FANA SIRI #20

Bab 43

“Roshil terlibat?!” Richard Rotchield terperanjat besar.

“Benar,” jawab Aharon. “Hugo mengesahkan perkara ini. Jacob yang membocorkan rahsia tersebut.”

“Aku tidak percaya!” tegas Richard Rotchield. Dia terhenyak di sofa kulit di dalam pejabatnya di Pusat Dagangan Satu Dunia, PDSD. Tangannya segera memicit-micit pelipis kepalanya yang tiba-tiba berdenyut-denyut keras.

Aharon tersenyum sahaja melihat reaksi biasa Richard Rotchield jika berdepan masalah.

Tidak lama selepas itu Richard Rotchield bersuara kecewa, “Aku sukar hendak percaya…”

“Tetapi itulah kebenarannya,” balas Aharon. “Hugo adalah agen terbaik PPA. Kes yang dikendalikannya 99 peratus tepat. Aku tahu tuan kecewa. Tuan perlu terima hakikat bahawa dia tidak sama dengan kita. Sekarang hal ini benar-benar terbukti apabila dia lebih simpati kepada musuh berbanding tuan yang membesarkannya.”

Richard Rotchield mengeluh panjang memperlihatkan kekecewaannya. Dia terkenangkan bagaimana dia membesarkan Roshil seperti anak kandungnya sendiri. Diberi segala yang diperlukan dan dicurahkan sepenuh kasih sayang. Sekarang dia berasa begitu bodoh kerana menyangka Roshil akan menganggapnya seperti bapa kandung sendiri sedangkan di dalam badan pemuda itu tiada setitis pun darahnya. Malah jika darah mereka yang sama merah itu dicampur gaul tidak mungkin bersatu kerana keturunan mereka musuh berzaman sejak dahulu. Berbelas tahun dia terlupa bahawa Roshil itu tidak lain dan tidak bukan adalah anak kepada sepasang suami isteri yang diburu lalu dibunuh olehnya. Kelupaan itu menyebabkannya mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada Roshil tanpa ragu-ragu. Dan sekarang kasih sayangnya terhadap Roshil itulah yang akhirnya menghukumnya.

Richard Rotchield menendang meja kopi di hadapan. Pasu bunga kristal pecah berkecai dan bunga-bunga ros merah bertaburan di lantai. Dia menekup mukanya sambil menahan marah.

Richard Rotchield lebih khuatir bila teringatkan Rozel. Dia tahu dan semua orang tahu bahawa Rozel amat menyayangi Roshil. Dia tahu Rozel sering tidak sihat kebelakangan ini sejak Roshil keluar dari Istana Abadi dengan tergesa-gesa tempoh hari. Sejak hari itu Rozel kelihatan tidak sesemangat dan seceria dahulu. Dia amat khuatir jika berita terbaru tentang Roshil ini akan memburukkan lagi keadaan Rozel.

Richard Rotchield mengeluh panjang lagi. Kecewanya bukan main. Dia teringatkan masalah lain yang akan timbul. “Berita ini sudah sampai ke telinga ahli-ahli majlis tertinggi lain?”

“Belum. Tapi pasti akan sampai ke telinga mereka sedikit masa lagi,” jawab Aharon.

“Arahkan orang kita cari dia sampai dapat. Bawa dia kepadaku. Aku mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku kepadanya. Tidak mungkin dia berubah dalam sekelip mata. Tidak masuk akal budak hingusan seperti Muhaimin itu mampu mempengaruhi Roshil,” arah Roshil.

“Baik. Tetapi jika benar Roshil berubah?” tanya Aharon. Mata Aharon mengilas pantas ke pintu. Dia ternampak kelibat orang melalui celah daun pintu yang sedikit terbuka itu. Dia tahu ia adalah Rozanne. Sengaja dilontarkannya soalan itu agar jawapannya didengar oleh Rozanne.

“Aku sendiri yang akan ajar dia. Berani dia mengkhianatiku! Cepat suruh orang kita cari dia!” marah Richard Rotchield.

Kelibat hilang menandakan Rozanne sudah meninggalkan pejabat itu dengan tergesa-gesa. Aharon tersenyum sahaja. “Kita harus neutralkan dia semula,” kata Aharon.

Telefon berbunyi. Richard Rotchield menjawab panggilan telefon itu. Setiausahanya memberitahu Kurt Rushel meminta satu mesyuarat tergempar diadakan segera melalui sidang video.

Richard Rotchield melihat Aharon. Aharon memberi isyarat agar diteruskan. Dinding di hadapan terbuka. Skrin besar yang terpampang dinyalakan. Beberapa saat kemudian kelihatan muka kesemua ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam di dalam petak-petak pada skrin besar tersebut.

“Apa tujuan mesyuarat ini diadakan?” tanya Richard Rotchield walau pun tahu jawapannya.

“Kami dapat tahu Roshil terlibat di dalam kejadian di Pulau Merah itu,” jawab Kurt Rushel.

“Bukan sahaja terlibat tetapi dia adalah dalangnya,” kata Onash Onashy.

“Bahaya jika kita biarkan perkara ini berlanjutan. Dia duri dalam daging. Harus dicabut segera jika tidak mahu kita binasa!” kata Kurt Rushel lagi. “Aku juga dapat tahu dia mempelajari Islam. Apa yang engkau akan lakukan, Richard Rotchield?”

“Jika benar apa yang engkau cakapkan aku akan bertindak tegas terhadapnya,” jawab Richard Rotchield.

“Bertindak tegas yang macam mana?” tanya Onash Onashy.

“Itu akan ditentukan kemudian setelah penilaian dibuat terhadapnya,” jawab Richard Rotchield.

“Penilaian apa?” tanya Kurt Rushel.

“Aku percaya dia dipukau untuk menyukai Islam,” jawab Richard Rotchield.

“Mustahil,” balas Kurt Rushel pantas. “Kita semua tahu siapa dia. Dia dilindungi sihir kabbalah. Tidak mungkin begitu mudah dipukau.”

Richard Rotchield terkejut bila mengetahui Kurt Rushel dan lain-lain maklum benar tentang Roshil. Tahulah dia rupa-rupanya Roshil dipantau dengan teliti oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi Alam Hitam selama ini.

“Sebab itu kena dibuat penilaian dahulu. Mustahil pendoktrinan yang telah dilakukan kepadanya boleh runtuh begitu sahaja,” balas Richard Rotchield.

“Engkau terlalu memandang rendah pada Muhaimin,” kata Onash Onashy. “Aku pula percaya Muhaimin berjaya mengisi jawapan kepada soalan-soalan besar yang bermain di fikiran Roshil selama ini. Tidakkah engkau perasan hal itu?”

“Muhaimin budak hingusan. Tidak mungkin dia mampu mempengaruhi Roshil,” balas Richard Rotchield.

“Jadi apa yang mendorong Roshil melepaskan Muhaimin dari penjara itu?” tanya Kurt Rushel yang terus menekan Richard Rotchield.

“Aku percaya dia dipukau,” jawab Richard Rotchield. “Beri aku masa untuk buktikan kebenaran kata-kataku ini.”

Kurt Rushel, Onash Onashy dan lain-lain diam seketika. Kemudian mereka setuju memberi peluang kepada Richard Rotchield untuk menilai Roshil. Mereka juga memutuskan bahawa Roshil haruslah dihapuskan jika keputusan penilaian yang dibuat nanti adalah negatif. Pemuda itu tahu terlalu banyak tentang mereka.

 

Bab 44

Rozanne bergegas mencari Roshil. Melalui Rabbi Yahuda dia mendapat tahu Roshil sekarang bertemu dengan Rozel di Istana Abadi. Ini kali pertama Roshil bertemu Rozel selepas keluar dari Istana Abadi secara tergesa-gesa dahulu.

Air mata Rozel bercucuran sebaik menatap muka Roshil. Rozel yang sudah sedikit kurus dan pucat mukanya itu meminta Roshil berjanji tidak akan ke mana-mana lagi. Roshil enggan berjanji dengan alasan dia ada kerja yang belum diselesaikan. Bila ditanya apa kerja yang belum selesai itu Roshil menjawab kerja mencari Tuhan.

Rozel faham keinginan Roshil itu. Kemudian dia hanya meminta agar Roshil selalu menziarahinya. Roshil berjanji akan menziarahinya jika punya kesempatan. Suatu janji yang dirasanya berat untuk dilakukannya memandangkan apa yang sedang berlaku. Dia tahu lambat laun dia mungkin tidak dapat lagi ke istana itu.

Roshil keluar dari kamar tidur Rozel lalu diterpa oleh Rozanne yang baru tiba.

“Aku ada perkara penting hendak beritahu engkau. Jumpa aku di Hotel Fantastic. Suite 666. Sekarang! Jangan beritahu sesiapa dan pastikan engkau tidak diekori,” kata Rozanne.

“Beritahu saja di sini,” balas Roshil.

“Terlalu bahaya. Banyak mata dan telinga. Cepat jumpa aku di sana!” balas Rozanne, sungguh-sungguh.

Rozanne segera berlalu. Roshil mengikut juga arahan yang diberikan oleh Rozanne.

Selepas setengah jam Roshil sudah berada di dalam suite 666 itu. Rozanne sudah menunggu di ruang tamu. Wajah Rozanne berseri-seri sebaik melihat muka Roshil. Rindunya yang sekian lama itu terubatlah. Terlupa perkara penting yang membawa pertemuan mereka itu.

“Kenapa engkau minta aku ke sini?” tanya Roshil sebaik melabuhkan punggung di sofa bertentangan.

Mata Rozanne terkerdip pantas. Dia terjaga dari lamunan sebentarnya. “Aku, aku dengar mereka akan menangkap engkau bila-bila masa.”

“Siapa mereka?” tanya Roshil.

“PPA,” jawab Rozanne.

“Dari mana engkau dapat maklumat ini?” tanya Roshil.

“Aku dengar perbualan papa dan Aharon di pejabat tadi,” jawab Rozanne.

Lalu Rozanne menceritakan bagaimana dia boleh mendengar perbualan Richard Rotchield dan Aharon. Dia ke pejabat Richard Rotchield untuk berbincang tentang perniagaan arang batu mereka di seluruh dunia. Rozanne dipertanggungjawabkan untuk memantau lombong-lombong arang batu milik Keluarga Rotchield di seluruh dunia. Ketika dia ingin menolak daun pintu yang tidak bertutup rapat itulah dia terdengar Aharon bertanya apa yang akan dilakukan oleh papanya jika benar Roshil berubah. Dia bergegas pergi selepas mendengar jawapan papanya itu. Meninggalkan pesan kepada setiausaha papanya supaya tidak memaklumkan kehadirannya di situ kepada papanya.

“Kenapa jadi begitu Shil?” tanya Rozanne kemudian. Dia ada mendengar khabar angin tentang Roshil yang mula cenderung kepada Islam. “Engkau terpengaruh dengan Islam?” tanyanya untuk mengesahkan khabar angin itu.

“Aku tidak terpengaruh,” jawab Roshil dengan tenang. “Tetapi tersedar oleh kebenaran,” sambungnya.

“Islam agama penuh dusta, Shil,” balas Rozanne dengan penuh yakin.

“Jangan tuduh begitu jika engkau belum mengenali Islam!” kata Roshil dengan nada suara yang sedikit tinggi.

Rozanne terkejut dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Roshil itu. Bukankah pemuda yang sama di hadapannya sekarang ini yang menyeksa seorang muslim bernama Muhaimin? Adakah Roshil sudah dipukau oleh Muhaimin?

“Bagaimana engkau boleh berubah dengan begitu cepat Shil?” tanya Rozanne.

“Kalau engkau sudah kenal maka engkau mudah cinta,” jawab Roshil. “Maksudku kenal yang benar-benar kenal daripada sumber yang benar-benar betul.”

Rozanne terpinga-pinga pula. Orang yang diseksanya diibaratkan sebagai sumber yang benar-benar betul? Bukankah ia satu kontradiksi yang paling nyata. Dia percaya Roshil dipukau. Dia tidak dapat menerima hakikat khabar angin itu benar. Baginya Islam adalah agama dusta, penuh ketidakadilan, keganasan dan pelbagai konotasi buruk lain.

“Engkau jangan terpengaruh Shil.” Rozanne mengingatkan. Nada suaranya nada merayu.

Roshil menggelengkan kepala. Dia amat kecewa kerana Rozanne tidak memahami dirinya. Bukankah Rozanne tahu dia pencari kebenaran yang tegar. Dia tidak akan tunduk melulu pada sesuatu tanpa hujah yang konkrit.

“Aku tidak terpengaruh tetapi tersedar. Engkau harus faham beza antara keduanya,” balas Roshil.

“Bagaimanakah sesuatu yang dusta mampu mengalahkan sesuatu yang benar?” cabar Rozanne.

“Jika begitu buktikan Islam itu dusta. Dan juga buktikan apa yang kita pegang selama ini benar,” balas Roshil.

Rozanne tersentak kerana tidak menyangka Roshil akan mencabarnya pula. Dia juga mengkaji agama dalam diam-diam seperti yang dilakukan oleh Katherine. Setakat ini dia tidak nampak kebenaran Islam. Apa yang dibacanya semua mengatakan bahawa Islam itu adalah agama dusta. Muhammad itu pendusta, pereka agama dan sebagainya. Dia telan semua yang dibacanya itu bulat-bulat tanpa mempersoalkannya.

“Engkau akan hilang segala-galanya jika terus begini Shil,” kata Rozanne. Mengelak untuk menjawab cabaran Roshil.

Roshil tersenyum mendengar kata-kata Rozanne itu.

“Engkau sanggup Shil?” tanya Rozanne lagi.

Roshil terus tersenyum.

Rozanne kebingunggan. Dia semakin percaya bahawa Roshil sedang dipukau. Tindak tanduknya yang seperti orang kurang siuman itu membuktikannya.

“Engkau sanggup kehilangan harta dan kedudukan kerana terpengaruh dengan Islam?” tanya Rozanne lagi.

Roshil tersenyum sahaja.

“Aku rasa engkau ini sudah dipukau! Tersenyum sahaja bila ditanya,” simpul Rozanne.

Roshil tergelak kecil sambil menggelengkan kepala. “Sepatutnya engkau menyokongku. Bangga kerana aku menemui jalan yang lurus. Menemui cahaya kebenaran yang sebenar. Tetapi sebaliknya engkau merendah-rendahkan penemuanku. Engkau mengugut-ugutku. Aku bukan manusia yang pentingkan harta dan kedudukan. Engkau silap jika beranggapan dua perkara itu mampu melunakkanku!”

Rozanne terperanjat. “Memang sah engkau sudah dipukau! Sedarlah, Islam itu bukan agama yang benar!” tegasnya kemudian.

“Tahukah engkau apa itu Islam yang sebenarnya, Rozanne?” tanya Roshil dengan lemah lembut.

Rozanne tersentak lagi. Dia tidak mampu memberikan jawapan lain selain yang sudah dikatakannya tadi. Dia tergamam beberapa ketika. Melihat Roshil dengan mata yang berkerdip.

Roshil tidak menunggu lama lalu terus menerangkan apa itu Islam sebenarnya, rukun Islam dan rukun Iman secara ringkas seperti yang pernah diterangkannya kepada Katherine tempoh hari. Rozanne gelisah mendengar penjelasan Roshil itu. Dia tidak senang diperkenalkan dengan Islam.

“Cukup, cukup,” kata Rozanne sebaik Roshil mahu menerangkan tentang perbezaan di antara Tuhan Islam dengan tuhan judaisme dan kristian.

Tiba-tiba telefon bimbit Rozanne berbunyi. Rozanne menjawab panggilan telefon. Salah seorang pembantu rumah di Istana Abadi memaklumkan sepasukan agen PPA baru tiba di situ. Mereka mencari Roshil.

“Mereka sudah tiba di Istana Abadi,” kata Rozanne.

“Aku harus pergi,” kata Roshil yang sudah merangka rancangan untuk memboloskan diri selepas kejadian di penjara rahsia itu. Dia menghubungi orang hubungannya. Orang hubungannya memberitahu semuanya sudah disiapkan.

“Engkau hendak ke mana Shil?” tanya Rozanne sebaik Roshil mahu melangkah pergi dari Suite 666 itu.

“Aku akan pergi mencari Muhaimin. Aku sudah tidak selamat di sini,” jawab Roshil.

“Engkau yakin akan selamat di sana?” tanya Rozanne.

Roshil tersenyum lagi.

“Kenapa engkau mahu sangat masuk ke dalam kegelapan Shil?!” tanya Rozanne, marah.

“Aku minta engkau kenal dulu Islam. Jangan tuduh melulu,” pinta Roshil dan terus berlalu dari situ.

Rozanne menangis kecewa dan kemudian menjerit sekuat hati, “Bodoh!”

 

Bab 45

Katherine resah gelisah sejak mendapat maklumat Dania dan Jacob ditahan oleh PPA. Resah gelisah itu semakin memuncak bila baru diberitahu oleh salah seorang pembantu rumah Istana Abadi yang rapat dengannya sejak kecil bahawa sepasukan agen PPA datang mencari Roshil di sana. Tetapi mujur Roshil sudah beredar dari situ.

Kertas kerja tentang perancangan konglomerat bank milik keluarganya untuk menguasai sistem perbankan dunia sepenuhnya itu tidak dipedulikan lagi. Dia adalah pengarah sedunia Statebank. Statebank, bank paling berpengaruh dan besar di dunia itu milik keluarga Rotchield sepenuhnya. Richard Rotchield menugaskannya untuk menerajui sistem perbankan yang telah dimonopoli oleh mereka sejak sekian lama.

Katherine segera menghubungi Cheng, seorang pakar IT di PPA. Cheng adalah kenalannya semasa di universiti dahulu. Cheng dapat memasuki PPA kerana hasil saranannya. Sekarang masanya dia berharap budi baiknya itu dibalas.

Cheng setuju setelah Katherine memberitahu apa sebenarnya yang berlaku. Lagi pula Cheng yakin tindakannya menolong Katherine tidak mungkin dapat dikesan oleh sesiapa. Dia paling pakar dalam IT di PPA.

Cheng memecah masuk ke dalam fail-fail sulit berkaitan Roshil. Dia berjaya memperolehi semua butiran lengkap soal siasat terhadap Dania, Jacob dan kenalan-kenalan Roshil di PPA itu. Dia juga berjaya memperolehi plan tindakan yang akan dilakukan oleh PPA terhadap Roshil. Dia juga berjaya memintas komunikasi di antara pusat operasi PPA dan sepasukan agen PPA yang sedang mencari Roshil. Dari situ dia mengetahui PPA tidak mengetahui di mana Roshil berada.

Katherine menarik nafas lega. Setidak-tidaknya Roshil selamat buat masa sekarang. Katherine tahu Roshil tidak akan selama-lamanya selamat. Sejarah PPA yang panjang membuktikan bahawa semua buruan pasti berada di dalam cengkamannya sama ada cepat atau lambat.

Dia tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk menolong Roshil. Dia berfikir lama cara untuk menolong Roshil. Setelah diperhalusi sedalam-dalamnya akhirnya dia mengambil keputusan untuk berada di sisi Roshil. Alasannya mudah iaitu Richard Rotchield pasti tidak akan mengapa-apakan Roshil jika anak perempuannya sendiri berada di samping pemuda itu.

Katherine bersedia melepaskan apa yang dimilikinya sekarang jika itulah tuntutan pengorbanan yang perlu dilakukannya. Lagi pula dia memang sudah tertarik dengan Islam. Dia boleh belajar tentang Islam dengan lebih mendalam jika bersama Roshil. Dia yakin Roshil akan ke Tanah Melayu untuk mencari perlindungan.

Tetapi di mana Roshil sekarang? Cheng belum memaklumkan apa-apa perkembangan terbaru. Dia tidak boleh berpeluk tubuh begitu sahaja. Dia perlu bertindak pantas. Jika perlu dia mesti mengatasi kepantasan PPA.

Katherine segera meninggalkan pejabat. Pulang ke kondominium mewahnya. Cheng menghubunginya dan memaklumkan bahawa PPA mengandaikan Roshil sedang menuju ke Tanah Melayu. Semua sempadan sedang diawasi rapi. Baik sempadan di darat, udara dan laut.

Tiba-tiba Katherine teringatkan sesuatu. Dia segera memeriksa kalendar peribadinya. Khusus pada program-program yang dianjurkan di Tanah Melayu. Ada satu forum penting tentang sukuk yang akan berlangsung dua hari lagi di Darul Ehsan. Dia sudah menyuruh Miley, ketua penyelidik Statebank, untuk mewakilinya menghadiri forum tersebut beberapa hari yang lalu. Lantas dia menelefon Miley untuk memberitahu yang dia sendiri akan ke sana. Mengarahkan Miley bercuti selama seminggu. Berpesan jika ditanya maklumkan dia demam dan diarah doktor berehat selama seminggu. Miley mengikut arahannya tanpa banyak soal.

Selepas habis berkemas Katherine segera meninggalkan kondominium mewah itu. Di lobi para pengawal peribadi yang menjaganya 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu itu segera mendekatinya. Dia memaklumkan kepada ketua mereka yang dia akan ke Darul Ehsan untuk menghadiri satu forum penting di sana. Dia meminta Sharlene, satu-satunya pengawal peribadi wanita di dalam kumpulan itu, menjadi pengiringnya ke sana. Dia rapat dengan Sharlene dan percaya mampu mempengaruhinya.

Ketua pengawal peribadi itu membenarkan tanpa mengesyaki apa-apa. Dia menganggap perkara itu remeh dan tidak perlu melaporkannya kepada Richard Rotchield. Ini bukan kali pertama Katherine terpaksa menghadiri mesyuarat atau forum secara mengejut di luar negara.

Katherine menghela nafas lega. Sejam kemudian dia dan Sharlene sudah pun berada di dalam perut jet peribadi yang terbang laju di udara menuju ke Tanah Melayu.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s