FANA SIRI #21

Bab 46

Dari Suite 666 Roshil terus sahaja menemui Shawn, orang hubungannya itu. Dia diberi pakej yang dimintanya iaitu satu identiti baru yang mengandungi butiran peribadi baru, akaun bank maya baru, rupa baru menggunakan teknologi topeng terkini dan tiket kapal terbang ke Negara Laut atas nama identiti barunya itu. Shawn hanya dapat menguruskan perjalanannya ke Negara Laut sahaja. Dari situ seorang kenalan Shawn akan mengambil alih.

Dia menaiki teksi untuk ke lapangan terbang. Dia berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya. Kini dia berada di sekatan jalan raya terakhir yang dibuat sepuluh meter dari lapangan terbang. Kali ini pemeriksaan dilakukan dengan lebih ketat.  Semua yang melalui sekatan itu perlu melalui proses pengesahan cap jari.    

Salah seorang anggota keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya itu mengarahkan pemandu teksi yang membawa Roshil menurunkan cermin tingkap. Jari-jari tangan pemandu teksi itu diimbas dengan menggunakan mesin pengimbas cap jari. Mesin pengimbas cap jari itu melakukan carian. Beberapa saat kemudian jari-jari yang diimbas itu disahkan terdapat di dalam pangkalan data. Butiran peribadi termasuk foto terbaru pemilik cap jari itu terpampang di skrin mesin pengimbas cap jari itu. Foto di skrin mesin pengimbas cap jari itu sama dengan wajah pemandu teksi di hadapannya itu. Dia ditanya soalan-soalan peribadi dan dijawab. Anggota keselamatan itu berpuas hati lalu beralih kepada Roshil pula.

“Encik, hulurkan tangan,” arah anggota keselamatan itu kepada Roshil.

Roshil menghulurkan kedua-dua belah tangan.  Kesemua jarinya itu diimbas. Mesin pengimbas cap jari memulakan carian.

“Kenapa ada banyak sekatan jalan raya hari ini?” tanya Roshil. Bertanya untuk menenangkan dirinya.

“Kami mencari seseorang,” jawab anggota keselamatan itu.

Mesin pengimbas cap jari mengesahkan cap jari Roshil itu berada dalam pangkalan data. Butiran peribadi termasuk foto terbaru pemilik cap jari itu terpampang di skrin mesin pengimbas cap jari itu. Foto itu sama dengan wajah terbaru Roshil.

“Siapa nama engkau?” tanya anggota keselamatan itu tiba-tiba.

Roshil menjawab tenang, “ Green.” Kemudian menyambung pantas, “Rupert Green.”

“Umur?”

“32,” jawab Roshil pantas.

“Nama ibu?”

“Margaret Heinz.”

“Tempat lahir?”

“New York,” jawab Roshil dengan yakin.

Anggota keselamatan itu berpuas hati kerana jawapan yang diberi oleh Roshil padan dengan butiran peribadi Rupert Green yang terdapat di dalam pangkalan data di skrin mesin pengimbas cap jari. Teksi itu dibenarkan melepasi sekatan jalan raya tersebut.

Roshil menarik nafas lega seketika. Kemudian dia berdebar semula bila memasuki lapangan terbang. Anggota keselamatan di lapangan terbang itu luar biasa banyak berbanding biasa. Dia juga mengesan anggota-anggota keselamatan berpakaian preman berkeliaran di koridor luar, ruang legar, butik-butik, kafe dan tandas. Dia percaya mereka adalah agen-agen PPA.

Roshil berjalan dengan perlahan dan tenang dengan pandangan ke atas melalui ruang legar menghala ke dewan pelepasan. Berbanding jalan sebenarnya iaitu melangkah pantas sambil pandangannya tunduk ke bawah. Dia berasa tidak selesa kerana memakai kasut yang tinggi sedikit tumitnya dan bengkung untuk menambah tinggi dan berat badannya.

Kamera litar tertutup di ruang legar itu merakam setiap pergerakan manusia yang melalui kawasan tersebut. Kamera litar tertutup itu disambung terus ke skrin pusat operasi PPA seperti kamera-kamera tertutup lain di lapangan terbang itu. Sistem pengecaman membuat pengecaman setiap pengunjung yang melalui ruang legar itu. Sepasukan agen PPA yang memantau sistem pengecaman itu membuat analisis secara rawak. Butiran lengkap suspek-suspek diperincikan. Sistem pengecaman itu menunjukkan tinggi, berat badan dan menganalisa muka suspek-suspek tersebut.

“Fokus pada yang itu. Yang berjalan perlahan sambil memandang ke atas itu,” arah Stewart, ketua operasi memburu Roshil.

Salah seorang staf PPA itu membesarkan skrin yang menunjukkan suspek sedang berjalan ke arah dewan berlepas. Sesaat kemudian data-data mengenai suspek itu pun terpapar di skrin utama selepas sistem pengecaman itu mengecam suspek.

“Siapa dia?” tanya Stewart kepada staf PPA itu.

“Rupert Green. 32 tahun. Pedagang mata wang bebas,” jawab staf PPA itu.

“Tinggi dan berat seperti di pangkalan data?” tanya Stewart lagi.

Staf PPA menyemak tinggi dan berat suspek itu. “Sama,” jawabnya kemudian.

“Destinasinya?” tanya Stewart terus.

“Negara Laut,” beritahu staf PPA itu.

Stewart mengangguk-angguk. Masuk akal kerana Negara Laut adalah salah sebuah pusat dagangan mata wang terbesar di rantau sebelah sana. Tetapi hatinya mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada lelaki bernama Rupert Green itu.

“Terus fokus pada dia. Imbas tubuh badannya. Periksa jika ada tanda lahir pada betisnya,” arah Stewart. Kemudian mengarahkan pula agen-agen PPA di lapangan supaya memantau Rupert Green itu dengan lebih dekat.

Roshil tiba di pintu masuk dewan berlepas. Dia dan bagasinya diimbas. Pegawai lapangan terbang dan beberapa anggota keselamatan tidak mengesan sebarang perkara yang mencurigakan. Dia dibenarkan masuk ke dalam dewan berlepas. Matanya memerhati sekeliling dewan berlepas itu sepintas lalu. Dia berjaya mengesan beberapa lelaki yang mencurigakan. Dia percaya mereka itu adalah agen PPA.

Roshil ke kedai buku dan membeli beberapa naskah majalah bisnes. Kemudian duduk di salah sebuah sofa di dewan berlepas itu. Dia menunggu pesawat tiba sambil membelek-belek senaskah majalah bisnes yang baru dibelinya tadi.

“Ada tanda lahir?” tanya Stewart kepada staf PPA di hadapannya.

“Negatif,” jawab staf PPA itu.

“Sudah periksa akaun banknya?” tanya Stewart. “Periksa apa yang dibelinya,” arahnya pula.

“Sudah. Ia milik Rupert Green. Dia beli beberapa majalah bisnes. Satu umum dan dua lagi tentang pasaran mata wang dunia,” beritahu staf PPA itu.

“Rekod akaun bank itu ada yang mencurigakan?” tanya Stewart.

Staf PPA itu memeriksa rekod akaun bank Rupert Green itu. Membuat silang rujuk secara rawak dengan akaun bank hotel-hotel yang pernah dikunjungi Rupert Green. Transaksi-transaksi itu benar berlaku. Tidak direka-reka.

“Semuanya sah,” jawab staf PPA itu.

Stewart mengangguk-angguk. Dia berpuas hati dengan siasatan terhadap suspek yang sedang duduk tenang membelek majalah bisnes itu. Fikirnya, syaknya yang melampau tadi mungkin terbit daripada tekanan untuk menangkap Roshil. Kes itu berprofil tinggi. Dipantau langsung oleh Federick. Pengarah PPA itu tegas mahukan Roshil ditangkap tidak kira apa. Dia percaya tentulah Federick pula didesak oleh orang atasan.

Seorang wanita muda duduk di hadapan Roshil. Wanita itu seksi. Berbaju sendat merah. Berkaca mata hitam. Bergincu merah garang. Anggun. Dia menyilangkan kakinya. Kemudian membuka cermin mata lalu mendedahkan sepasang mata bundar berwarna coklat. Dia membuka sebuah majalah bisnes dan membacanya. Beberapa minit kemudian telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Lalu dia tergesa-gesa mencari beg tangan sehingga majalah bisnes yang dilepaskan di riba sebelum itu melorot jatuh ke lantai. Terkangkang betul-betul di hadapan Roshil. Panggilan itu mati dan dia mengeluh sebelum tersedar majalah bisnesnya yang sudah berada di lantai.

Wanita muda itu tunduk lalu terhantuk sedikit kepala Roshil yang sama tunduk untuk mengutip majalah bisnes itu. Wanita muda itu segera ketawa manja lalu melemparkan senyuman. Roshil menyambutnya dengan was-was.

“Maafkan aku,” kata wanita muda itu.

“Tidak mengapa,” jawab Roshil lalu menyerahkan majalah bisnes itu kepada wanita muda itu.

“Aku Jenny,” perkenal wanita muda itu sambil menghulurkan tangannya. “Dan engkau?” tanyanya pula sebaik tangannya itu disambut.

“Aku Rupert Green,” jawab Roshil.

“Ke mana?” tanya Jenny, menggerakkan perbualan.

“Negara Laut,” jawab Roshil.

“Perjalanan bisnes?” tanya Jenny lagi.

“Bagaimana engkau tahu?” tanya Roshil. Berasa curiga. Jenny seolah-olah tahu pekerjaan Rupert Green.

“Engkau membaca majalah bisnes. Tentu engkau seorang ahli perniagaan atau seseorang yang terlibat di dalam dunia korporat,” jawab Jenny.

Roshil tersenyum. Curiganya sebentar tadi hilang. “Engkau pula ke mana?” tanyanya.

“Negara Laut juga,” jawab Jenny, tersenyum manis.

“Perjalanan bisnes juga?” tanya Roshil lalu tersenyum.

Jenny mengangguk. “Aku pedagang mata wang. Dan engkau?” beritahu Jenny.

“Ah, kebetulan. Aku juga pedagang mata wang,” jawab Roshil.

Mata Jenny yang bundar itu semakin membulat besar kerana teruja. “Benar?”

Roshil mengangguk.

“Engkau dari firma mana?” tanya Jenny.

“Aku berdagang sendiri,” jawab Roshil.

Jenny tersenyum. “Aku bekerja dengan Bank Pusat. Mungkin satu hari nanti akan berdagang sendiri. Sedang kumpul modal sendiri,” jelas Jenny.

Roshil mengangguk setuju dengan rancangan Jenny itu. Lalu mereka berdua leka berbual tentang dunia perdagangan mata wang. Jenny bertanya macam-macam dan semua soalannya dijawab secara ringkas dan padat oleh Roshil.

“Sudah periksa suaranya?” tanya Stewart kepada salah seorang staf PPA.

“Sudah tuan. Tidak sama dengan Roshil,” jawab staf PPA tersebut. Di hadapannya, Sistem Pengecaman Suara baru sahaja memaparkan keputusan ‘Tidak Sepadan’ di skrin komputer.

Sementara Roshil dan Jenny terus berbual rancak.

“Engkau akan hadiri mana-mana bengkel di sana ke?” tanya Jenny.

Roshil mengangguk yakin.

“Bengkel apa?” tanya Jenny lanjut.

“Bengkel Forex Power oleh Keenan Lee ,” jawab Roshil. “Engkau pernah dengar namanya?” tanya Roshil kemudian.

“Siapa tak kenal Keenan Lee. Pedagang mata wang terbaik dunia masa kini. Menjadi jutawan seawal usia 18 tahun,” jawab Jenny. “Tetapi naked trading yang menjadi asas kepada teknik dagangannya itu perlu modal yang besar. Tekniknya seperti tiada cut loss. Hanya yakin pada trend pasaran.”

Roshil mengangguk setuju. “Aku ingin menambah ilmu. Ingin belajar tekniknya. Tentu ada rahsianya sampai dia mengisytiharkan di dalam salah satu majalah forex baru-baru ini bahawa teknik yang digunakannya adalah zero loss. Aku tahu itu kata-kata tidak masuk akal kerana tiada forex trader yang tidak pernah rugi. Spekulasi boleh membuatkan semua analisa teknikal tidak berguna pada bila-bila masa sahaja. Tetapi apa yang nyata sekarang dia antara  yang terbaik, bukan?”

“Jadi boleh aku tahu apa teknik yang engkau pakai sekarang?” tanya Jenny, tersenyum manis, merayu manja seperti kanak-kanak yang mahukan gula-gula.

Roshil tersenyum. “Teknik tradisional yang terbukti berkesan sejak sekian lama. Ilmu candlestick, ilmu support dan resistance dan ilmu trend. Untung dan rugi mesti 2 nisbah 1. Risiko per sekali dagangan mesti bersesuaian dengan modal. Kawal emosi dan jangan tamak. Selalu ingat kita ini ikan bilis jadi trend is your friend!” jelasnya.

Jenny mengangguk. “Ya, ya,” sokongnya. Kemudian meneruskan, “Teknik-teknik yang ringkas tetapi berkuasa itulah juga yang dipraktikkan oleh pedagang-pedagang mata wang institusi-institusi kewangan besar seluruh dunia.”

Pengumuman bergema. Penerbangan ke Negara Laut akan berlepas tidak lama lagi. Penumpang-penumpang Airbus SA 222 ke Negara Laut mula berbaris di gerbang nombor empat. Roshil bangun lalu ikut menambah barisan. Jenny pula bergerak ke arah bertentangan. Ke tandas seperti yang diberitahunya kepada Roshil.

Sebaik empat lima langkah meninggalkan bangku Jenny melaporkan. “Negatif. Dia memang Rupert Green. Seorang pedagang mata wang bebas. Tiada tanda dia adalah Roshil yang kita cari.”

“Namanya juga memang ada di dalam senarai peserta yang akan mengikuti bengkel Keenan Lee itu,” beritahu Stewart kepada Jenny, agen wanita PPA yang berada di lapangan itu.

Selepas lima belas minit, Airbus SA 222 pun meninggalkan landasan. Terbang laju menuju ke Negara Laut. Sementara di lapangan terbang Stewart mula menumpukan perhatian kepada suspek-suspek baru.

 

Bab 47

Richard Rotchield marah menyinga selepas diberitahu bahawa mereka belum lagi menemui Roshil walaupun segala sumber yang ada sudah digunakan.

“Sudah dengan semua cara?” tanya Richard Rotchield kepada Federick selepas marahnya sedikit reda.

“Ya,” jawab Federick, Ketua Pengarah PPA itu.

“Tiada cara lain untuk mengesannya?” tanya Richard Rotchield.

“PPA sedang menggandakan usaha untuk mencarinya. Dia terlalu licik. Tidak meninggalkan sebarang petunjuk di mana dia berada,” jawab Federick.

“Aku mahu engkau cari dia sampai jumpa,” tegas Richard Rotchield.

“Baik tuan,” jawab Federick.

“Engkau boleh pergi dari sini,” arah Richard Rotchield.

Tetapi Federick tidak meninggalkan kerusi.

“Kenapa engkau masih di sini?” tanya Richard Rotchield, kehairanan.

Aharon yang berdiam diri sejak tadi mencelah, “Federick ada perkara penting yang mahu diberitahu kepada tuan.”

“Apa?” tanya Richard Rotchield. Matanya menikam masuk ke dalam mata Federick.

“Kami baru dapat maklumat kemungkinan Katherine juga terlibat dalam kejadian di Pulau Merah,” beritahu Federick.

“Apa?!” Richard Rotchield terperanjat besar. Dia memandang Federick lama. Kemudian melarikan pandangannya ke arah Aharon pula. Aharon mengangguk mengesahkan maklumat yang baru didengarnya itu. “Katherine terlibat?” tanyanya lemah.

“Benar, tuan. Dania yang disoal siasat lagi semalam membocorkan perkara tersebut. Maklumat itu akhirnya disahkan oleh Jacob. Katherine yang menyampaikan maklumat tentang rancangan kita untuk membunuh Sayyid Muhaimin kepada Roshil. Mereka menjadi orang tengah mengaturkan pertemuan Roshil dan Katherine. Lalu Roshil membuat rancangan untuk melepaskan Muhaimin dengan bantuan kenalan-kenalannya di penjara rahsia dan Pasukan 6 SEAL,” terang Federick.

Richard Rotchield terhenyak pada kerusi kulit. Dia memandang siling. Seorang demi seorang orang-orang yang dibesarkannya di dalam istananya sendiri mengkhianatinya. Dia berasa amat kecewa dengan apa yang berlaku. Hatinya berasa pedih dan jiwanya hancur luluh.

“Rozanne?” tanya Richard Rotchield. Dia amat berharap anak perempuan yang seorang lagi ini tidak bertindak mengkhianatinya seperti Katherine.

Federick diam lama. Dia tidak tahu apakah reaksi Richard Rotchield selanjutnya jika diberitahu perkara yang sebenar.

“Rozanne juga mengkhianatiku?!” tanya Richard Rotchield. Marahnya meletus semula. Kecewanya berada di puncak. Meja ditumbuk sehingga tangannya berdarah. “Apa yang dia lakukan?” tanya Richard Rotchield.

“Dia yang beritahu Roshil tentang rancangan kita untuk menangkap Roshil. Dia bertemu dengan Roshil di istana tuan. Roshil menjenguk puan ketika itu. Kemudian mereka bertemu lagi di suite 666. Selepas itulah Roshil hilang,” terang Federick.

“Apa benar maklumat-maklumat ini?” tanya Richard Rotchield terhenyak semula di kerusi kulit. Dia berasa amat kecewa. Kedua-dua darah dagingnya mengkhianatinya.

“Rozanne beritahu sendiri pada Rabbi Yahuda. Pada mulanya dia percaya Roshil tidak bersalah. Tetapi tidak menyangka Roshil benar terlibat di dalam kejadian di Pulau Merah itu. Dia jadi panik bila menyedari tindakannya memberitahu  Roshil tentang rancangan kita itu salah. Lalu segera menemui Rabbi Yahuda untuk meminta bantuan. Tetapi sudah terlambat,” jelas Aharon.

“Di mana anak-anak perempuanku sekarang?” tanya Richard Rotchield, kedengaran lemah kecewa.

“Rozanne masih bersama kita. Di bawah pengawasan agen-agen PPA. Rabbi Yahuda berada di sampingnya. Tetapi Katherine…”

“Di mana Katherine?” Richard Rotchield memotong kata-kata Federick.

Federick menyambung kata, “Katherine…”

 

Katherine dan Sharlene selamat tiba di lapangan terbang persendirian Tanah Melayu. Sebaik melepasi pintu keluar dewan ketibaan mereka berdua disambut oleh beberapa orang wakil wanita daripada pihak penganjur. Mereka terus dibawa ke Hotel Firdaus dengan limosin yang disediakan.

“Kami berbesar hati kerana Cik Katherine sudi menerima jemputan kami,” kata salah seorang wakil wanita pihak penganjur itu selepas memperkenalkan dirinya kepada Katherine. Namanya Aisyah. Dia duduk di belakang bersama Katherine. Sharlene yang duduk di bangku hadapan sedang beramah mesra dengan Rohaya yang memandu.

“Aku berubah fikiran saat akhir,” jawab Katherine.

“Menghantar wakil besar bezanya dengan datang sendiri, Cik Katherine,” kata Aisyah, penuh sopan.

Katherine mengangguk setuju. “Siapa sepentas denganku  nanti?” tanyanya langsung.

Aisyah tersenyum. Lesung pipit menambah lagi kemanisan senyumannya itu. Dia mengeluarkan komputer tablet dari dalam beg tangannya. Lalu jarinya menyentuh folder ‘Forum Sukuk’ lalu menyentuh pula sub folder ‘Jadual dan Ahli Panel Setiap Sesi’. Dia terus memeriksa isi sub folder tersebut lalu menjawab, “Cik Katherine akan sepentas dengan Saudara Pengiran Lutfi.”

“Saudara Pengiran Lutfi? Siapakah dia? Bukan dengan menteri kewangan Tanah Melayu?!” tanya Katherine yang tidak pernah mendengar nama ahli panel yang akan sepentas dengannya itu. Ini forum kewangan Islam yang gah dan dia sepatutnya sepentas dengan menteri kewangan Tanah Melayu atau setara dengannya. Dia ambil hati. Berasa seperti direndah-rendahkan.

Aisyah tersenyum manis lagi. Dia dapat menebak apa yang bermain di fikiran Katherine. Maklumlah dia bahawa Katherine tidak membuat kaji selidik tentang teman sesesinya itu. “Saudara Pengiran Lutfi adalah pakar kewangan Islam. Salah seorang ahli badan penasihat ekonomi kepada penguasa Darussalam, Tanah Melayu. Dia memang masih muda tapi paling pakar dalam sukuk. ” Aisyah menjelaskan dengan setertib mungkin. Tidak mahu Katherine terasa hati.

Katherine termalu dan cepat berasa bersalah. Kagum dengan tingkah laku Aisyah yang tidak mudah tersinggung dengan reaksinya tadi. Malah membalas kebiadabannya itu dengan senyuman dan penjelasan yang penuh tertib. Dia melepaskan pandangannya ke luar. Matanya terlekat pada kubah sebuah masjid di hadapan. Kubah itu besar, bermotif cantik dan berwarna biru.

“Adakah itu masjid?” tanya Katherine sambil memerhati pula persekitaran masjid tersebut. Landskap indah yang menghiasai masjid itu mengagumkannya. Kereta penuh bersusun di tempat letak kereta dan padu kedua-dua bahu jalan.

“Ya, itu masjid,” jawab Aisyah.

“Ada keramaian hari ini?” tanya Katherine lagi.

“Hari ini hari jumaat. Semua lelaki muslim bersolat jumaat,” jawab Aisyah, tersenyum manis lagi.

Katherine tersenyum lebih kepada dirinya sendiri kerana mengingatkan kebodohan sendiri. Dia tahu tentang solat jumaat orang muslim itu. Dia terlupa hari ini adalah hari jumaat. Dia pernah terserempak dengan keadaan begini ketika melalui kawasan sebuah masjid di timur tengah beberapa tahun dahulu. Dia merengus waktu itu kerana kesesakan yang menyebabkan perjalanannya untuk menghadiri satu temu janji dengan salah seorang duta kerajaan Alam hitam di sana terganggu.

“Allahu Akbar,” ucapan itu bergema keluar dari masjid itu lalu menerpa telinga Katherine. Mata Katherine tertarik untuk melihat ke dalam masjid. Sedang bergerak di dalam limosin, dari jauh dia melihat seluruh isi masjid itu membongkok – rukuk, hampir serentak. Ketika dia berada bersetentangan dengan tengah masjid dilihatnya pula seluruh isi masjid itu bangun tegak semula – iktidal, hampir serentak selepas ucapan Allahu Akbar bergema lagi. Ketika dia berada bersetentangan dengan belakang masjid didengarnya ucapan Allahu Akbar itu sekali lagi. Kali ini seluruh isi masjid itu menyembamkan dahi mereka ke bumi – sujud, hampir serentak juga. Dia berasa takjub dengan pemandangan yang baru dilihatnya itu. Falsafah di sebalik gerakan-gerakan solat itu begitu mengharukannya.

Selepas melalui masjid tersebut limosin itu melalui pula sebuah medan perniagaan. Kedai-kedai di situ banyak yang tutup dan tidak kurang juga yang dibiarkan terbiar tiada siapa yang menjaga. Papan tanda di hadapan kedai-kedai itu memberitahu ia tutup walaupun pintu kedai-kedai tersebut ternganga. Katherine kehairanan dengan suasana tersebut. Satu suasana yang tidak ada di Alam Hitam.

“Kenapa kedai-kedai ditutup dan jika ada yang dibuka pun seperti tidak bertuan?” tanya Katherine.

“Tuan-tuan kedai itu bersolat jumaat,” jawab Aisyah.

“Tidak takut rugi kerana mungkin akan ada pelanggan ketika mereka sedang solat?” tanya Katherine, kehairanan.

“Bagi kami muslim, urusan akhirat mestilah diutamakan berbanding urusan dunia. Seruan solat itu wajib disahut. Kena tinggal segala urusan termasuk urusan perniagaan. Kerana perniagaan yang paling menguntungkan bagi seorang muslim adalah perniagaan dengan ALLAH,” jawab Aisyah.

“Biarkan kedai-kedai itu begitu sahaja? Tidak takut dirompak?” tanya Katherine lagi.

“Memang begitulah keadaannya. Jarang sekali dirompak,” jawab Aisyah.

“Termasuk kedai-kedai emas itu?” tanya Katherine pantas sebelum sempat Aisyah menerangkan dengan lebih lanjut.

“Ya,” jawab Aisyah.

“Kerana apa?” tanya Katherine, teruja ingin tahu.

“Kerana nilai-nilai Islam yang dipegang kukuh oleh seluruh muslim di sini,” jawab Aisyah.

“Di sini cuma ada satu bangsa?” tanya Katherine tiba-tiba.

“Tidak. Kami negara berbilang kaum. Ada cina, india dan pelbagai bangsa lagi,” jawab Katherine.

Katherine semakin kagum. “Mereka terima Islam?”

“Ya. Kami jamin hak mereka sebagai warganegara yang bernaung di bawah negara Islam,” jawab Katherine.

Katherine mengangguk faham. Dia merasa takjub sekaligus ingin tahunya terhadap Islam semakin membuak-buak.

Limosin sampai di Hotel Firdaus. Mereka disambut oleh beberapa orang kakitangan hotel tersebut.  Dia dan Sharlene ditempatkan di salah satu suite di sayap yang kebanyakkan penghuninya adalah wanita. Itu diberitahu sendiri oleh kakitangan kaunter hadapan tadi. Dia berasa selesa begitu.

“Sistemnya memang begini di sini?” tanya Katherine kepada salah seorang kakitangan yang menunjuk jalan ke suitenya.

“Ya, cik. Memang begini. Kakitangan di meja hadapan akan pastikan setiap pengunjung wanita ditempatkan di bilik pada sayap-sayap yang kebanyakkannya dihuni oleh pengunjung wanita lain. Setiap pengunjung wanita yang datang berseorangan atau berkumpulan akan diuruskan oleh kakitangan-kakitangan wanita. Mereka juga akan pastikan status hubungan bagi setiap pengunjung yang datang secara berpasangan. Pasangan yang berkahwin sahaja yang dibenarkan menginap sebilik,” terang kakitangan hotel itu.

“Jika mereka enggan?” tanya Katherine.

“Pihak hotel terpaksa menolak permintaan mereka untuk mendaftar masuk,” jawab kakitangan hotel wanita itu.

“Semua hotel di sini begitu?” tanya Katherine.

“Ya,” jawab kakitangan hotel wanita itu.

“Termasuk hotel-hotel antarabangsa?” tanya Katherine.

“Ya. Sudah dipersetujui dari awal bahawa setiap pengusaha hotel yang mahu mendirikan hotel di sini perlu mematuhi setiap peraturan tersebut,” jawab kakitangan wanita hotel itu.

“Tidak rugi?” tanya Katherine.

“Kami lebih mengutamakan peraturan Islam. Lebih menginginkan keuntungan akhirat berbanding keuntungan dunia yang tidak seberapa,” jawab kakitangan wanita hotel itu. “Tetapi setakat ini hotel-hotel di sini masih juga mencatatkan peratusan dihuni yang tinggi. Macam hotel ini peratusan dihuni tahunannya mencecah 98 peratus!”

Katherine terpana. Maksud penjelasan kakitangan wanita itu sama dengan Aisyah tadi. Dua jawapan yang sama daripada dua orang yang berbeza. Bukankah ia menakjubkan? 98 peratus?! Wow, itu juga angka yang menakjubkan!

“98 peratus?” pertanyaan itu keluar begitu sahaja. Katherine berasa kesal kerana bimbang kakitangan wanita hotel di sisinya itu tersinggung.

Tetapi kakitangan wanita hotel itu tidak bereaksi sedemikian. Dia tersenyum sahaja sebelum menerangkan, “Ya. Perniagaan yang diberkati ALLAH sentiasa akan subur.”

Katherine termalu. Dia mula terkesan dengan peribadi wanita-wanita Tanah Melayu. Mereka tiba di hadapan pintu suite 99.

“Aku selesa di sini lady,” kata Sharlene tiba-tiba.

Katherine yang sejak tadi mencari peluang untuk menerangkan keadaan dirinya yang sebenar ketika itu tersenyum. “Ya, aku juga. Engkau rasa kenapa?”

“Aku suka sistem di sini. Wanita diuruskan oleh wanita. Ditempatkan pula di bahagian yang kebanyakkannya wanita. Rasa lebih selamat begitu,” jawab Sharlene. Kenyataan yang keluar dari hati seorang bekas anggota unit elit tentera, yang sudah biasa berada di tengah-tengah lelaki, pastinya amat bererti.

“Sistem ini hasil daripada apa?” tanya Katherine menduga.

“Islam,” jawab Sharlene, pantas dan tidak teragak-agak.

“Apa yang engkau tahu tentang Islam, Sharlene?” tanya Katherine.

“Yang aku tahu Islam itu semuanya buruk. Tetapi hairan di sini Islam itu semuanya nampak baik dan sempurna sahaja. Lihat sahaja wanita-wanita Islam yang menyambut kita bermula dari lapangan terbang hingga ke sini tadi. Kesemua mereka mempunyai peribadi yang baik dan tetap profesional. Imej yang berbeza sekali seperti yang selalu digambarkan oleh media-media kita,” jelas Sharlene.

“Betul tu, Sharlene,” sambut Katherine. “Mungkinkah sesiapa pun akan tertarik dengan Islam jika kenal betul agama ini dan penganut-penganutnya?”

“Tidak mustahil,” jawab Sharlene.

“Engkau tahu cerita tentang Roshil?” tanya Katherine.

Sharlene menggelengkan kepala. “Kenapa dengan dia?”

Katherine menceritakan segalanya. Sharlene mendengar dengan sepenuh perhatian. Hati kentalnya yang diasuh oleh latihan-latihan keras unit elit tentera satu masa dahulu tersentuh juga dengan cerita Katherine itu.

“Adakah salah untuk dia menebus dosanya terhadap Sayyid Muhaimin dan mencari kebenaran, Sharlene?” tanya Katherine selepas menceritakan segalanya.

“Tidak. Tindakan Tuan Roshil itu betul,” jawab Sharlene.

“Mahukah engkau menolongku?” tanya Katherine.

“Katakan,” balas Sharlene.

“Biarkan aku menunggu, mencari dan akhirnya bersama Roshil di sini. Aku percaya dia akan ke sini. Dia tiada tempat lain untuk dituju. Janganlah engkau menghalangiku. Dan janganlah juga engkau laporkan kepada Richard Rotchield,” rayu Katherine.

Sharlene berfikir sejenak. Katherine berdebar-debar. “Lady, aku tidak akan menghalangi engkau. Dan aku berjanji tidak akan melaporkan perkara ini kepada Tuan Richard Rotchield. Malah aku akan bersama engkau mencari Tuan Roshil di sini. Engkau pun tahu akibat jika aku membelakangi Tuan Richard Rotchield? Aku tidak sanggup menanggung derita seksaan. Aku tidak rugi apa-apa kerana aku berseorangan di atas bumi ini,” jawab Sharlene.

Katherine lega. Lalu mereka berdua merencana rancangan untuk mencari Roshil. Salah satu rancangan mereka itu ialah dengan melengah-lengahkan detik mula kehilangan mereka. Mereka bersetuju untuk kekal dalam perhatian Alam Hitam sehinggalah berita tentang Roshil sampai ke telinga mereka. Jadi Katherine tetap akan menyertai Forum Sukuk itu.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s