FANA SIRI #23

Bab 50

Katherine segera kembali ke Hotel Firdaus. Dari situ, dengan bantuan Aisyah yang rupa-rupanya adalah adik perempuan kepada Pengiran Lutfi, dia dan Sharlene dibawa keluar meninggalkan hotel tersebut melalui pintu belakang. Agen-agen wanita PPA dari kedutaan yang diketuai oleh Jenny sampai ke Hotel Firdaus sebaik mereka berdua masuk ke dalam kereta Aisyah. PPA baru sahaja mendapat maklumat daripada Dania tentang penglibatan Katherine di dalam kejadian di Pulau Merah tempoh hari.

Ketika kereta yang membawa Katherine dan Sharlene meninggalkan kawasan hotel tersebut, Jenny dan kumpulannya sudah pun tiba di hadapan pintu Suite 99. Sistem kunci Suite 99 itu digodam. Selepas beberapa minit mencuba pintu itu akhirnya berjaya dibuka.

Jenny dan seorang lagi agen wanita PPA masuk dan dua orang lagi agen POK mengawal di luar. Mereka berdua kecewa bila mendapati tiada sesiapa di dalamnya. Mereka berdua menunggu di dalam suite 99 itu. Manakala dua orang agen POK yang mengawal di luar tadi pergi memeriksa di seluruh bahagian hotel terutamanya kafe, kolam renang dan lobi untuk mengesan Katherine. Mereka menyangka Katherine masih di hotel tersebut kerana beg pakaian, pakaian dan alatan solekan masih berada di dalam suite tersebut. Sebenarnya Katherine sengaja meninggalkan barang-barang kepunyaannya itu di situ. Itu ada dalam rancangan kehilangannya kelak. Dia dan Sharlene membawa apa yang perlu sahaja tadi.

Rohaya memberitahu Aisyah tentang kehadiran sekumpulan wanita yang mencari Katherine di Hotel Firdaus. Aisyah berjanji akan memastikan Katherine dan Sharlene selamat sampai ke tempat pertemuan mereka dengan Pengiran Lutfi.

“Ada sekumpulan wanita mencari cik di hotel sejurus kita meninggalkan Hotel Firdaus tadi,” kata Aisyah sambil membelok memasuki jalan pintas untuk ke lapangan terbang persendirian di pinggir Darul Ehsan. Mereka akan bertemu dengan Pengiran Lutfi di situ lalu terbang ke  Jira untuk melihat Sayyid Fahim.

“Aku yakin mereka adalah agen-agen PPA, lady,” kata Sharlene.

Katherine tidak mempedulikan pertanyaan Aisyah. “Aku rasa mereka sudah tahu rancanganku untuk bersama Roshil. Mungkin Dania sudah membocorkan rahsia yang aku juga terlibat di dalam kejadian di Pulau Merah itu,” kata Katherine. “Apa pendapat engkau, Sharlene?”

“Aku juga rasa begitu. Nasib baik kita bertemu Pengiran Lutfi awal,” kata Sharlene.

“Boleh pandu lebih laju, Cik Aisyah?” tanya Katherine.

Aisyah menambah kelajuan kereta. Mereka selamat sampai di lapangan terbang persendirian itu. Pengiran Lutfi sudah menanti mereka di situ. Masuk ke dalam pesawat peribadi lalu terbang meninggalkan Darul Ehsan menuju ke  Jira.

Lima belas minit pertama dalam penerbangan itu Katherine banyak menyoal Pengiran Lutfi tentang sukuk. Pengiran Lutfi menjawab setiap soalan Katherine itu dengan penuh semangat. Dia berasa amat gembira kerana Katherine menunjukkan minat yang mendalam terhadap sukuk. Dia berharap sukuk akan akhirnya menggantikan bon di seluruh dunia supaya dunia permodalan dan perniagaan menjadi lebih adil dan saksama.

Pengiran Lutfi tahu di sebalik keghairahan Katherine terhadap sukuk, gadis di hadapannya itu ada perkara penting lain yang hendak dibualkan dengannya. Ilmu firasatnya mengatakan begitu. Pertanyaan Katherine tentang adakah dia mengenali Sayyid Muhaimin tadi adalah isyarat kepada itu. Dia lihat mata Katherine bersinar-sinar dan mukanya berseri-seri ketika bertanyakan soalan itu. Dia hanya mampu mengangguk tadi sebelum lekas berlalu tetapi sempat mengajak Katherine menyertainya ke Jira untuk menemui Sayyid Muhaimin. Katherine segera menerima sambil mengatakan bolehlah mereka berbincang tentang sukuk dengan lebih lanjut dalam penerbangan nanti.

“Bagaimana cik kenal Sayyid Muhaimin?” tanya Pengiran Lutfi tiba-tiba.

Katherine lega kerana akhirnya dia tidak perlu bersusah payah untuk menukar tajuk perbualan. “Aku kenal dari Roshil,” jawab Katherine.

“Cik kenal Roshil?” tanya Pengiran Lutfi.

Katherine mengangguk.

“Apa khabar dia?” tanya Pengiran Lutfi.

Katherine mengeluh dalam.

“Kenapa dengan dia?” tanya Pengiran Lutfi lagi.

Katherine menceritakan apa yang berlaku selepas kejadian di Pulau Merah itu.

“Tiada siapa tahu di mana dia sekarang. Tetapi aku percaya dia menuju ke sini. Di mana lagi tempat untuknya mencari perlindungan selain di sini,” kata Katherine mengakhiri ceritanya.

Pengiran Lutfi segera menghubungi Adnan. Dia memaklumkan maklumat yang baru diterimanya itu.

“Jadi Cik Katherine ke sini kerana…”

“Kerana ingin berada di sampingnya,” potong Katherine pantas. “Aku juga tidak selamat lagi berada di sana. Aku juga terlibat di dalam usaha melepaskan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dari penjara rahsia itu. Malah aku pencetus kepada tindakan Roshil itu. Aku terdengar papaku dan orang terkanannya merancang untuk membunuh Sayyid Muhaimin. Perkara itu aku sampaikan kepada Roshil. Dania sudah ditahan dan aku percaya dia sudah pun membocorkan rahsia. Sekumpulan agen PPA baru mencari aku di hotel sebentar tadi. Ini diberitahu sendiri oleh kawan Aisyah tadi,” jelas Katherine memandang Aisyah. Aisyah mengiakan kata-katanya.

“Aku harap pihak tuan lindungi Lady Katherine,” minta Sharlene.

“Aku akan usahakan sesuatu nanti,” jawab Pengiran Lutfi.

Pesawat peribadi itu tiba di Jira selepas sejam penerbangan. Ramai orang sudah berada di situ untuk menziarahi Sayyid Muhaimin. Raden Ehsan yang menjaga Sayyid Muhaimin sejak tidak sedarkan diri memberitahu bahawa pemuda itu akan sedar bila-bila masa. Ilmu perubatan moden dan ilmu perubatan tradisional yang dipakarinya menunjukkan tanda-tanda itu. Subuh tadi sepasang mata Sayyid Muhaimin sudah mampu bergerak-gerak cuma tidak sampai celik.

Katherine kagum dengan suasana yang baru dilihatnya. Orang-orang muslim rupa-rupanya tidak akan sama sekali membiarkan orang-orang muslim yang lain menanggung kesakitan seorang diri. Bagi mereka menziarahi orang sakit adalah satu tuntutan tidak kira dia saudara mara, sahabat handai, jiran-jiran dan lain-lain.

Selepas dua tiga hari berada di Tanah Melayu dia mendapat gambaran jelas tentang Tanah Melayu. Mereka, muslim di Tanah Melayu, simpulnya, masih kuat menggenggam ajaran Islam. Berlainan sekali dengan penganut agama-agama lain di mana nilai-nilai murni yang diajar di dalam agama masing-masing semakin diabaikan malah dilupakan.

Aisyah memanggil Katherine dan Sharlene. Mereka bertiga bersama Raden Ehsan, Pengiran Lutfi, Adnan, Yasir, Umar, Matthew, Grerory, Dylan, Aaron, Harith dan beberapa orang anggota Pasukan 6 SEAL yang menjalankan misi melepaskan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dari penjara rahsia di Pulau Merah sedang berdiri melihat Sayyid Muhaimin.

Tiba-tiba sepasang mata Sayyid Muhaimin itu bergerak-gerak pantas. Raden Ehsan mengisyaratkan  supaya mereka membiarkan apa yang sedang berlaku. Dahi dan muka Sayyid Muhaimin mula berkerut-kerut. Peluh yang berbintik di dahi meleleh ke muka dan pecah di leher. Kini tangannya pula bergerak-gerak. Beberapa saat kemudian jari-jari yang kaku sejak beberapa hari itu mula menggenggam-genggam kain cadar. Kemudian giliran sepasang kakinya pula terenjat-renjat sekejap sebelum badannya kaku semula seperti sebelumnya.

“Sayyid Muhaimin,” panggil Raden Ehsan di telinga Sayyid Muhaimin sambil menepuk lembut bahu sahabat baiknya itu.

Sayyid Muhaimin tidak memberi sebarang reaksi. Sekujur tubuhnya kaku seperti kayu. Matanya terpejam seperti mayat.

“Sayyid Muhaimin,” panggil Raden Ehsan untuk kali kedua.

Sayyid Muhaimin tetap seperti sebelumnya.

“Sayyid Muhaimin,” panggil Raden Ehsan untuk kali ketiga.

Selepas seketika Sayyid Muhaimin pun membuka matanya dan terbidas bangun. Serentak dengan itu terpacul keluar dari mulutnya, “Allahuakbar.”

“Alhamdulillah…” ucap Raden Ehsan. “Akhirnya engkau kembali sedar sahabatku,” sambungnya sambil memeluk Sayyid Muhaimin. Raden Ehsan menitiskan air mata.

Pengiran Lutfi, Adnan, Yasir dan Umar juga segera mengucapkan syukur sambil bergilir-gilir memeluk Sayyid Muhaimin. Air mata gembira bercucuran. Suasana ketika itu sungguh sayu.

Sayyid Muhaimin mengucapkan syukur. Kemudian melemparkan pula senyuman manis kepada Aisyah. Kemudian kepada Katherine dan Sharlene. Dia melihat lama muka Katherine dan Sharlene lalu bertanya kepada semua, “Di mana Roshil?”

“Dia tiada di sini,” beritahu Yasir.

“Dia tiada di sini?” tanya Sayyid Muhaimin seperti kehairanan.

“Kenapa Sayyid Muhaimin?” tanya Raden Ehsan.

“Aku berasa seperti dia ada di sini,” jawab Sayyid Muhaimin. “Aku melihatnya di dalam kejadian-kejadian berasingan krtika tidak sedarkan diri. Terakhir aku lihat dia berseorangan di dalam bot yang terdampar di sebuah pantai yang amat indah.”

“Mungkinkah dia sudah berada di sini?” tanya Pengiran Lutfi kepada Adnan.

“Aku rasa dia sudah berada di sini,” sampuk Katherine tiba-tiba.

Sayyid Muhaimin pantas memandang Katherine. “Boleh aku tahu siapa cik?”

“Aku adalah adik beradik angkat Roshil,” jawab Katherine. Kemudian menceritakan apa yang berlaku selepas kejadian di Pulau Merah itu sehingga menyebabkan dia menjejakkan kaki ke Tanah Melayu itu.

“Apa pendapat engkau semua?” tanya Sayyid Muhaimin.

“Periksa semua lokap agensi marin di seluruh Tanah Melayu ini,” kata Raden Ehsan memberi arahan kepada Adnan.

Bab 51

Pusat operasi PPA itu tegang. Stewart resah gelisah. Roshil belum ditemui. Aharon mendesak kerana Richard Rotchield sudah marah-marah. Semua agen PPA bekerja siang malam. Tetapi usahkan Roshil bayangnya juga tidak dapat dikesan oleh mereka. Mereka hampir di jalan mati. Masing-masing mulai percaya Roshil mungkin sudah melepasi sempadan Alam Hitam dan kini entah di mana.

“Tuan, Danny, ketua perisikan kita di Negara Laut di talian,” kata salah seorang staf PPA yang bertanggungjawab terhadap komunikasi.

“Paparkan di skrin,” arah Stewart.

Wajah Danny terpampang di salah satu petak pada skrin gergasi di hadapan.

“Ada apa-apa maklumat?” tanya Stewart.

“Tiga sepuluh minit pagi tadi sekumpulan anggota Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut mengesan kehadiran sebuah bot laju yang cuba merentasi selat untuk ke Tanah Melayu. Mereka sangka ia adalah bot penyeludup. Cuba memintas tetapi bot laju itu berjaya membolosi kepungan dan masuk ke perairan Tanah Melayu. Beberapa minit selepas itu agensi keselamatan Tanah Melayu tiba untuk mengepung kawasan tersebut. Bot laju dan dua orang di dalamnya dibawa ke Tanah Melayu,” terang Danny.

“Jadi?” tanya Stewart.

“Salah seorang daripada dua orang di dalam bot laju yang mereka sangka penyeludup itu ialah Roshil!” beritahu Danny.

Stewart dan semua staf di Pusat Operasi PPA itu tercengang dengan maklumat terbaru itu.

Danny mengarahkan staf PPA di Negara Laut menghantar video yang dirakam oleh kamera-kamera pada helmet anggota-anggota Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut ke Pusat Operasi PPA. Di skrin besar terpampang beberapa video dari pelbagai sudut itu. Video-video itu dimainkan satu persatu. Berhenti pada adegan-adegan yang memaparkan Roshil.

“Ujian pengecaman?” tanya Stewart kepada salah seorang yang mengendalikan sistem pengecaman pada video-video tersebut.

“Seratus peratus padan!” jawab staf PPA itu.

Stewart menggelengkan kepala. Mukanya merah padam. Dia tidak tahu bagaimana Roshil dapat melepasi kawalan mereka di sini sehingga berjaya tiba di Negara Laut dan seterusnya menyeberangi selat untuk ke Tanah Melayu.

Stewart teringatkan sesuatu. Fikirannya sampai kepada Rupert Green, pedagang mata wang bebas yang menjadi suspeknya semalam. Rupert Green satu-satunya suspek yang terbang ke Negara Laut. Dia lekas merasakan Rupert Green itu adalah Roshil bila terjadi begini. Dia teringatkan Rupert Green yang terlalu terkawal dan bersedia di lapangan terbang dua hari lepas.

“Periksa Rupert Green!” arah Stewart kepada salah seorang staf PPA.

“Rupert Green?” tanya salah seorang staf PPA.

“Ya. Suspek di lapangan terbang semalam. Yang terbang ke Negara Laut. Pedagang mata wang bebas yang didekati Jenny itu,” jawab Stewart.

Beberapa orang staf PPA di hapadan skrin komputer melakukan tugas masing-masing.

“Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Laut sekitar jam 11 tengahari,” beritahu staf yang memeriksa daftar ketibaan kapal terbang SA 222 di Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Laut.

“Ditunggu seseorang di luar dewan ketibaan,” kata staf PPA lain. Dia memeriksa semua rakaman kamera litar tutup di setiap laluan yang diambil oleh Rupert Green di Lapangan Antarabangsa Negara Laut. Dia membesarkan imej Edmund Teoh lalu membuat pengecaman. “Orang yang menunggunya ialah Edmund Teoh. Bekas anggota komando Negara Laut. Dibicarakan kerana dipercayai memberi maklumat rahsia kepada pihak asing. Tetapi dibebaskan kerana tidak cukup bukti. Kemudian dia bekerja sendiri sebagai pemandu teksi limosin,” katanya selepas data-data peribadi Edmund Teoh terpapar di skrin komputer selepas pengecaman disahkan. “Mereka berdua terus ke teksi limosin lalu beredar dari situ.”

“Rupert Green tidak menginap di mana-mana hotel,” beritahu staf PPA lain yang memeriksa daftar masuk setiap hotel di Negara Laut pada tarikh ketibaan Rupert Green.

“Dia hadir di bengkel Keenan Lee?” tanya Stewart kepada staf PPA lain yang baru bercakap dengan urusetia bengkel Keenan Lee.

“Dia tidak hadir bengkel Keenan Lee walaupun namanya ada,” jawab staf PPA itu.

Stewart menggelengkan kepala. Mukanya makin merah. Marahnya pecah. Dia tahu Rupert Green yang menjadi suspeknya di lapangan terbang dua hari lepas sah Roshil! Dia menumbuk meja dan mencarut-carut.

Beberapa minit kemudian staf PPA yang menjaga komunikasi itu menerima panggilan video daripada Federick.

Stewart mendengus. ‘Orang tua ini macam tahu-tahu sahaja apa yang sedang berlaku!’ bentaknya di dalam hati. Dia mengambil masa untuk mengarahkan agar panggilan video itu disambung ke skrin komputer di pejabatnya di pusat operasi itu. Dia memaklumkan perkembangan terbaru itu kepada bosnya.

Bab 52

Federick menerima panggilan video daripada Richard Rotchield sejurus panggilan videonya dengan Stewart tamat.

“Sudah jumpa Katherine?” tanya Richard Rotchield.

“Belum,” jawab Federick. “Agen-agen PPA sedang berusaha mengesannya. Dia tidak tinggalkan apa-apa jejak. Kami fikir dia disembunyikan.”

“Disembunyikan?” tanya Richard Rotchield. “Bukan menyembunyikan diri?”

“Dia tak mampu menyembunyikan diri sendiri tanpa dapat dikesan oleh kita. Kecuali dibantu oleh mereka yang mempunyai sistem keselamatan dan pertahanan yang sama atau lebih canggih daripada kita,” terang Federick.

“Tanah Melayu menyembunyikannya?” syak Richard Rotchield.

“Kami fikir begitu,” jawab Federick. “Bukankah kali terakhir dia dilihat berbual dengan seseorang dari Tanah Melayu,” sambungnya lagi.

Richard Rotchield mengeluh dalam. Luka hatinya semakin pedih. Tindakan Katherine kali ini benar-benar menyakitinya. Bersekongkol dengan Roshil untuk melepaskan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dapat difahami dan mula diterimanya. Tetapi meminta pertolongan daripada Tanah Melayu adalah sesuatu yang tidak dapat difahami dan diterimanya. Terbit rasa menyesal di hatinya kerana mempunyai seorang anak seperti Katherine.

“Roshil?” tanya Richard Rotchield dengan nada marah. Dia menyalahkan Roshil di atas semua yang berlaku. Jika Roshil tidak mengkhianatinya tentulah Katherine juga tidak akan mengkhianatinya.

“Dia sekarang berada di Tanah Melayu,” beritahu Federick.

“Apa?! Celaka! Apa yang engkau semua lakukan?!” jerit Richard Rotchield. Dia tidak dapat menahan marah. Menumbuk muka Federick di skrin komputernya. Skrin komputer itu retak seribu. Sistem pertahanan dan pembaikan komputer itu segera memulihkan semula skrin mayanya.

Wajah Federick tertera semula di skrin maya komputer yang sudah dibaikpulih itu. Kali ini dengan riak muka ketakutan.

Selepas beberapa jam perbualannya dengan Federick berlangsung, Richard Rotchield dikunjungi oleh Aharon yang memang tahu apa yang sedang berlaku.

“Aku boleh mati jika keadaan berterusan begini,” adu Richard Rotchield kepada Aharon. Pengkhianatan Roshil dan Katherine, ketidakstabilan emosi Rozanne bila mengetahui Katherine mungkin bersama Roshil di Tanah Melayu dan kesihatan Rozel yang semakin menyusut begitu menekan kepala dan jantungnya.

“Tuan ingin Katherine kembali?” tanya Aharon yang sentiasa menawarkan jalan penyelesaian bagi setiap masalah kepada Richard Rotchield.

“Ya. Aku ingin dia kembali. Dia anakku,” jawab Richard Rotchield, meluahkan perasaannya yang paling dalam.

“Aku ada rancangan,” kata Aharon.

Mata Richard Rotchield bersinar-sinar. “Apa rancangan yang engkau ada?”

Aharon tersenyum. Rancangan sulitnya semakin menghampiri kejayaan. “Sebarkan kepada dunia dia diculik,” kata Aharon.

“Oleh siapa?” tanya Richard Rotchield.

“Siapa lagi kalau bukan Roshil,” jawab Aharon.

“Roshil?” tanya Richard Rotchield selepas berfikir lama.

Aharon mengangguk yakin. Dia tahu Richard Rotchield amat bencikan Roshil sekarang. Dia yakin Richard Rotchield pasti gembira jika dikemukakan satu rancangan yang dapat  mengenakan Roshil. Bagi Aharon pula dia mahu Roshil kembali ke Alam Hitam. Hasratnya untuk menjadikan Roshil sebagai orang kanannya bila semua rancangan sulitnya berhasil kelak tidak pernah padam. Dia akan mencuci bersih otak Roshil sebaik pemuda itu kembali ke sisi Alam Hitam. Dia yakin selepas itu Roshil tidak akan ke mana-mana lagi selain berkhidmat kepadanya sahaja.

“Aku fikir rancangan engkau baik,” sambung Richard Rotchield, tersenyum. “Aku mahu lihat dia menderita kerana mengkhianatiku!” kata Richard Rotchield lagi. Kemudian menyambung selepas berfikir sejenak, “Ia juga boleh dijadikan alasan untuk kita menekan Tanah Melayu. Boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan. Boleh dijadikan sebagai ugutan supaya mereka menyerahkan kembar Roshil yang telah lama mereka sembunyikan itu!” Richard Rotchield ketawa.

Aharon tersenyum melihat Richard Rotchield kembali bersemangat. Dia gembira kerana Richard Rotchield dapat membaca kesan rancangannya itu. Tidak perlu baginya untuk menerangkannya lebih lanjut. “Boleh kita teruskan?”

Richard Rotchield memberi lampu hijau tanpa banyak soal. “Tapi pastikan Katherine tidak apa-apa. Aku mahu Katherine kembali ke sini dengan selamat. Itu sahaja.”

“Roshil?” duga Aharon.

“Engkau buatlah apa yang perlu kepadanya. Yang penting pastikan dia merana!” jawab Richard Rotchield.

Aharon mengangguk. Ketawa riang di dalam hati. Berasa bangga dengan dirinya sendiri.

Dulu dia orang terbuang. Diseksa oleh bangsanya sendiri. Diperlakukan seperti anjing. Keluarganya disembelih di hadapannya. Isterinya dan anak-anak perempuannya dirogol beramai-ramai sebelum dibunuh. Sebelum dia sendiri dibawa dengan trak bersama-sama kawan-kawan sebandar untuk ditembak. Dua tiga butir peluru menembusi bahu dan pehanya. Dia pengsan dan jatuh ke dalam lubang besar yang mereka korek sendiri.

Tentera-tentera Nazi Hitler kemudiannya menembak secara rambang ke arah mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam lubang besar itu. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Tentera-tentera Nazi Hitler yang ditugaskan untuk memastikan setiap tawanan itu benar-benar mati segera meninggalkan tugas mereka. Lalu mereka berlalu dari situ meninggalkan lubang besar yang dipenuhi mayat tidak dikambus seperti yang dirancang.

Dia tersedar dari pengsan selepas beberapa jam. Merangkak keluar dari lubang besar itu dengan susah payah dalam hujan yang sudah renyai. Di sisi lubang besar itu dia menangis tersedu sedan melihat orang-orang yang dikenalinya kaku berdarah di dalam lubang besar itu.

Bab 53

Roshil yang ditahan disoal siasat.

“Kenapa engkau ke sini?” tanya salah seorang pegawai penyiasat Agensi Marin Tanah Melayu.

“Aku tidak selamat di sana,” jawab Roshil.

“Apa jenayah yang telah engkau lakukan sehingga engkau tidak selamat lagi berada di sana?” tanya pegawai penyiasat  Agensi Marin Tanah Melayu lagi.

“Aku mengkhianati orang yang membesarkanku,” jawab Roshil dengan terus terang.

“Ceritakan kepadaku,” jawab pegawai penyiasat Agensi Marin Tanah Melayu itu. Dia orang ketiga yang menyoal siasat Roshil.

Roshil menceritakan semuanya.

“Benar apa yang engkau ceritakan ini?” tanya pegawai penyiasat itu setelah mendapati cerita Roshil yang baru didengarnya tadi sama dengan cerita yang diberitahu pada kedua-dua sesi soal siasat sebelumnya.

“Aku tidak tipu,” jawab Roshil.

Tiba-tiba pintu bilik soal siasat di ibu pejabat agensi keselamatan marin Tanah Melayu bahagian selatan itu dibuka.

Seorang pegawai penyiasat lain terjogol di hadapan pintu. “Dia bercakap benar,” katanya.

Pegawai penyiasat yang sedang menyoal siasat Roshil itu keluar dari bilik soal siasat itu. Menghilang bersama pegawai penyiasat yang muncul tiba-tiba di muka pintu tadi.

Fikiran Roshil menjalar-jalar bila ditinggalkan bersendirian. Dia berasa hairan kerana layanan yang diterimanya sebagai seorang tahanan begitu baik. Tambahan pula memandangkan dia orang luar. Diberi persalinan yang bersih dan makanan yang lazat. Ditempatkan di lokap yang bersih dan mempunyai kemudahan asas yang mencukupi. Disoal siasat dengan cara yang begitu lembut. Dipujuk dan dirayu sehingga hati keras mana pun mampu lembut dan terbuka. Tidak dengan seksaan-seksaan yang mengerikan lagi menyakitkan. Pegawai-pegawai soal siasat yang menyoal siasat kelihatan lebih bersikap bersahabat berbanding bermusuh dengannya.

Dia tertarik dengan kaedah soal siasat begitu. Bukan kaedah keras seperti yang pernah dilakukannya kepada Sayyid Muhaimin. Sayyid Muhaimin? Apakah khabarnya sekarang? Adakah santau yang meracuni tubuh badan Sayyid Muhaimin mampu ditawarkan oleh Raden Ehsan? Jika ya adakah dia sudah pulih sepenuhnya sekarang? Jika tidak adakah dia masih… masih… masih hidup? Atau adakah dia sudah ma…ma… mati?! Dua persoalan terakhir yang berlegar di fikirannya itu menakutkannya.

Roshil kembali dihurungi rasa bersalah yang amat sangat. Dia terkenangkan semula layanannya kepada Sayyid Muhaimin semasa di Pulau Merah dulu. Kejam! Itulah satu perkataan yang dapat menyimpulkannya. Ah, alangkah baik jika semua itu tidak berlaku. Alangkah baiknya jika dia bersangka baik terhadap Sayyid Muhaimin. Alangkah baik jikalau dia tidak bertindak mengikut perasaan. Lalu dipujuknya perasaan bersalah yang amat sangat itu dengan kata-kata Sayyid Muhaimin sendiri :

“Aku reda dengan ketentuan ALLAH ini. ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala berfirman pada ayat 22 surah Al-Hadid “Tiada satu pun bencana yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Lauh Mahfuz sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH.” Selalu ingat ini.”

“Pada ayat 155 hingga 157, ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala berfirman pula : “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi roji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

“Rasulullah SAW  ada bersabda, “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit, melainkan ALLAH akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya. Hadis riwayat Bukhari dan juga Muslim.”

“ Dan “Fa in nama al ‘us ri yusran. In nama al ‘us ri yusran.” Ayat lima dan enam surah Al-Insyirah. Apa terjemahannya? Terjemahannya ialah ‘Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.’Engkau tak bersalah.”

Kata-kata Sayyid Muhaimin itu begitu menyentuh hatinya yang paling dalam. Bila teringatkan kata-kata Sayyid Muhaimin itu air matanya mudah mengalir. Roshil menekup mukanya lalu menangis teresak-esak tetapi tetap berfikiran positif bahawa sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Air matanya belum kering ketika pintu bilik soal siasat itu kembali dibuka. Dia segera menyeka air matanya dari terus mengalir. Lalu terus memandang ke arah pintu. Di muka pintu berdiri salah seorang pemuda yang pernah ditemuinya di Gua Balam dulu.

“Alhamdulillah, rupa-rupanya memang engkau ada di sini!” ucap Adnan yang ditugaskan untuk mencari Roshil.

Adnan berjaya mendapatkan kebenaran untuk membebaskan Roshil daripada Majlis Syura Tanah Melayu. Anggota-anggota Agensi Marin Tanah Melayu di situ segera menguruskan pembebasan Roshil dari lokap. Dari situ mereka berdua terus terbang ke  Jira untuk bertemu Sayyid Muhaimin dan lain-lain.

Roshil berdebar-debar walaupun kelihatan melangkah tenang. Perasaannya sekarang bercampur baur antara bersalah dan gembira. Rasa bersalah terhadap kekejaman yang dilakukannya terhadap Sayyid Muhaimin tetap kekal. Rasa gembira pula terbit sebaik Adnan memberitahu mereka akan ke Jira untuk bertemu Sayyid Muhaimin. Lidahnya kelu sebaik mendengar kata-kata Adnan itu. Hatinya lega bukan kepalang. Mengetahui Sayyid Muhaimin masih hidup sudah cukup baginya. Sehingga dia terlupa bertanya lanjut tentang kesihatan Sayyid Muhaimin kepada Adnan.

Roshil tertidur sepanjang penerbangan. Lena buat pertama kali selepas kejadian di Pulau Merah itu. Bila dikejutkan sedar-sedar dia sudah tiba di lapangan terbang di Jira. Mereka berdua terus ke Istana Jira.

Beberapa orang kakitangan istana membawanya ke bilik tetamu. Dia diberi persalinan baru dan diminta bersiap sebelum tengahari. Dia menyegarkan diri. Mandi lama di bawah pancuran air dan kemudian menyalin pakaian lalu duduk seketika di hadapan jendela. Panorama indah Jira menyapanya. Laut yang biru dan gunung yang berbalam-balam biru begitu menenangkan hatinya. Tetapi tidak lama kerana tiba-tiba dia baru teringatkan keadaan kesihatan Sayyid Muhaimin. Segera hatinya berdebar-debar sehinggalah sekarang.

“Di sini encik,” kata kakitangan istana yang mengiringinya itu.

Mereka berdua berhenti melangkah di hadapan sebuah pintu yang besar. Pintu besar itu dibuat daripada kayu cengal. Permukaannya cantik berkilat. Urat-uratnya bercorak indah. Diukir pula dengan motif-motif bunga yang amat menawan.

Roshil mengeluh pendek perlahan. Dia seperti belum bersedia untuk berjumpa Sayyid Muhaimin. Dia khuatir jika di belakang pintu itu terlantar Sayyid Muhaimin yang nazak.

“Sudah sedia encik?” tanya kakitangan istana itu selepas mendengar keluhan pendek Roshil tadi.

Roshil menarik nafas panjang dan kemudian menghembuskannya. “Ya,” jawabnya sebaik mengumpulkan semangat.

Kakitangan istana itu melekapkan tapak tangan kanannya pada alat pengimbas di dinding sebelah bingkai pintu. Sistem pengecaman tapak tangan mengesahkan identitinya. Wajah seorang kakitangan istana lain yang berada di dalam bilik itu tertera di skrin di atas pengimbas itu. Kakitangan istana itu memberitahu kepada kakitangan istana di dalam tentang kehadirannya bersama Roshil. Mereka dibenarkan masuk. Sistem kunci dinyahaktifkan. Pintu itu terbuka perlahan-lahan secara automatik.

Berdiri segak menunggu di hadapan pintu di dalam ialah enam orang sahabat baik yang diketuai oleh Sayyid Muhaimin. Roshil segera menerpa ke arah Sayyid Muhaimin. Dia memeluk Sayyid Muhaimin lalu menitiskan air mata. Sambil berulang kali mengucapkan maaf.

Sayyid Muhaimin membiarkan sahaja keadaan itu. Bila tangis Roshil reda dan tubuh mereka kembali berpisah barulah dia berkata, “Tiada apa yang hendak aku maafkan. Aku gembira melihat engkau berada di sini. Aku gembira melihat engkau tidak apa-apa. Alhamdulillah.”

Roshil terharu semula. “Aku lebih gembira kerana engkau sudah sembuh.”

“Alhamdulillah dengan izin ALLAH,” jawab Sayyid Muhaimin.

Roshil mengangguk. Kemudian bersalaman dengan semua yang ada di situ. Berpelukan sambil berterima kasih kepada Matthew, Grerory, Dylan, Aaron, Harith dan anggota Pasukan 6 SEAL lain yang sanggup menolongnya tempoh hari. Kemudian Roshil terpaku bila melihat di belakang sekumpulan lelaki itu, dicelah-celah beberapa orang wanita, sepasang mata hazel yang amat dikenalinya. Katherine! jerit hatinya.

Roshil segera melangkah mendekati Katherine. “Bagaimana engkau boleh berada di sini Katherine?” tanyanya sebaik berada di hadapan Katehrine.

Katherine tidak menjawab pertanyaan Roshil itu. Air matanya sahaja yang mampu mengalir. Dia gembira kerana Roshil selamat. Dia lega kerana rindunya terubat. Dan dia tidak mampu mengucapkan perasaan gembira dan lega itu dengan kata-kata.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s