FANA SIRI #22

Bab 48

Katherine tahu, malah semua hadirin juga tahu, bahawa dia kalah dan Pengiran Lutfi menang. Secara tersiratnya ialah bon kalah dan sukuk menang. Hujah-hujahnya untuk mengangkat bon dan merendah-rendahkan sukuk mudah dipatahkan oleh Pengiran Lutfi. Hujah-hujah Pengiran Lutfi untuk menerangkan tentang sukuk yang sebenarnya terutamanya kepada komuniti kewangan dari Alam Hitam tidak mampu dipatahkan oleh Katherine.

Katherine memang bidang terjun tetapi dia bukan ke pentas dengan dada kosong. Dia tahu serba serbi tentang bon dan agak meluas pengetahuanya tentang sukuk tetapi masih juga tewas. Rupa-rupanya ada perkara tentang sukuk yang tidak diketahuinya. Rupa-rupanya para penyelidik sukuk di Alam Hitam menyapu banyak perkara benar tentang sukuk di bawah permaidani. Hal itu menjijikkan lalu memalukannya.

Sukuk menjadi ghairah terbarunya tentang Islam. Dia kagum dengan agama yang satu ini. Setakat yang dialaminya Islam seperti mencakupi kesemua aspek kehidupan. Bukankah agama yang benar sepatutnya begitu? Didorong oleh keterujaannya untuk mengetahui lebih lanjut tentang sukuk dia segera mencari Pengiran Lutfi sebaik sesi di atas pentas berakhir. Dia mengelak daripada bertemu dengan ahli-ahli kewangan Alam Hitam yang berebut-rebut untuk bertemu dengannya.

“Encik Pengiran Lutfi,” tegur Katherine sebaik sampai kepada Pengiran Lutfi yang sedang berbual dengan Gabenor Bank Russia.

Pengiran Lutfi terkejut disapa dari belakang lalu menoleh cepat. Gabenor Bank Russia terganggu. Sempat menarik muka kepada Katherine. Katherine tidak mempedulikan reaksi tidak puas hati Gabenor Bank Russia itu.

“Boleh aku bercakap dengan engkau?” tanya Katherine. Memandang Pengiran Lutfi lalu memandang Gabenor Bank Russia.

Gabenor Bank Russia meminta diri walaupun tidak berpuas hati dengan tindakan Katherine. Pengiran Lutfi cuba menghalangnya pergi tetapi dia enggan untuk kekal di situ bersama Katherine. Kerana dia tahu Katherine tidak senang dengan kehadirannya di situ melalui isyarat mata dan air muka yang ditunjukkan oleh wanita itu.

“Aku tertarik dengan sukuk,” beritahu Katherine terus terang. “Dari mana aku boleh dapatkan maklumat lanjut yang benar tentangnya. Aku mahu penerangan menyeluruh,” sambungnya.

Pengiran Lutfi berbesar hati. Dia maklum benar siapa Katherine. Ini satu perkembangan besar jika Katherine mahu mengetahui sukuk yang sebenarnya. “Kami akan hantar sekumpulan pakar sukuk untuk menerangkannya kepada cik kelak.”

Katherine gembira. Terlupa yang dia mungkin tidak akan kembali lagi ke Alam Hitam dan tidak mungkin memegang jawatan Presiden Sedunia Statebank itu lagi.

Tiba-tiba seorang lelaki mendekati Pengiran Lutfi. Dia membisikkan sesuatu ke telinga Pengiran Lutfi. Sharlene memerhati sahaja gerak bibir lelaki yang berbisik itu. Pengiran Lutfi lekas meminta diri dan memohon maaf. Ada hal penting yang menuntutnya beredar segera.

Sharlene yang memang pakar dalam membaca gerak bibir seseorang itu segera berbisik ke telinga Katherine, “Katanya Sayyid Muhaimin akan sedar bila-bila masa.”

Katherine yang terkejut terus mengejar Pengiran Lutfi lantas menyapa dari belakang sekali lagi, “Encik Pengiran Lutfi kenal Sayyid Muhaimin?”

Bab 49

Tayar SA 222 sudah mencecah landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Laut. Roshil baru sahaja memasuki dewan ketibaan. Dia memerhati sekitar dewan ketibaan itu dan dapat mengesan beberapa agen PPA dan anggota keselamatan Negara Laut di situ. Hal itu sudah dijangka kerana Negara Laut adalah salah sebuah negera di dalam Alam Hitam. Negara Laut berfungsi sebagai pengkalan utama Alam Hitam untuk memantau Tanah Melayu.

Roshil mengambil bagasinya dan berjalan tenang keluar dari dewan ketibaan itu. Seorang lelaki tionghua dengan papan elektronik tertera nama Rupert Green menyambutnya di luar dewan ketibaan. Mereka berdua ke teksi limosin lelaki tionghua itu. Anggota keselamatan Negara Laut berkeliaran di koridor luar lapangan terbang itu. Sebelum masuk ke dalam teksi limosin itu tiba-tiba dia ditegur.

“Encik Green,” suara garau seorang lelaki kedengaran.

Roshil tidak terus menoleh. Dia terlupa nama samarannya ialah Rupert Green. Tetapi untuk beberapa saat sahaja. Sebaik tersedar dia terus menoleh ke arah suara garau tersebut selepas ditegur untuk kali kedua.

Jantung Roshil berdegup kencang. Serta merta menyesal kerana terlupakan identiti barunya itu. Walaupun hanya beberapa saat tetapi ia boleh mencurigakan anggota keselamatan yang selalunya skeptikal. Dia sangat berharap anggota keselamatan yang sedang berjalan ke arahnya itu tidak berfikiran begitu.

“Ya, aku,” jawab Roshil.

Anggota keselamatan berbangsa tionghua itu sampai ke teksi limosin itu. Air mukanya dingin. “Apa urusan Encik Green ke sini?”

“Menyertai bengkel Forex Power oleh Keenan Lee,” jawab Roshil.

“Bengkel Keenan Lee?” tanya anggota keselamatan itu. Air mukanya berubah ramah. “Encik Green tahu Keenan Lee berasal dari mana?”

“Ya. Keenan Lee berasal dari sini kan?” balas Roshil.

Anggota keselamatan itu mengangguk bangga. “Lebih tepat dari Geylang. Sama kawasan dengan aku,” katanya bangga. “Ha, ini majalah bisnes encik. Terjatuh di muka pintu dewan berlepas tadi,” sambungnya selepas tersenyum.

Roshil tersenyum. “Oh, terima kasih. Tetapi bagaimana encik tahu nama aku?” tanya Roshil.

“Itu,” jawab anggota keselamatan itu sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah papan elektronik yang masih dipegang oleh pemandu teksi limosin tionghua itu. Nama Rupert Green masih tertera pada papan elektronik itu.

Roshil tersenyum. Menggeleng di dalam hati. Lantas lega.

Teksi limosin itu meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Laut. Roshil dibawa ke sebuah apartmen mewah. Pemandu teksi berbangsa tionghua itu segera mengacukan muncung pistol Baretta ke arah Roshil. Lalu menarik topeng yang melekat di muka Roshil. Muka sebenar Roshil terdedah. Dia menyimpan semula pistol di pinggangnya. Lalu memperkenalkan diri setelah yakin pemuda di hadapannya itu adalah Roshil. Dia adalah Edmund Teoh, kenalan Shawn di Negara Laut yang akan mengambil alih tugas membantu Roshil menyusup ke Tanah Melayu.

“Tidak lama lagi tuan akan ke tanah besar itu,” kata Edmund Teoh sebaik dilihatnya Roshil yang sedang berdiri di hadapan jendela itu melepaskan pandangannya ke arah selat. Di seberang selat itu adalah Tanah Melayu.

“Sudah engkau uruskan semuanya?” tanya Roshil.

“Sudah. Kita menyeberang tepat tiga pagi nanti,” jawab Edmund Teoh.

“Seratus peratus selamat?” tanya Roshil.

Edmund Teoh tidak berani memberi jaminan. “Tuan masih sempat mengubah fikiran. Sistem keselamatan Tanah Melayu terlalu canggih sehingga amat mustahil untuk sesiapa membolosinya. Aku hanya pernah sekali sampai di tebingnya ketika dalam pasukan komando Negara Laut dahulu. Itu pun terpaksa segera kembali ke sini selepas pihak keselamatan mereka berjaya mengesan kehadiran kami hanya selepas beberapa minit, ” jelas Edmund Teoh.

“Shawn pernah ingatkan aku tentang itu. Aku terpaksa ambil risiko. Aku tidak selamat lagi di sana,” jawab Roshil, nekad.

Edmund Teoh mengangguk setuju.

Selat itu tenang sahaja pada sepertiga malam itu. Malam pula gelap pekat. Bot laju yang membawa Roshil sedang menyeberang laju selat itu. Edmund Teoh yang mengemudi sesekali mengawasi sekeliling. Tiada tanda-tanda kehadiran anggota keselamatan setakat ini. Mereka berdua berasa lega.

Tetapi kelegaan itu tidak lama kerana tiba-tiba dari dalam kegelapan malam di belakang mereka muncul senyap beberapa buah bot pemintas Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut. Lampu bot-bot pemintas Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut itu dipancar serentak menghala ke arah bot laju yang dinaiki mereka berdua. Ia disertai dengan siren dan amaran supaya bot laju itu diberhentikan.

Roshil dan Edmund Teoh terkejut dengan serbuan itu. Mereka hanya beberapa puluh meter sahaja dari sempadan perairan Negara Laut dan Tanah Melayu.

“Teruskan! Tambahkan knot!” arah Roshil kepada Edmund Teoh.

Edmund Teoh menolak tuil kelajuan hingga ke tahap maksimum. Bot laju itu meluncur lebih laju membelah selat itu. Badan bot laju itu melambung-lambung sehingga ada ketikanya ia kelihatan terapung-apung di udara.

Anggota-anggota Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai yang mengemudi bot-bot pemintas menambah kelajuan bot laju masing-masing.

Dari jauh kelihatan sebuah helikopter Polis Pengawal Pantai Negara Laut sedang menuju ke kawasan itu.

Adegan kejar mengejar pun berlaku.

Bot-bot pemintas Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut berpecah tiga. Sebuah membelok ke kanan dan sebuah lagi membelok ke kiri. Sementara sebuah bot lagi kekal di tengah. Ketiga-tiga bot pemintas itu semakin mendekati bot laju yang dikemudi Edmund Teoh dan Roshil.

“Laju lagi!!!” jerit Roshil.

“Ini paling laju!” jerit Edmund Teoh pula. “Sedikit sahaja lagi kita akan masuk ke perairan Tanah Melayu!”

Helikopter Polis Pengawal Pantai Negara Laut sudah menghampiri kawasan kejar mengejar itu. Lampu limpah ditalakan ke arah bot laju yang dinaiki mereka berdua. Bot pemintas  Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut yang berada di tengah terus memberi arahan berhenti.

Edmund Teoh tidak mempedulikan arahan tersebut. Dia terus sahaja memecut laju membelah selat. Dua buah bot pemintas Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut di kiri dan kanan sudah hampir berjaya menyamai kedudukan bot laju Edmund Teoh dan Roshil. Kedua-duanya  menunggu masa untuk memotong lalu memintas.

“Berhenti atau kami tembak!” Salah seorang anggota Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut di dalam bot laju di sebelah kiri memberi amaran.

“Jangan pedulikan! Teruskan!” jerit Roshil.

Edmund Teoh mengikut arahan Roshil. Lalu anggota Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut itu melepaskan tembakan amaran. Peluru dari Glock 19 mengenai cermin hadapan bot laju itu. Dari helikopter beberapa das tembakan juga dilepaskan oleh anggota Polis Pengawal Pantai. Salah satu peluru itu terkena enjin bot laju itu sehingga nyaris merosakkannya.

“Kita hampir melepasi sempadan!” jerit Edmund Teoh.

Bot pemintas Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut di sebelah kiri berjaya memotong lalu memintas. Bot pemintas itu tiba-tiba melintang di hadapan mereka berdua. Jari telunjuk anggota-anggota Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut di dalamnya bersiap sedia untuk menekan picu rifle M16 dan MP5.

“Berhenti!!!” arah suara yang keluar dari corong pembesar suara bot laju itu.

Edmund Teoh nekad. Dia tetap mengekalkan kelajuan bot laju pada tahap maksimum. Bot laju itu terus melanggar bot pemintas  yang melintang di hadapan. Peluru-peluru keluar laju dari muncung-muncung rifle M16 dan MP5. Menghujani bot laju yang dinaiki mereka berdua. Edmund Teoh hilang kawalan terhadap bot laju itu. Bot laju itu terbang ke udara akibat pelanggaran. Ia melepasi bot pemintas yang dilanggar. Anggota-anggota  Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut sempat menembak bahagian bawah bot laju itu. Peluru menembusi lantai bot laju itu.

Bot laju yang dinaiki Edmund Teoh dan Roshil itu mendarat juga di perairan Tanah Melayu. Helikopter Polis Pengawal Pantai Negara Laut berlegar-legar di ruang udara Negara Laut. Ia masih tetap menghalakan lampu ke arah bot laju yang teroleng-oleng tidak bergerak. Bot-bot laju Polis Pengawal Pantai Negara Laut berhenti tepat di sempadan perairan.

Seorang anggota Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut yang mengetuai misi itu mengarahkan secara isyarat tangan kepada bot pemintas di sebelah kanan supaya masuk ke dalam perairan Tanah Melayu. Enjin bot laju yang dinaiki Roshil dan Edmund Teoh kedengaran menderam beberapa kali. Ia cuba dihidupkan tetapi gagal. Bot pemintas Skuadron Tugas Khas Polis Pengawal Pantai Negara Laut di sebelah kanan mula mencerobohi perairan Tanah Melayu untuk mendekati bot laju Roshil dan Edmund Teoh. Tanpa disedari sebuah helikopter Agensi Marin Tanah Melayu tiba dengan senyap. Beberapa minit kemudian muncul pula beberapa buah bot laju Agensi Marin Tanah Melayu mengepung bot laju yang dinaiki Edmund Teoh dan Roshil itu.

Bot-bot pemintas dan helikopter Polis Pengawal Pantai Negara Laut cepat berundur dari situ. Segera hilang dalam kegelapan malam selepas masing-masing mematikan lampu. Bot-bot laju Agensi Marin Tanah Melayu mendekati bot laju yang dinaiki Edmund Teoh dan Roshil.

“Angkat tangan kamu!” arah salah seorang anggota Agensi Marin Tanah Melayu.

Roshil bangun perlahan-lahan dengan kedua-dua tangan di kepala. Lalu berkata, “Kawan aku ditembak!”

Bot laju yang penuh dengan kesan tembakan itu ditarik ke pengkalan Agensi Marin Tanah Melayu yang terdekat. Edmund Teoh mati ketika dalam perjalanan ke hospital. Manakala Roshil ditahan di lokap untuk disoal siasat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s