilang di balik awan kelabu sebelah timur. Lidah-lidah petir menjelir keluar dengan galak dari dalam kepulan awan kelabu itu. Disusuli dengan guruh yang berdentum dentam dan menggerutup kasar.

“Arghhhhh…” suara Nathan Rotchield yang menderita terlepas lagi dari kerongkong.

Seluruh kawasan Lembah Abadi itu kini benar-benar gelap.

BAB 2

Sebaris kereta mewah Rolls Royce hitam yang membawa pawang-pawang terhandal dari setiap pelusuk dunia sedang menyusuri jalan bertar menuju ke Istana Abadi. Kehadiran mereka ke situ adalah untuk cuba mengubati Nathan Rotchield. Dijemput khas oleh Richard Rotchield setelah sekumpulan doktor pakar terbaik dunia mengesahkan penyakit Nathan Rotchield itu misteri bagi perubatan moden.

Helang botak yang bertenggek pada dahan gharqad beberapa hari lalu kelihatan sedang berlegar-legar di ruang angkasa. Tiba-tiba ia terbang menjunam ke arah kereta Rolls Royce yang berada paling belakang konvoi. Ia terus merempuh cermin belakang kereta Rolls Royce tersebut. Helang itu berkecai menjadi asap hitam yang bertebaran sebelum berkumpul cepat dan meresap masuk laju ke dalam kereta itu melalui cermin belakang. Asap hitam itu bersebaran memenuhi ruang tempat duduk belakang kereta mewah itu. Kemudian ia berkumpul pantas dan segera membentuk sekujur lembaga dan menjelma sebagai seorang lelaki dalam usia lingkungan 50an. Lelaki itu berjanggut tirus dan berpakaian serba hitam.

Chupran tersentak. Badannya menggigil dan bulu romanya meremang tidak semena-mena. Dia ketakutan. Mulutnya spontan berkumat kamit membaca mantera. Dia sudah berdepan dengan pelbagai makhluk halus. Tidak pernah berasa gentar sedikit pun. Tetapi kali ini entah mengapa dadanya berdegup begitu kencang bila berdepan dengan lelaki berpakaian serba hitam itu. Badannya dikuyupi peluh. Dia tahu lelaki yang duduk di sisinya itu bukan sebarang manusia atau makhluk halus. Aura jahat lelaki itu amat kuat sehingga menyesakkan dada dan nafasnya.

Lelaki itu melemparkan senyuman kepada Chupran. Senyuman yang menggentarkan semangat bomoh siam yang paling handal di Ta’i itu.

“Siapa engkau?” tanya Chupran, memberanikan diri.

Lelaki itu terus tersenyum.

“Siapa engkau?” tanya Chupran lagi dengan nada suara yang lebih tinggi.

Lelaki itu terus tersenyum sahaja.

“Siapa engkau?!” bentak Chupran.

Muka lelaki misteri itu berubah dingin. Dia menjegilkan mata lalu bertanya kasar : “Engkau tidak kenal siapa aku?!”

Badan Chupran menggigil lebih kuat bila mendengar pertanyaan lelaki itu. Suara lelaki itu mendesingkan telinganya menyebabkan kesakitan. Kesakitan itu merebak hingga ke dalam dada. Nafasnya tersangkak-sangkak. Dia menekan berulang kali dadanya yang pedih seperti dihiris-hiris itu.

Lelaki misteri itu pantas memegang kepala Chupran. Chupran meronta-ronta tetapi tidak berdaya melawan. Segaris tebal asap hitam kelihatan keluar dari badannya dan meresap ke dalam telapak tangan lelaki itu. Mata lelaki misteri itu bercahaya. Dia mengeliat-liatkan lehernya sambil tersenyum puas.

“Aku Aharon. Aharon!!!” tegas lelaki itu kepada Chupran yang tidak kenal dirinya siapa tadi. “Aku pembesar engkau!!!”

Chupran tersedar semula dan mengangguk mengiakan. Dia kelihatan berbeza berbanding sebelumnya. Mirip seorang dungu yang mengikut apa sahaja kata tuannya.

Konvoi kereta Rolls Royce itu tiba di perkarangan Istana Abadi setelah melepasi pemeriksaan rapi di pintu gerbang yang dihiasi dengan sepasang patung singa bersaiz sebenar di kiri dan kanannya. Pawang-pawang itu turun dari kereta Rolls Royce. Ikut turun ialah Chupran dan Aharon. Pemandu kereta Rolls Royce paling belakang itu kehairanan melihat Aharon. Aharon melemparkan senyuman kepadanya. Pemandu itu serta merta terpukau dan ingatannya hilang mendadak. Kumpulan pawang itu disambut oleh orang-orang kanan Nathan Rotchield. Mereka dibawa ke sebuah bilik menunggu.

Richard Rotchield datang ke bilik menunggu itu. Anak tunggal Nathan Rotchield itu mengalu-alukan kedatangan kumpulan pawang itu. Dia membuat pengumuman bahawa sesiapa yang dapat mengubati ayahandanya akan dihadiahkan dengan harta yang banyak. Pawang itu juga nanti akan diambil bekerja sebagai pawang keluarganya dan dijanjikan habuan yang lumayan setiap bulan. Pawang-pawang di situ berbisik sesama sendiri. Tawaran Richard Rotchield itu mengiurkan mereka. Masing-masing bertekad untuk cuba mengubati Nathan Rotchield dengan sedaya upaya.

Richard Rotchield terus ke kamar tidur utama. Para pembantu Istana Abadi mula memanggil pawang-pawang untuk mengubati Nathan Rotchield. Pawang yang berasal dari Gersik yang pertama dipanggil untuk mencuba nasib. Pawang itu dibawa ke kamar tidur utama. Richard Rotchield dan orang-orang kanan Nathan Rotchield sudah berkumpul di situ.

Budi, pawang dari Gersik itu mendekati Nathan Rotchield. Dia menyelak selimut sutera yang menutupi tubuh Nathan Rotchield itu. Dia tersentak seketika bila melihat keadaan Nathan Rotchield itu. Kini tiada seinci pun badan lelaki tua di hadapannya itu tidak dibintiki oleh bisul yang busuk dan meloyakan itu. Matanya terbelalak bila melihat bisul yang sudah masak meletuskan darah, nanah dan ulat-ulat hitam. Matanya terjegil bila melihat ulat-ulat hitam itu menyinga kepadanya.

Dahi Budi berkerut seribu. Kepalanya berat memikirkan sesuatu. Dia berjalan perlahan-lahan dan berhenti betul-betul di hujung kaki Nathan Rotchield. Dia menarik nafas panjang dan dalam. Mulutnya kumat kamit membaca mantera terhebat yang dipelajarinya. Muka dan tubuhnya dibasahi peluh yang mencurah-curah. Segumpal angin kencang masuk melalui tingkap kamar tidur utama itu. Desirannya kuat dan hilang secepat kilat pula. Pawang Budi menelengkan kepalanya ke kiri dan selepas itu ke kanan. Lelaki bermisai tebal dan melentik itu seperti sedang mendengar sesuatu berbisik kepadanya. Dia menghela nafas panjang sebelum membuka mata. Lantas berjalan mendekati Richard Rotchield yang memerhati sejak tadi.

“Aku tidak sanggup. Pembantu-pembantuku tidak mampu melawannya. Sihirnya terlalu hebat. Tak pernah aku jumpa sihir sehebat begini,” jelas Pawang Budi yang memang terkenal sebagai antara pawang terhebat di alam nusantara. Dia segera berlalu dari situ.

Richard Rotchield terpinga-pinga. “Siapa?”

“Aku tidak kenal siapa dia. Tetapi yang pasti sihirnya terlalu hebat.” Budi sempat menjawab sebelum tergesa-gesa beredar dari situ.

Aharon yang berada di bilik menunggu tersenyum. Dia sudah pun memberi amaran kepada jin-jin yang menjadi pendamping Budi. Jika mereka cuba memandai-mandai untuk mengubati Nathan Rotchield dia tidak teragak-agak untuk membinasakan mereka. Komunikasi itu berlaku secara batin.

Pembantu Istana Abadi memanggil pawang yang lain. Kali ini giliran tantrik india yang paling terkenal di seluruh India. Tantrik itu ialah Pandit Suresh Sharma. Seorang tantrik  yang dipercayai mampu mengubati segala penyakit dan mampu membunuh apa sahaja termasuk manusia dan jin.

Pandit Suresh Sharma berjalan yakin memasuki kamar tidur utama. Sebaik menghampiri Nathan Rotchield, dia terus menarik kasar selimut sutera yang menutupi tubuh lelaki tua itu. Dia tersenyum sinis memandang keadaan Nathan Rotchield. Seolah-olah penyakit misteri yang dideritai Nathan Rotchield itu biasa diubatinya. Dia berdiri bersetentangan dengan pusat Nathan Rotchield. Dia menutup mata lalu mulutnya mengumat-ngamit membaca mantera. Sesekali dia menyembur air liurnya ke arah tubuh Nathan Rotchield.

Nathan Rotchield memandang sepi perbuatan Pandit Suresh Sharma itu. Tiba-tiba Nathan Rotchield tergelak kecil, memperlekehkan ritual yang dilakukan oleh tantrik india itu.

Pandit Suresh Sharma membuka mata. Dia membeliakkan mata dan mengetap kasar gigi kerana marah. Berasa terhina kerana diperlekehkan sebegitu rupa. Tidak pernah ada jin yang tidak mampu ditewaskannya sebelum ini. Dia yakin mampu membunuh jin yang menyerang Nathan itu.

Dia memejamkan mata semula. Lalu membaca mantera yang lebih panjang. Tiba-tiba mulut lelaki gendut itu berhenti mengumat-ngamit. Dia bergerak ke hujung katil pula. Berundur lima tapak ke belakang dan duduk bersila di situ. Dia mengarahkan pembantu Istana Abadi itu menyediakan seekor ayam jantan hitam. Semuanya hitam dari balung hingga ke tajinya. Lidahnya juga mesti hitam. Seekor ayam jantan hitam seperti yang diminta tantrik india itu dibawa masuk ke dalam kamar tidur utama itu. Ayam itu memang sudah disediakan kerana telah dipesan awal oleh Pandit Suresh Sharma sebaik menerima jemputan daripada Richard Rotchield.

Pandit Suresh Sharma membaca mantera lagi. Suaranya memenuhi seluruh ruang kamar tidur utama itu. Dia meludah katil Nathan Rotchield. Nathan Rotchield tersentak dan tiba-tiba badannya yang kurus kering itu terbidas bangun sebelum terhenyak semula menghempas tilam. Nathan Rotchield mendengus kuat beberapa ketika sebelum beransur-ansur bernafas tenang. Ayam jantan hitam yang tadi tenang kini terlompat-lompat liar ingin keluar dari sangkar. Bulu-bulu hitamnya berterbangan di udara.

Pandit Suresh Sharma tersenyum sinis. Dia bercakap dalam bahasa tamil. Maksudnya : “Aku sudah dapat engkau. Aku akan bunuh engkau!” Dia menarik pisau yang hulunya berbalut kain merah yang tersisip di pinggangnya. Pintu sangkar dibuka. Dia menangkap ayam jantan hitam yang  memperukkan dirinya di sudut kiri sangkar. Dia terus menusuk hujung pisau ke leher ayam jantan hitam itu sambil membaca mantera. Hujung pisau itu tembus ke bahagian leher yang satu lagi. Lalu ayam itu dilepaskan dan dibiarkan menggelupur di sekitar kamar tidur utama itu.

Pandit Suresh Sharma menghampiri Nathan Rotchield semula. Nathan Rotchield terbaring tenang. Richard Rotchield dan lain-lain ikut melihat keadaan terkini Nathan Rotchield. Mereka terperanjat melihat keadaan Nathan Rotchield yang  nampak baik itu. Dengan yakin tantrik india itu mengumumkan kepada Richard Rotchield bahawa bapanya itu akan pulih sepenuhnya di dalam beberapa hari.

Richard Rotchield mengucapkan terima kasih sambil menepuk-nepuk bahu Pandit Suresh Sharma. Tantrik india itu berasa amat bangga. Dia sudah nampak keuntungan yang akan diterimanya nanti. Ketika mereka hendak beredar dari situ tiba-tiba Nathan Rotchield menjerit-jerit kuat hingga lendir kahak bergaul darah tersembur keluar dari kerongkongnya. Kahak dan darah lain cepat mengisi lohong kerongkong itu dan membuak-buak lebih laju. Perut Nathan Rotchield juga berombak-ombak lebih buas berbanding sebelumnya. Bisul-bisul besar dan kecil berlawan pecah. Ulat-ulat hitam besar dan kecil keluar terburu-buru dari lubang bisul-bisul yang pecah itu. Ia merayap ke seluruh badan Nathan Rotchield. Ada yang masuk ke dalam lubang hidung, telinga dan dubur Nathan Rotchield. Selebihnya melata-lata di atas tilam.

Ayam jantan hitam yang sudah mati tadi kelihatan tersentak-sentak. Matanya terbuka luas dan ia berdiri sambil mengibas-ngibaskan kepak. Nathan Rotchield terbidas bangun dan duduk dengan kaki melunjur sambil merenung tajam Pandit Suresh Sharma.

Pandit Suresh Sharma terperanjat sebaik nampak lembaga hitam yang amat mengerikan keluar dari belakang tubuh Nathan Rotchield. Lututnya menggeletar ketakutan. Dia terlupa semua mantera yang diketahuinya. Dia menutup telinganya rapat-rapat kerana terdengar sesuatu. “Berani engkau melawan aku!” Kata-kata itu bergema dalam telinganya berulang-ulang. Dia lari lintang pukang meninggalkan kamar tidur utama itu. Selepas beberapa langkah pakaiannya koyak rabak hingga menampakkan badannya. Kemudian badan itu kelihatan seperti ditoreh-toreh hingga keluar darah. Bermula dari betis hingga akhirnya ke leher yang menyebabkan tanrik india itu terkulai di hadapan pintu lif. Dia menggelepar di situ beberapa ketika lalu mati.

Nathan Rotchield terhenyak ke tilam semula. Diri lelaki tua itu kembali tenat. Ayam jantan hitam yang seperti hidup semula tadi kini kembali rebah dan mati.

Di bilik menunggu, Aharon tersenyum panjang.

Selepas itu masuk pula pawang dari Tibet dan diikuti oleh yang lain-lain. Semuanya keluar begitu sahaja. Masing-masing tidak sanggup hendak mengubati Nathan Rotchield. Melalui tilikan mereka sedar ilmu masing-masing tidak setanding dengan lawan yang akan mereka hadapi.

Tiba giliran Chupran. Aharon memberitahu Chupran tidak sihat. Chupran memintanya menggantikan tempatnya. Aharon dibenarkan mengubati Nathan Rotchield.

Aharon menghampiri Nathan Rotchield dan melihat tubuh lelaki tua itu sepintas lalu. Dia memanggil Richard Rotchield dan lain-lain. “Sudah terlewat. Jika awal sudah pasti aku dapat mengubatinya. Sekejap saja lagi dia akan mati,” kata Aharon.

Kemudian Aharon diam-diam membaca mantera di dalam hati. Tiba-tiba Nathan Rotchield menggelepar dan terbidas bangun beberapa kali sehingga suaranya yang tidak kedengaran beberapa lama itu terlepas juga dari kerongkongnya. Jeritan Nathan Rotchield amat menakutkan. Semua bisul, baik yang kecil dan yang besar pecah. Darah dan nanah tersembur tidak henti-henti. Ulat-ulat hitam kecil dan besar keluar berpusu-pusu dari lubang bisul-bisul yang pecah itu. Darah juga keluar dari mulut, lubang hidung, telinga dan dubur Nathan Rotchield sehingga menyebabkan cadar lenjun dengan darah dan nanah.

Richard Rotchield dan lain-lain panik. Kumpulan doktor pakar dipanggil tetapi tiada apa yang dapat dilakukan mereka. Selepas satu bidasan yang laju diikuti pula oleh satu henyakan badan yang kuat ke tilam bersama jeritan keras yang menggerunkan, akhirnya Nathan Rotchield dicabut nyawanya. Seluruh kamar tidur utama itu berbau hanyir dan hamis. Richard Rotchield dan beberapa orang kanan Nathan Rotchield termuntah. Begitu juga dengan kumpulan doktor dan jururawat yang berada di situ.

Aharon mendekati Richard Rotchield. “Sudah terlalu lewat seperti kukatakan tadi. Jika awal tentu aku mampu mengubatinya…” Lelaki misteri itu berlalu dari situ.