FANA SIRI #2

BAB 3

Upacara pengebumian Nathan Rotchield itu dihadiri oleh tiga ratus lebih orang penting dari seluruh pelusuk Alam Hitam. Dua belas ketua keluarga, ahli-ahli Majlis Alam Hitam, orang-orang berpengaruh dan ketua-ketua negara Alam Hitam diberi peluang untuk melakukan penghormatan terakhir. Kawasan perkuburan rahsia itu dikawal rapi oleh oleh ratusan pengawal keselamatan terlatih. Beberapa buah helikopter Apache berteknologi terkini mengawasi ruang udara. Nun di atas langit yang lebih tinggi beberapa buah jet pejuang berteknologi terkini juga bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Beberapa buah kenderaan anti-misil ditempatkan di tempat-tempat paling strategik. Kenderaan yang dilengkapi dengan sistem radar juga ditempatkan di kawasan sekitar. Begitulah pentingnya manusia bernama Nathan Rotchield itu. Pengebumiannya mengalahkan pengebumian mana-mana ketua negara.

Upacara pengebumian Nathan Rotchield itu berlangsung singkat. Selepas selesai hadirin pun pulang ke tempat masing-masing. Kecuali tiga belas ketua keluarga yang juga adalah ahli-ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam yang berhimpun di dalam sebuah bilik mesyuarat yang terletak di tingkat lima bawah tanah Istana Abadi. Istana Abadi itu terdiri daripada sepuluh tingkat. Lima tingkat di atas permukaan tanah dan lima tingkat lagi di bawah permukaan tanah.

Mereka duduk mengelilingi sebuah meja panjang yang besar. Dua buah kerusi di kedua-dua hujung meja itu masih kosong.

Salah seorang daripada ketua keluarga daripada tiga belas keluarga itu bangun. Dia meminta perhatian semua yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Semua perbualan terhenti. Seluruh mata tertumpu kepada lelaki tersebut. Teruskan membaca

FANA SIRI #1

BAB 1

Tahun 2028

Langit dipenuhi oleh awan kelabu yang berkepul-kepul. Seluruh kawasan di bawahnya diserkupi oleh kegelapan. Hanya bercahaya sekali sekala bila diperciki oleh denyar cahaya petir yang disusuli dengan dentuman guruh.

Seekor helang botak muncul dari balik kepulan awan kelabu di sebelah timur. Helang botak itu melayang rendah di atas sebuah istana. Istana yang berwarna kelabu kusam itu diberi nama Istana Abadi. Ia milik Keluarga Rotchield. Kini didiami oleh Nathan Rotchield, ketua keluarga itu sekarang.

Istana Abadi dipagari oleh kawat berduri bervoltan tinggi yang mampu mematikan mammoth. Kawasan itu juga diawasi oleh berpuluh pengawal keselamatan yang terdiri daripada bekas agen-agen Mossad, CIA, MI6, KGB dan lain-lain.

Helang botak terbang ke arah Istana Abadi. Dia mengelilingi istana itu beberapa kali sebelum hinggap di atas dahan beranting duri pohon gharqad. Dahan itu menjulur ke salah sebuah tingkap pada kamar tidur utama istana itu. Hampir seluruh ruang kamar tidur utama itu dapat dilihat dari situ.

Kamar tidur utama itu luas. Mozek lantainya adalah mozek terbaik dan bercorak petak-petak hitam putih seperti corak papan catur. Sebuah katil kayu yang besar terletak bersetentangan dengan dinding utama itu. Katil itu berusia ribuan tahun dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Di atas katil itulah Nathan Rotchield yang berumur dalam lingkungan 70an itu terlantar. Pewaris terkini Keluarga Rotchield itu kelihatan tidak berdaya. Kepalanya kesit mirip kepala mumia. Matanya yang meliar terperosok ke dalam soket mata. Bibirnya amat kering, merekah dan berdarah. Mulutnya sentiasa ternganga mengah. Ulser-ulser besar dan kecil bertompok-tompok pada lelangit dan dinding mulut. Giginya yang kuning menghitam mereput seperti kayu dimakan anai-anai. Lidahnya pecah-pecah, menanah dan berdarah. Pada pangkal kerongkongnya kahak sedang membuak-buak seperti larva di dalam kawah gunung berapi. Nafasnya amat busuk dan hanyir. Perutnya berombak-ombak keras dan laju seperti ada sesuatu yang meronta-ronta hendak keluar.

“Arghhh… Arghhh…. Arghhh…” Sesekali terdengar aduhnya yang terlepas dari kerongkong.

Beberapa orang jururawat datang untuk membersihkan tubuh Nathan Rotchield. Salah seorang daripada mereka menarik selimut. Bila tubuh yang ditutupi selimut itu terdedah, salah seorang jururawat pantas mengepung mulut dan terus berlari ke bilik air. Gadis itu meloya sampai matanya berair. Seorang jururawat lain yang mengekori mengusap-usap belakang badannya sambil mengingatkan agar menahan diri daripada termuntah.

Jururawat yang meloya itu baru diambil bertugas pada hari ini bagi menggantikan jururawat yang sudah pun dihukum oleh Richard Rotchield kerana termuntah ketika membersihkan Nathan Rotchield semalam. Dia sudah diberitahu tentang keadaan pesakit tetapi masih tidak dapat mengawal tindakan refleksnya itu. Selepas beberapa lama akhirnya gadis itu berjaya juga menahan diri daripada termuntah. Jururawat itu lega bukan kepalang.

Sebahagian badan Nathan Rotchield dipenuhi dengan bisul-bisul. Ada yang sudah meletus dan menyemburkan nanah dan darah yang amat busuk dan hanyir. Dari bisul yang pecah itu keluar ulat-ulat hitam. Ulat-ulat hitam itu merayap di atas tubuh Nathan Rotchield dan tilam. Sebahagian bisul yang masih baru akan membesar, pecah dan meletuskan nanah, darah dan ulat-ulat hitam dalam masa seminggu.

Kumpulan jururawat itu membersihkan tubuh Nathan Rotchield dengan berhati-hati. Segala kelengkapan yang digunakan disterilkan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Seorang doktor lelaki datang memeriksa keadaan terkini Nathan Rotchield. Dia melihat data-data yang terpampang pada skrin mesin-mesin yang bersambung dengan tubuh badan Nathan Rotchield itu. Dia menggelengkan kepala dan kemudian berlalu pergi dari situ dengan langkah tergesa-gesa.

Helang botak yang bertenggek di atas dahan ranting pohon gharqad itu melihat semua kejadian yang berlaku di dalam kamar tidur utama itu. Matanya segar bercahaya. Selepas itu ia pun melonjakkan badannya ke udara. Ia terbang laju dan menghilang di balik awan kelabu sebelah timur. Lidah-lidah petir menjelir keluar dengan galak dari dalam kepulan awan kelabu itu. Disusuli dengan guruh yang berdentum dentam dan menggerutup kasar.

“Arghhhhh…” suara Nathan Rotchield yang menderita terlepas lagi dari kerongkong.

Seluruh kawasan Lembah Abadi itu kini benar-benar gelap.

BAB 2

Sebaris kereta mewah Rolls Royce hitam yang membawa pawang-pawang terhandal dari setiap pelusuk dunia sedang menyusuri jalan bertar menuju ke Istana Abadi. Kehadiran mereka ke situ adalah untuk cuba mengubati Nathan Rotchield. Dijemput khas oleh Richard Rotchield setelah sekumpulan doktor pakar terbaik dunia mengesahkan penyakit Nathan Rotchield itu misteri bagi perubatan moden.

Helang botak yang bertenggek pada dahan gharqad beberapa hari lalu kelihatan sedang berlegar-legar di ruang angkasa. Tiba-tiba ia terbang menjunam ke arah kereta Rolls Royce yang berada paling belakang konvoi. Ia terus merempuh cermin belakang kereta Rolls Royce tersebut. Helang itu berkecai menjadi asap hitam yang bertebaran sebelum berkumpul cepat dan meresap masuk laju ke dalam kereta itu melalui cermin belakang. Asap hitam itu bersebaran memenuhi ruang tempat duduk belakang kereta mewah itu. Kemudian ia berkumpul pantas dan segera membentuk sekujur lembaga dan menjelma sebagai seorang lelaki dalam usia lingkungan 50an. Lelaki itu berjanggut tirus dan berpakaian serba hitam.

Chupran tersentak. Badannya menggigil dan bulu romanya meremang tidak semena-mena. Dia ketakutan. Mulutnya spontan berkumat kamit membaca mantera. Dia sudah berdepan dengan pelbagai makhluk halus. Tidak pernah berasa gentar sedikit pun. Tetapi kali ini entah mengapa dadanya berdegup begitu kencang bila berdepan dengan lelaki berpakaian serba hitam itu. Badannya dikuyupi peluh. Dia tahu lelaki yang duduk di sisinya itu bukan sebarang manusia atau makhluk halus. Aura jahat lelaki itu amat kuat sehingga menyesakkan dada dan nafasnya.

Lelaki itu melemparkan senyuman kepada Chupran. Senyuman yang menggentarkan semangat bomoh siam yang paling handal di Ta’i itu.

“Siapa engkau?” tanya Chupran, memberanikan diri.

Lelaki itu terus tersenyum.

“Siapa engkau?” tanya Chupran lagi dengan nada suara yang lebih tinggi.

Lelaki itu terus tersenyum sahaja.

“Siapa engkau?!” bentak Chupran.

Muka lelaki misteri itu berubah dingin. Dia menjegilkan mata lalu bertanya kasar : “Engkau tidak kenal siapa aku?!”

Badan Chupran menggigil lebih kuat bila mendengar pertanyaan lelaki itu. Suara lelaki itu mendesingkan telinganya menyebabkan kesakitan. Kesakitan itu merebak hingga ke dalam dada. Nafasnya tersangkak-sangkak. Dia menekan berulang kali dadanya yang pedih seperti dihiris-hiris itu.

Lelaki misteri itu pantas memegang kepala Chupran. Chupran meronta-ronta tetapi tidak berdaya melawan. Segaris tebal asap hitam kelihatan keluar dari badannya dan meresap ke dalam telapak tangan lelaki itu. Mata lelaki misteri itu bercahaya. Dia mengeliat-liatkan lehernya sambil tersenyum puas.

“Aku Aharon. Aharon!!!” tegas lelaki itu kepada Chupran yang tidak kenal dirinya siapa tadi. “Aku pembesar engkau!!!”

Chupran tersedar semula dan mengangguk mengiakan. Dia kelihatan berbeza berbanding sebelumnya. Mirip seorang dungu yang mengikut apa sahaja kata tuannya.

Konvoi kereta Rolls Royce itu tiba di perkarangan Istana Abadi setelah melepasi pemeriksaan rapi di pintu gerbang yang dihiasi dengan sepasang patung singa bersaiz sebenar di kiri dan kanannya. Pawang-pawang itu turun dari kereta Rolls Royce. Ikut turun ialah Chupran dan Aharon. Pemandu kereta Rolls Royce paling belakang itu kehairanan melihat Aharon. Aharon melemparkan senyuman kepadanya. Pemandu itu serta merta terpukau dan ingatannya hilang mendadak. Kumpulan pawang itu disambut oleh orang-orang kanan Nathan Rotchield. Mereka dibawa ke sebuah bilik menunggu.

Richard Rotchield datang ke bilik menunggu itu. Anak tunggal Nathan Rotchield itu mengalu-alukan kedatangan kumpulan pawang itu. Dia membuat pengumuman bahawa sesiapa yang dapat mengubati ayahandanya akan dihadiahkan dengan harta yang banyak. Pawang itu juga nanti akan diambil bekerja sebagai pawang keluarganya dan dijanjikan habuan yang lumayan setiap bulan. Pawang-pawang di situ berbisik sesama sendiri. Tawaran Richard Rotchield itu mengiurkan mereka. Masing-masing bertekad untuk cuba mengubati Nathan Rotchield dengan sedaya upaya.

Richard Rotchield terus ke kamar tidur utama. Para pembantu Istana Abadi mula memanggil pawang-pawang untuk mengubati Nathan Rotchield. Pawang yang berasal dari Gersik yang pertama dipanggil untuk mencuba nasib. Pawang itu dibawa ke kamar tidur utama. Richard Rotchield dan orang-orang kanan Nathan Rotchield sudah berkumpul di situ.

Budi, pawang dari Gersik itu mendekati Nathan Rotchield. Dia menyelak selimut sutera yang menutupi tubuh Nathan Rotchield itu. Dia tersentak seketika bila melihat keadaan Nathan Rotchield itu. Kini tiada seinci pun badan lelaki tua di hadapannya itu tidak dibintiki oleh bisul yang busuk dan meloyakan itu. Matanya terbelalak bila melihat bisul yang sudah masak meletuskan darah, nanah dan ulat-ulat hitam. Matanya terjegil bila melihat ulat-ulat hitam itu menyinga kepadanya.

Dahi Budi berkerut seribu. Kepalanya berat memikirkan sesuatu. Dia berjalan perlahan-lahan dan berhenti betul-betul di hujung kaki Nathan Rotchield. Dia menarik nafas panjang dan dalam. Mulutnya kumat kamit membaca mantera terhebat yang dipelajarinya. Muka dan tubuhnya dibasahi peluh yang mencurah-curah. Segumpal angin kencang masuk melalui tingkap kamar tidur utama itu. Desirannya kuat dan hilang secepat kilat pula. Pawang Budi menelengkan kepalanya ke kiri dan selepas itu ke kanan. Lelaki bermisai tebal dan melentik itu seperti sedang mendengar sesuatu berbisik kepadanya. Dia menghela nafas panjang sebelum membuka mata. Lantas berjalan mendekati Richard Rotchield yang memerhati sejak tadi.

“Aku tidak sanggup. Pembantu-pembantuku tidak mampu melawannya. Sihirnya terlalu hebat. Tak pernah aku jumpa sihir sehebat begini,” jelas Pawang Budi yang memang terkenal sebagai antara pawang terhebat di alam nusantara. Dia segera berlalu dari situ.

Richard Rotchield terpinga-pinga. “Siapa?”

“Aku tidak kenal siapa dia. Tetapi yang pasti sihirnya terlalu hebat.” Budi sempat menjawab sebelum tergesa-gesa beredar dari situ.

Aharon yang berada di bilik menunggu tersenyum. Dia sudah pun memberi amaran kepada jin-jin yang menjadi pendamping Budi. Jika mereka cuba memandai-mandai untuk mengubati Nathan Rotchield dia tidak teragak-agak untuk membinasakan mereka. Komunikasi itu berlaku secara batin.

Pembantu Istana Abadi memanggil pawang yang lain. Kali ini giliran tantrik india yang paling terkenal di seluruh India. Tantrik itu ialah Pandit Suresh Sharma. Seorang tantrik  yang dipercayai mampu mengubati segala penyakit dan mampu membunuh apa sahaja termasuk manusia dan jin.

Pandit Suresh Sharma berjalan yakin memasuki kamar tidur utama. Sebaik menghampiri Nathan Rotchield, dia terus menarik kasar selimut sutera yang menutupi tubuh lelaki tua itu. Dia tersenyum sinis memandang keadaan Nathan Rotchield. Seolah-olah penyakit misteri yang dideritai Nathan Rotchield itu biasa diubatinya. Dia berdiri bersetentangan dengan pusat Nathan Rotchield. Dia menutup mata lalu mulutnya mengumat-ngamit membaca mantera. Sesekali dia menyembur air liurnya ke arah tubuh Nathan Rotchield.

Nathan Rotchield memandang sepi perbuatan Pandit Suresh Sharma itu. Tiba-tiba Nathan Rotchield tergelak kecil, memperlekehkan ritual yang dilakukan oleh tantrik india itu.

Pandit Suresh Sharma membuka mata. Dia membeliakkan mata dan mengetap kasar gigi kerana marah. Berasa terhina kerana diperlekehkan sebegitu rupa. Tidak pernah ada jin yang tidak mampu ditewaskannya sebelum ini. Dia yakin mampu membunuh jin yang menyerang Nathan itu.

Dia memejamkan mata semula. Lalu membaca mantera yang lebih panjang. Tiba-tiba mulut lelaki gendut itu berhenti mengumat-ngamit. Dia bergerak ke hujung katil pula. Berundur lima tapak ke belakang dan duduk bersila di situ. Dia mengarahkan pembantu Istana Abadi itu menyediakan seekor ayam jantan hitam. Semuanya hitam dari balung hingga ke tajinya. Lidahnya juga mesti hitam. Seekor ayam jantan hitam seperti yang diminta tantrik india itu dibawa masuk ke dalam kamar tidur utama itu. Ayam itu memang sudah disediakan kerana telah dipesan awal oleh Pandit Suresh Sharma sebaik menerima jemputan daripada Richard Rotchield.

Pandit Suresh Sharma membaca mantera lagi. Suaranya memenuhi seluruh ruang kamar tidur utama itu. Dia meludah katil Nathan Rotchield. Nathan Rotchield tersentak dan tiba-tiba badannya yang kurus kering itu terbidas bangun sebelum terhenyak semula menghempas tilam. Nathan Rotchield mendengus kuat beberapa ketika sebelum beransur-ansur bernafas tenang. Ayam jantan hitam yang tadi tenang kini terlompat-lompat liar ingin keluar dari sangkar. Bulu-bulu hitamnya berterbangan di udara.

Pandit Suresh Sharma tersenyum sinis. Dia bercakap dalam bahasa tamil. Maksudnya : “Aku sudah dapat engkau. Aku akan bunuh engkau!” Dia menarik pisau yang hulunya berbalut kain merah yang tersisip di pinggangnya. Pintu sangkar dibuka. Dia menangkap ayam jantan hitam yang  memperukkan dirinya di sudut kiri sangkar. Dia terus menusuk hujung pisau ke leher ayam jantan hitam itu sambil membaca mantera. Hujung pisau itu tembus ke bahagian leher yang satu lagi. Lalu ayam itu dilepaskan dan dibiarkan menggelupur di sekitar kamar tidur utama itu.

Pandit Suresh Sharma menghampiri Nathan Rotchield semula. Nathan Rotchield terbaring tenang. Richard Rotchield dan lain-lain ikut melihat keadaan terkini Nathan Rotchield. Mereka terperanjat melihat keadaan Nathan Rotchield yang  nampak baik itu. Dengan yakin tantrik india itu mengumumkan kepada Richard Rotchield bahawa bapanya itu akan pulih sepenuhnya di dalam beberapa hari.

Richard Rotchield mengucapkan terima kasih sambil menepuk-nepuk bahu Pandit Suresh Sharma. Tantrik india itu berasa amat bangga. Dia sudah nampak keuntungan yang akan diterimanya nanti. Ketika mereka hendak beredar dari situ tiba-tiba Nathan Rotchield menjerit-jerit kuat hingga lendir kahak bergaul darah tersembur keluar dari kerongkongnya. Kahak dan darah lain cepat mengisi lohong kerongkong itu dan membuak-buak lebih laju. Perut Nathan Rotchield juga berombak-ombak lebih buas berbanding sebelumnya. Bisul-bisul besar dan kecil berlawan pecah. Ulat-ulat hitam besar dan kecil keluar terburu-buru dari lubang bisul-bisul yang pecah itu. Ia merayap ke seluruh badan Nathan Rotchield. Ada yang masuk ke dalam lubang hidung, telinga dan dubur Nathan Rotchield. Selebihnya melata-lata di atas tilam.

Ayam jantan hitam yang sudah mati tadi kelihatan tersentak-sentak. Matanya terbuka luas dan ia berdiri sambil mengibas-ngibaskan kepak. Nathan Rotchield terbidas bangun dan duduk dengan kaki melunjur sambil merenung tajam Pandit Suresh Sharma.

Pandit Suresh Sharma terperanjat sebaik nampak lembaga hitam yang amat mengerikan keluar dari belakang tubuh Nathan Rotchield. Lututnya menggeletar ketakutan. Dia terlupa semua mantera yang diketahuinya. Dia menutup telinganya rapat-rapat kerana terdengar sesuatu. “Berani engkau melawan aku!” Kata-kata itu bergema dalam telinganya berulang-ulang. Dia lari lintang pukang meninggalkan kamar tidur utama itu. Selepas beberapa langkah pakaiannya koyak rabak hingga menampakkan badannya. Kemudian badan itu kelihatan seperti ditoreh-toreh hingga keluar darah. Bermula dari betis hingga akhirnya ke leher yang menyebabkan tanrik india itu terkulai di hadapan pintu lif. Dia menggelepar di situ beberapa ketika lalu mati.

Nathan Rotchield terhenyak ke tilam semula. Diri lelaki tua itu kembali tenat. Ayam jantan hitam yang seperti hidup semula tadi kini kembali rebah dan mati.

Di bilik menunggu, Aharon tersenyum panjang.

Selepas itu masuk pula pawang dari Tibet dan diikuti oleh yang lain-lain. Semuanya keluar begitu sahaja. Masing-masing tidak sanggup hendak mengubati Nathan Rotchield. Melalui tilikan mereka sedar ilmu masing-masing tidak setanding dengan lawan yang akan mereka hadapi.

Tiba giliran Chupran. Aharon memberitahu Chupran tidak sihat. Chupran memintanya menggantikan tempatnya. Aharon dibenarkan mengubati Nathan Rotchield.

Aharon menghampiri Nathan Rotchield dan melihat tubuh lelaki tua itu sepintas lalu. Dia memanggil Richard Rotchield dan lain-lain. “Sudah terlewat. Jika awal sudah pasti aku dapat mengubatinya. Sekejap saja lagi dia akan mati,” kata Aharon.

Kemudian Aharon diam-diam membaca mantera di dalam hati. Tiba-tiba Nathan Rotchield menggelepar dan terbidas bangun beberapa kali sehingga suaranya yang tidak kedengaran beberapa lama itu terlepas juga dari kerongkongnya. Jeritan Nathan Rotchield amat menakutkan. Semua bisul, baik yang kecil dan yang besar pecah. Darah dan nanah tersembur tidak henti-henti. Ulat-ulat hitam kecil dan besar keluar berpusu-pusu dari lubang bisul-bisul yang pecah itu. Darah juga keluar dari mulut, lubang hidung, telinga dan dubur Nathan Rotchield sehingga menyebabkan cadar lenjun dengan darah dan nanah.

Richard Rotchield dan lain-lain panik. Kumpulan doktor pakar dipanggil tetapi tiada apa yang dapat dilakukan mereka. Selepas satu bidasan yang laju diikuti pula oleh satu henyakan badan yang kuat ke tilam bersama jeritan keras yang menggerunkan, akhirnya Nathan Rotchield dicabut nyawanya. Seluruh kamar tidur utama itu berbau hanyir dan hamis. Richard Rotchield dan beberapa orang kanan Nathan Rotchield termuntah. Begitu juga dengan kumpulan doktor dan jururawat yang berada di situ.

Aharon mendekati Richard Rotchield. “Sudah terlalu lewat seperti kukatakan tadi. Jika awal tentu aku mampu mengubatinya…” Lelaki misteri itu berlalu dari situ.

FANA SIRI #15

BAB 29

Selepas berjalan beberapa jam akhirnya Sayyid Muhaimin dan sahabat-sahabatnya itu tiba di hadapan sebuah gua yang disebut sebagai Gua Balam itu.

Mereka masuk ke dalam gua tersebut. Gua itu bersih, nyaman dan berbau harum. Lantai gua itu bersih. Tiada najis kelawar walau setompok pun. Tiada juga daun-daun kering walau sehelai pun. Kelihatan lantai itu seperti selalu disapu oleh seseorang. Di kiri kanannya terdapat mata air yang mengalir tenang. Airnya jernih kristal.

Mereka tiba di tengah-tengah gua itu. Ruang tengah gua itu besar. Berbentuk bulat. Siling di situ tinggi berbanding ruang lain. Siling itu berlubang di lima tempat. Cahaya matahari menembusi ruang tengah gua itu melalui lubang-lubang itu. Jalur-jalur cahaya matahari itu membentuk tompokan-tompokan cahaya yang amat cantik di tengah-tengah ruang tersebut. Beberapa ekor burung berwarna warni keluar masuk dari lubang-lubang itu. Berpusing-pusing di sekeliling ruang tersebut dan kemudian menghilang keluar melalui lubang-lubang itu. Beberapa mata air pula kelihatan keluar dari dinding-dinding gua itu. Bertingkat-tingkat dan membentuk satu pancuran air yang amat mempesonakan. Percikan air pancut itu menghasilkan bunyi yang menenangkan hati. Tempias yang dihasilkannya pula menyamankan udara sekitar.

“MasyaALLAH…” ucap Sayyid Muhaimin dan sahabat-sahabatnya. Mereka terpesona dengan keindahan alam tersebut.

Di atas batu hampar, di bahagian kanan ruang tersebut, di sebalik air-air pancut, kelihatan seorang lelaki tua sedang duduk tahiyat akhir. Beberapa saat kemudian dia pun memberi salam. Kemudian menadah tangan untuk berdoa. Sesudah berdoa lelaki tua itu menoleh perlahan lalu melemparkan senyuman. Teruskan membaca

KAWAN

Aku nak cerita satu kisah ni pada kau. Terpulang pada kau nak percaya ke tidak.

Aku ada seorang kawan. Namanya Lan. Dia selalu kata dia boleh nampak hantu. Pada mulanya dia sendiri tak tahu bagaimana kebolehan itu ada pada dia. Tetapi dia cerita pertama kali dia tahu ada kebolehan tu ialah pada hari kematian Tok Ngah, datuknya. Teruskan membaca

TERIMA

Tahun 1940…

Jamung dipacak di kawasan lapang di dalam kebun kelapa itu. Tikar mengkuang segera dibentang. Kemudian semua barang pemujaan diletakkan di atasnya.

Seratus meter dari kawasan itu pula kelihatan api jamung menghampiri dengan pantas. Tidak lama kemudian orang yang membawa jamung itu dan seorang lagi yang mencepung sesuatu sampai di kawasan itu. Tangan, kaki dan pakaian pemuda yang mencepung sesuatu kotor dengan tanah. Badannya  pula kuyup dengan peluh.

“Bagus. Barang utama dah ada,” kata Bakar, salah seorang lelaki yang menunggu di kawasan itu. Dia lebih tua berbanding yang lain-lain. “Ada sesiapa nampak, Hashim?” sambungnya.

“Tak, Abang Bakar,” jawab Hashim, pemuda yang memangku sesuatu itu.

“Bagus. Mari kita mulakan lekas. Lagi cepat habis lagi bagus,” kata Bakar.

“Benda ni nak letak mana bang?” tanya Hashim. Teruskan membaca

PUAKA

Jam dinding menunjukkan pukul 11.35 pagi. Di salah satu seksyen di bahagian pengeluaran kilang sarung tangan getah itu, seorang perempuan sedang memegang-megang pinggangnya. Dia sedang mengandung. Kandungannya genap tujuh bulan hari ini. Sejak sepuluh minit yang lalu bayi di dalam kandungannya itu menendang perutnya tidak henti-henti. Butir-butir peluh yang berbintik di dahinya pecah, mengalir melepasi hidung, turun ke dagu dan menitis ke lantai.

“Kau okey ke Mar?” tanya Awin, rakan sekerja yang mendekatinya selepas melihat keadaannya dari jauh tadi.

“Okey, okey,” jawab Mar sambil mengesat peluh di dahi dan muka. Kemudian meraba-raba perut dan pinggangnya.

“Betul ke kau okey? Aku tengok macam tak okey je,” kata Awin. Teruskan membaca

BUAS

Fatah beratur sebaris bersama dua belas pemuda lain. Mereka berpakaian silat serba hitam. Di hadapan mereka berdiri sebaris beberapa orang guru tua. Berdiri di tengah-tengah barisan guru-guru tua itu ialah mahaguru persilatan itu.

Mahaguru persilatan itu tak lain tak bukan ialah Mahaguru Karim, pengasas kepada Persilatan 44 atau Persilatan Panji Hitam yang terkenal itu.

“Assalammualaikum semua,” kata Karim, memulakan ucapan.

Fatah dan dua belas pemuda serta guru-guru tua menjawab salam Karim itu.

“Akhirnya tuhan tunjukkan jalan benar kepada hangpa. Hangpa beruntung kerana menjadi pemuda terpilih. Sebab apa aku kata begitu?” sambung Karim, melihat muka tiga belas pemuda itu sepintas lalu. Teruskan membaca

PERGI

Yuni terjaga dari tidur. Cepat meraba perutnya yang memulas lagi. Dia turun dari katil. Melihat Amira yang sedang nyenyak dan berdengkur nipis di katil bawah. Dia berasa segan hendak mengejut Amira supaya menemaninya sekali lagi ke bilik air di tingkat bawah. Bilik air di dalam bilik itu tidak dapat digunakan sejak dua tiga hari ini. Tekanan air kurang.

Yuni mencapai tuala dan memakainya. Segera keluar bilik. Ruang keluarga yang gelap menyambutnya. Dia menekan suis lampu dan ruang itu cerah. Menyusuri tangga dan tiba di ruang makan. Dia membuka lampu di situ. Ruang makan itu terang benderang. Dari situ dia terus ke dapur dan seterusnya masuk ke dalam bilik air lalu buang air besar.

Ketika di hujung buang air besar, telinganya tertangkap bunyi air mencurah dari singki dapur yang bersetentangan dengan pintu balik air itu. Dia mendengar seseorang mengambil pinggan dan membuka periuk. Teruskan membaca

SIAL

Van itu dipandu laju. 140 kilometer per jam. Lampu-lampu jalan tidak bernyala. Sudah lebih seminggu rosak. Masih belum dibaiki pihak berwajib. Suasana amat gelap. Di kiri kanan jalan, hutan kecil. Samar-samar beberapa ratus meter di hadapan terdapat satu selekoh.

Pemandu van baru meneguk air tenaga isotonik Red Bull. Dia masih segar. Belum mengantuk walau sedikit pun. Lagu rancak Search yang dimainkan Suria FM menyebabkan dia lebih segar. Dia ikut menyanyi dan kakinya berderap mengikut rentak lagu.

Dia memandang penumpang di sebelahnya lalu menggelengkan kepala.

Asal masuk kereta saje mesti tidur. Bukan nak teman aku jaga. Nasib baik aku tahan mengantuk. Ngomelnya di dalam hati.

Dia menoleh sepintas lalu. Kepalanya digeleng semakin kuat.

Semua dah tidur. Dia orang ni tak boleh harap langsung! Ngomelnya terus dalam hati.

Dia terus memandu. Selekoh tajam itu diambil dengan berhati-hati. Di separuh selekoh itu, darahnya berderau.

Apa tu? Tanyanya di dalam hati. Teruskan membaca