FANA SIRI #19

fana

Bab 40

Roshil dan kawan-kawannya berjaya mengusahakan sesuatu. Mereka membuat satu rancangan untuk melepaskan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dari penjara rahsia itu.

Lalu pada malam tanpa bulan itu mereka pun melaksanakan rancangan yang telah diatur rapi itu.

Dua buah bot laju 11M RIB mendarat di bahagian utara Pulau Merah. Lima orang anggota Pasukan 6 SEAL yang diketuai oleh Matthew turun dari bot laju tersebut. Kesemua mereka adalah kenalan Roshil.

Matthew dan anak buahnya memasuki hutan kecil di situ. Mereka meredah hutan tersebut lebih kurang lima belas minit dan akhirnya tiba di pinggir penjara rahsia. Mereka diam di situ sambil menanti isyarat.

Di dalam penjara rahsia, beberapa orang staf penjara, kenalan-kenalan rapat Roshil, memulakan rancangan mereka tepat jam dua belas malam. Dylan menyahaktifkan sistem kunci sel Sayyid Muhaimin dan Tok Mula. Pintu sel-sel itu terbuka. Harith dan Aaron masuk ke dalam sel dan membawa Sayyid Muhaimin dan Tok Mula keluar. Mereka terserempak dengan Damon, penyelia warden penjara, ketika mahu keluar dari sayap itu.

“Ke mana kamu berdua hendak bawa mereka?” tanya Damon.

“Ke bilik soal siasat. Agen-agen PPA mahu melakukan soal siasat,” jawab Harith.

Damon menghubungi pusat operasi penjara. Bertanya benarkah ada sesi soal siasat bagi banduan berkod 01 dan 02 pada tengah malam itu. Pegawai di pusat operasi mengesahkannya.

“Pergi segera,” arah Damon.

Harith dan Aaron segera pergi dari situ. Mereka menuju ke sayap soal siasat. Tetapi tidak memasukinya sebaliknya membelok ke kanan dan akhirnya tiba di hadapan sebuah pintu. Di bilik operasi, Grogery, salah seorang pegawai penjara yang bertugas di situ, menekan butang ‘buka’ untuk pintu bernombor sembilan itu. Lalu pintu di hadapan Harith, Aaron, Sayyid Muhaimin dan Tok Mula itu pun terbuka. Kemudian Grogery segera meninggalkan bilik operasi itu untuk menghilangkan diri.

Aaron segera menolak kerusi roda yang dinaiki oleh Sayyid Muhaimin melepasi pintu tersebut. Harith dan Tok Mula juga segera melepasi pintu tersebut. Pintu tersebut tertutup semula selepas beberapa saat terbuka. Di hadapan mereka terbentang hutan yang kelam. Harith mengeluarkan lampu suluh. Memberi isyarat lampu berkelip sebanyak tiga kali.

Matthew membalas isyarat daripada Harith itu. Lalu dia dan anak buahnya terus menghampiri Harith, Aaron, Sayyid Muhaimin dan Tok Mula.

“Di mana Grogery dan Dylan?” tanya Matthew.

“Mungkin dalam perjalanan,” jawab Aaron.

Mereka menanti Grogery dan Dylan di situ.

Di dalam penjara rahsia, Grogery dan Dylan bertemu di koridor menuju ke pintu bernombor sembilan. Mereka bertembung dengan Raymond, pegawai penjara yang mengetuai syif pada malam itu. Ditegur hendak ke mana. Mereka menjawab hendak ke tandas berdekatan dengan pintu bernombor sembilan. Raymond berasa sedikit sangsi dengan riak muka Dylan yang kelihatan gelisah. Tetapi dia tidak membuat kesimpulan apa-apa. Meneruskan langkahnya menuju ke sayap banduan berprofil tinggi.

Grogery dan Dylan segera ke pintu bernombor sembilan. Grogery mengimbas kad keselamatan pada mesin pengimbas di pintu tersebut. Pintu itu terbuka dengan pantas. Mereka berdua segera keluar. Pintu itu tertutup semula selepas beberapa saat.

“Itu mereka,” beritahu Aaron kepada Matthew.

Matthew segera memberi isyarat dengan lampu suluhnya. Grogery dan Dylan menyertai mereka di pinggir hutan itu. Kemudian mereka segera meredah hutan. Sayyid Muhaimin terpaksa dibawa dengan usungan. Kakinya semakin teruk dan badannya semakin lemah.

Raymond tiba di hadapan sel Sayyid Muhaimin dan Tok Mula. Dia terkejut besar bila mendapati sel-sel itu kosong. Lantas segera ke bilik operasi di sayap tersebut. Petugas di bilik operasi itu tiada di situ. Dia segera menghubungi pusat operasi. Bertanyakan siapa yang bertugas di bilik operasi itu pada malam itu. Diberitahu bahawa giliran Dylan. Raymond teringatkan Dylan yang gelisah yang ditemuinya sebentar tadi.

“Di mana banduan 01 dan 02 pergi?” tanya Raymond, kalut.

“Mereka sedang disoal siasat di bilik soal siasat,” jawab pegawai di pusat operasi.

Raymond segera menghubungi bilik operasi di sayap soal siasat.

“Belum sampai?!” Raymond kehairanan.

“Sudah sepuluh minit lewat daripada jadual,” beritahu petugas di bilik operasi itu.

Raymond segera menghubungi semula pusat operasi.

“Periksa semua kamera di sayap 01 dan koridor ke pintu sembilan,” arah Raymond.

Sebentar kemudian salah seorang pegawai pusat operasi menjawab, “Negatif!”

“Apa maksud engkau?!” tanya Raymond.

“Semua kamera di kawasan-kawasan itu tidak berfungsi!” jelas pegawai pusat operasi itu.

“Bunyikan siren! Banduan 01 dan 02 mungkin sedang melarikan diri! Hantar orang ke pintu sembilan!” jerit Raymond.

Sesaat kemudian siren amaran di dalam penjara rahsia itu pun berbunyi. Semua staf di dalam penjara rahsia itu kalut dengan tugas masing-masing.

Bunyi siren menyusup juga keluar dari penjara rahsia itu dan mencuit telinga Matthew dan lain-lain.

“Siren amaran sudah dibunyikan. Mereka sudah mengesan ketiadaan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula. Cepat bergerak!” arah Matthew. Mereka sudah tiba di gigi pantai.

Pintu nombor sembilan dibuka. Sepasukan Pasukan Elit Penjara, PEP, keluar dari pintu tersebut. Beberapa ekor anjing German Shepherd dilepaskan. Penutup lubang di atas bukit di buka. Beberapa buah helikopter tempur S-97 Raider dan Apache Guardian keluar dari lubang itu. Ia terbang menuju ke arah utara. Beberapa buah  bot laju 11M RIB keluar dari gua semulajadi di sisi bukit yang berhubung terus dengan lautan itu.

Bot-bot laju 11M RIB yang dinaiki Sayyid Muhaimin dan lain-lain meluncur laju tetapi senyap meredah gelap-gelemat malam itu. Mereka menuju ke arah timur. Bunyi desah rotor Sikorsky S-97 Raider serta Apache Guardian dan bunyi deram sekumpulan enjin bot laju 11M RIB kedengaran sayup-sayup ke arah utara.

Mereka tiba di bahagian barat Pulau Doba. Disambut oleh Raden Ehsan, Pengiran Lutfi, Adnan, Yasir, Umar dan sepasukan GGK dengan muncung Naga Berapi, sub-mesingan canggih buatan Tanah Melayu. Keadaan tegang seketika. Tetapi reda bila Pasukan 6 SEAL itu mengangkat tangan dan melemparkan MP5Nx masing-masing.

“Kami bawa Sayyid Muhaimin!” jerit Matthew.

“Adnan! Aku ni!” jerit Sayyid Muhaimin.

“Meniarap semua! Tangan di belakang kepala!” arah Adnan.

Semua anggota Pasukan 6 SEAL, pegawai-pegawai penjara rahsia termasuk Tok Mula meniarap di atas pantai dengan tangan di belakang kepala. Adnan, Raden Ehsan dan beberapa anggota GGK keluar dari tempat persembunyian dengan berjaga-jaga dan menghampiri Pasukan 6 SEAL  itu.

“Subhanallah, apa yang terjadi kepada engkau, Sayyid Muhaimin?” tanya Raden Ehsan sebaik melihat Sayyid Muhaimin di atas usungan.

“Siapa engkau?” tanya Adnan kepada Matthew.

“Kami kawan Roshil. Pasukan 6 SEAL,” jawab Matthew. “PEP sedang mencari kami. Mereka ke utara. Kita mesti beredar dari sini. Mereka pasti akan melakukan pencarian sehingga ke pulau ini nanti.”

Mereka semua beredar dari tepi pantai itu. Mereka bersembunyi di dalam hutan beberapa ketika. Adnan menghubungi Komander Zairil yang mengetuai KD Awang, kapal selam nuklear Tanah Melayu yang bersiap siaga di Lautan Atlantik khusus untuk misi menyelamatkan Sayyid Muhaimin selepas tiga puluh hari itu. Komander Zairil berjaya dihubungi. KD Awang akan berada di koordinat seperti yang dirancang  dalam masa lima minit. Ia akan timbul di permukaan tepat jam 0130.

Bot-bot getah yang disorok diturunkan ke laut. Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dipindahkan ke bot milik GGK yang dinaiki Adnan. Mereka meredah lautan menghala ke koordinat di mana KD Awang berada. Bot-bot laju 11M RIB mengikuti dari belakang. Mereka tiba di koordinat itu tepat jam 0130. KD Awang sudah naik di permukaan.

Mereka mendekati KD Awang. Beberapa orang anggota GGK melompat ke atas badan KD Awang.  Mereka memindahkan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dari bot laju ke badan KD Awang dan segera membawa mereka berdua masuk ke dalamnya. Yang lain-lain termasuk Matthew dan anak buahnya serta lain-lain ikut masuk ke dalam kapal selam nuklear itu.

KD Awang kembali menyelam. Dari jauh kelihatan beberapa buah Sikorsky S-97 Raider yang bergerak dengan kelajuan 220 knot sedang bergerak ke arah KD Awang. Menara KD Awang sempat meninggalkan permukaan laut sejurus sebelum Sikorsky S-97 Raider itu melintasi kawasan tersebut. KD Awang belayar tanpa dapat dikesan oleh musuh.

Sedang beberapa buah Sikorsky S-97 berpatah balik dan berlegar-legar di udara di mana di bawahnya bot-bot GGK dan Pasukan 6 SEAL teroleng-oleng tanpa sesiapa di dalamnya.

Bab 41

Sayyid Muhaimin, Tok Mula, Adnan dan kawan Sayyid Muhaimin yang lain serta Matthew diikuti anggota Pasukan 6 SEAL dan pegawai-pegawai penjara rahsia dipindahkan dari KD Awang ke KD Tuah, kapal induk kepada Armada Tuah. Mereka dipindahkan secara rahsia melalui beberapa buah kapal selam mini yang dilepaskan daripada KD Awang. Kapal-kapal selam mini itu kemudiannya memasuki bahagian bawah badan KD Tuah. Dari KD Tuah mereka diterbangkan dengan Rajawali, sebuah pesawat pengangkut serba canggih, terus ke lapangan terbang Jira. Dari situ mereka terus dibawa ke Istana Jira.

Sayyid Muhaimin yang semakin uzur segera dibawa ke bilik rawatan. Lampu dimatikan kecuali lampu-lampu di atas siling di tengah bilik. Sinaran lampu-lampu itu menyuluh sebuah pelantar yang berada di bawahnya. Di tepi bahagian kanan pelantar itu terdapat sebuah meja. Di atas meja itu bahan-bahan untuk membuang santau seperti daun nangka, kanta pembesar, beberapa botol air hidup dan sebagainya diletakkan.

Sayyid Muhaimin dibawa ke pelantar tersebut. Raden Ehsan mengambil daun nangka dari atas meja. Daun nangka yang dipilih adalah daun nangka terbaik daripada pokok nangka yang tidak begitu baik. Ia dipetik dengan adab mengambil tumbuhan. Iaitu diambil pada waktu siang, dipastikan bayang-bayang pengambil tidak jatuh ke atas tumbuhan, dimulai dengan bismillah kemudian Al-Fatihah disertai dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan dengan niat mengambil daun nangka itu untuk mengubati santau.

Raden Ehsan membacakan sekali surah Al-Fatihah, sebelas kali surah Al-Ikhlas, sekali ayat 21 hingga 24 Surah Al-Hasyr yang juga dikenali sebagai ayat pemecah dan sekali ayat kursi pada daun nangka itu. Setiap surah dan ayat itu dibaca dengan tartil dan sekali nafas.

Raden Ehsan memegang daun nangka itu dengan tangan kanan. Meletakkan tangkai daun nangka itu di celah antara ibu jari dan jari telunjuk. Permukaan daun nangka itu dihalakan ke sebelah atas.

Sayyid Muhaimin diarah berada dalam posisi seperti merangkak dengan lutut dan tapak tangannya menekan pelantar. Walaupun tidak bermaya dia gagahkan juga dirinya untuk berada di dalam posisi itu. Dia berjaya dengan bantuan Pengiran Lutfi, Adnan, Yasir dan Umar. Sekeping kertas surih dilekatkan pada pelantar itu iaitu di kawasan bertentangan dengan perut dan dada Sayyid Muhaimin.

Raden Ehsan mengarahkan Sayyid Muhaimin menegakkan kepala. Ia bertujuan supaya bahan santau yang jatuh nanti tidak terhidu dan masuk ke dalam badannya melalui hidung. Raden Ehsan meletakkan tangan kanannya yang memegang daun nangka itu ke tengkuk Sayyid Muhaimin. Sambil membaca ayat kursi berterusan dia menepuk permukaan daun nangka itu bermula dari tengkuk ke tulang belakang hingga ke pinggang dan kembali ke tengkuk. Disusuli dengan tepukan dari tulang belikat kiri sampai ke pinggang dan terus ke bahu. Seterusnya tepukan dari tulang belikat kanan hingga ke pinggang dan terus ke bahu.

Selepas itu Sayyid Muhaimin diarah berehat sebentar. Sementara Raden Ehsan dan lain-lain memeriksa kertas surih itu. Lampu ditutup dan kertas surih itu disuluh dengan lampu suluh dan diperiksa dengan kanta pembesar. Bebola-bebola seperti kaca yang sangat halus kelihatan merenik bertebaran di atas kertas surih itu.

Selepas memeriksa bahan-bahan santau yang keluar itu tahulah Raden Ehsan tentang beberapa maklumat lain. Bahan-bahan santau itu terdiri daripada kaca, miang buluh dan bisa ular. Bahan-bahan santau itu sudah berada di dalam tubuh Sayyid Muhaimin empat hari yang lalu.

Kaedah Tepuk Daun Nangka itu diulang sebanyak dua kali lagi.

Kemudian Sayyid Muhaimin diarah duduk berlunjur. Raden Ehsan meletakkan tapak tangannya pada dada Sayyid Muhaimin lalu membaca doa untuk menghilangkan batuk dan sesak nafas akibat santau itu. Diulang perkara yang sama pada kepala Sayyid Muhaimin untuk mengubati pening melampau akibat santau itu. Doa itu juga dibaca pada air untuk disapu pada sendi-sendi Sayyid Muhaimin yang lenguh seluruhnya. Doa itu terdiri daripada surah Al-Fatihah dan selawat syifa’ yang dibaca sekali, doa penawar racun iaitu tiga kali ayat pertama surah An-Naba’, sekali ayat 17 surah Maryam, sekali Bismillah 5, sekali ayat pemecah iaitu ayat 21 hingga 24 surah Al-Hasyr dan sekali ayat Kursi.

Sayyid Muhaimin diminta beristighfar dan bertasbih sepanjang rawatan itu.

Rawatan dengan kaedah Tepuk Daun Nangka itu akan dilakukan sebanyak dua sesi lagi pada hari-hari lain sehingga bahan-bahan santau di dalam badan Sayyid Muhaimin itu berjaya dikeluarkan kesemuanya.

Bagi mengubati bengkak air pada kaki kiri Sayyid Muhaimin, Raden Ehsan mengisar daun ubi cekur, beras dan sedikit air untuk dijadikan krim. Krim itu disapukan pada bengkak air itu semalaman setiap hari sehingga sembuh.  Pada sesi terakhir rawatan dengan kaedah Tepuk Daun Nangka itu, pada saat Raden Ehsan menepuk daun nangka dari tengkuk ke tulang belakang hingga ke pinggang untuk kali ketiga, Sayyid Muhaimin rebah lalu tidak sedarkan diri. Raden Ehsan menganggap perkara itu biasa dan sudah menjangkakannya memandangkan santau yang ada di dalam badan Sayyid Muhaimin itu terlalu kuat dan berbisa.

Bab 42

Di Alam Hitam, Aharon dan Richard Rotchield berang dengan kejayaan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula melepaskan diri daripada penjara rahsia. Kejadian itu menunjukkan betapa mudahnya sistem keselamatan tercanggih Alam Hitam dibolosi. Tambah mengecewakan bila mendapati orang mereka sendiri membantu musuh melepaskan diri.

Richard Rotchield yang dinasihati oleh Aharon mengarahkan satu pasukan penyiasat terbaik ditubuhkan untuk menyiasat kejadian tersebut dan seterusnya membongkar siapa yang terlibat. Kejadian tersebut memberi petunjuk kepada mereka bahawa ada kemungkinan ramai musuh di dalam selimut di kalangan mereka. Lalu satu siasatan besar-besaran dilakukan. Ia diketuai oleh Federick.

Semua saksi terlibat disoal siasat. Setiap keterangan mereka direkodkan dan kemudian diteliti secara terperinci. Kini tiba giliran Jacob untuk disoal siasat. Dia adalah penyoal siasat yang sepatutnya menyoal siasat Sayyid Muhaimin dan Tok Mula pada malam itu. Dia akan disoal siasat oleh Hugo, seorang bekas penyoal siasat paling hebat di PPA satu masa dahulu.

Sistem kunci pintu dinyahaktif. Daun pintu ditolak. Hugo berdiri di muka pintu. Wajahnya yang bengis terus memanah muka Jacob. Jacob melarikan pandangan secara automatik. Sesaat kemudian dia menyesal dengan tindakannya itu. Diri yang cuba ditenangkan sejak tadi kini perlahan-lahan gelisah. Dia sudah memberi satu tanggapan buruk terhadap dirinya kepada Hugo.

Hugo tersenyum di dalam hati. Dia menarik kerusi dan duduk  mengadap Jacob. Dia tidak bercakap apa-apa selama seminit. Hanya memerhati muka Jacob yang beriak-riak kecil gelisah. Jacob cuba melawan pandangannya tetapi melarikan pandangannya tidak lama kemudian beberapa kali.

“Kenapa engkau gelisah?” tanya Hugo tiba-tiba selepas membisu.

“Aku tidak biasa disoal siasat oleh seorang yang hebat seperti engkau,” jawab Jacob.

“Hidupkan semua sistem,” kata Hugo. Arahan itu ditujukan kepada pusat operasi bilik soal siasat itu.

Lapan buah skrin komputer menyala. Empat di dinding belakang Jacob dan empat lagi di dinding belakang Hugo. Ia saling bertentangan di antara satu sama lain. Setiap pasang memaparkan data yang sama. Iaitu data berkaitan latar belakang Jacob, data ujian pengesan bohong, data analisis riak muka dan perilaku Jacob secara langsung dan rakaman video rutin hariannya sebelum dan selepas kejadian memalukan di penjara rahsia itu.

Beberapa saat kemudian terdengar bunyi degup jantung memenuhi bilik soal siasat itu.

“Itu bunyi degup jantung engkau secara langsung,” kata Hugo.

Jacob terkejut. Kaedah mendengarkan degupan jantung secara langsung seperti itu tidak pernah dipraktikkanya selama ini. Dan jantungnya berdegup laju tidak semena-mena. Serta merta ia kedengaran di seluruh bilik. Dup dap dup dap dup dap dup dap dan semakin lama dup, dap, dup, dap, dup, dap. Dia berjaya menenangkan dirinya selepas beberapa ketika.

“Siapa nama engkau?” tanya Hugo.

“Jacob,” jawab Jacob.

“Apa pekerjaan engkau?” tanya Hugo lagi.

“Penyoal siasat PPA,” jawab Jacob.

Degup jantung Jacob kedengaran tidak berubah. Data ujian pengesan bohong juga normal.

“Apa warna kegemaran engkau?” sambung Hugo.

“Biru,” jawab Jacob.

Semua yang dijawab oleh Jacob sama dengan butiran latar belakangnya yang terpampang pada salah satu pasang skrin komputer itu.

“Engkau anak Martin?” tanya Hugo.

“Tidak,” jawab Jacob.

“Jadi siapa nama bapa engkau?” tanya Hugo lagi.

“Nama bapa aku Abraham,” jawab Jacob.

“Engkau kenal Dania?” tanya Hugo.

Foto Dania siap dengan latar belakangnya terpampang di salah satu skrin. Dup dap dup dap dup dap. Jantung Jacob berdegup laju. Dia tahu Hugo sedang memacu ke fasa soal siasat seterusnya.

Jacob bertindak membisu. Dia cuba menenangkan diri. Tetapi bunyi degupan jantungnya semakin laju.

“Engkau kenal dia?” tanya Hugo.

“Ya,” jawab Jacob.

Data ujian pengesan bohong masih normal.

“Apa hubungan engkau dan dia?” tanya Hugo.

“Kawan,” jawab Jacob.

“Kawan?” tanya Hugo.

“Ya,” jawab Jacob.

“Kawan yang bagaimana?” tanya Hugo.

Bunyi degupan jantung Jacob laju dan semakin laju.

“Istimewa,” jawab Jacob, terus terang.

Walaupun bunyi degupan jantungnya laju tetapi data pengesan bohong dan data analisis air muka dan tingkah laku pada skrin masih normal. Setakat ini dia berjaya mengelak untuk bercakap bohong.

“Engkau ada berhubung dengan dia baru-baru ini?” tanya Hugo.

Jacob serba salah hendak menjawab ya atau tidak. Dia tidak pasti apa yang Hugo tahu. Tetapi soalan-soalan berkaitan hubungannya dengan Dania menunjukkan lelaki itu tahu banyak perkara tentang mereka. Segelintir sahaja yang tahu hubungan mereka. Setahunya pihak atasan tidak pernah tahu tentang percintaan mereka berdua. Rupa-rupanya mereka mengetahui tentang itu.  Dalam diam dia juga diawasi dan diintip.

“Ya,” jawab Jacob.

Hugo mengangguk-anggukkan kepala sambil melihat monitor yang memaparkan data pengesan bohong. Tiba-tiba dia menekan fon telinga pada telinga kanannya. Seorang pegawai PPA sedang memberikan maklumat terbaru kepadanya.

“Ulang semula,” arah Hugo ingin mengesahkan maklumat yang baru diterimanya.

“Bukan giliran dia bertugas pada sesi itu. Dia sungguh-sungguh minta ditukarkan dengan Nancy. Mereka yang menyoal siasat Muhaimin semuanya kenalan Roshil,” kata pegawai PPA itu. “Nancy, Gleen dan Martin bersih. Sudah habis disoal siasat sebentar tadi.”

Hugo merenung muka Jacob. Sehingga sebelum maklumat baru diterima dia tidak nampak tanda-tanda ketara Jacob mungkin terlibat. Air muka yang berubah sebaik melihat wajahnya adalah reaksi biasa orang yang disoal siasat bila melihat penyoal siasat. Tambahan pula Jacob tahu siapa dirinya.

“Benarkah engkau minta ditukarkan dengan Nancy?” tanya Hugo tiba-tiba.

“Ya,” jawab Jacob.

Bunyi degupan jantungnya laju. Laju daripada sebelumnya.

Hugo tersenyum sinis. “Kenapa?”

“Kenapa apa?” tanya Jacob.

“Kenapa engkau minta ditukarkan dengan Nancy pada malam kejadian itu?” tanya Hugo.

“Tiada apa yang salah dengan prosedur itu. Saling bertukar sesi itu normal berlaku di dalam kebanyakkan sesi soal siasat PPA,” jawab Jacob.

Dia sengaja menyanggah soalan-soalan Hugo. Juga sengaja memberikan jawapan yang panjang supaya dirinya lebih tenteram. Supaya dirinya berasa di pihak yang benar.

“Tetapi kenapa sungguh-sungguh?” tanya Hugo.

Jacob diam. Dia sudah memikirkan jawapan untuk soalan ini beberapa hari yang lalu. Dia tahu salah seorang daripada rakan-rakannya itu pasti memberikan maklumat tersebut.

“Aku ada temujanji dengan Dania keesokan harinya,” jawab Jacob. “Aku ingin melamarnya pada hari itu. Dia cuti pada hari itu.”

Di fon telinga Hugo, pegawai PPA mengesahkan cerita Jacob itu. Dania memang cuti pada hari itu. Ada rakaman video menunjukkan Jacob membeli sebentuk cincin di butik barang kemas Tiffany & Co. Ada juga rekod transaksi jual beli cincin tersebut. Juga rekod tempahan meja di The Valentine, sebuah restoran paling romantik. Rekod keterangan penyelia The Valentine juga mengesahkan Jacob ada membuat pesanan istimewa iaitu sebotol wine terbaik, sepotong kek coklat strawberi terbaik dan lagu yang dimainkan secara langsung oleh kumpulan muzik restoran tersebut pada tarikh tersebut.

“Engkau seromantik itu?” tanya Hugo, kedengaran sinis. Dia berasakan semuanya terlalu teratur. Tiada cacat cela. Jawapan yang diberikan oleh Jacob juga begitu meyakinkan.

Jacob tersenyum. Dia sudah mampu menenteramkan dirinya.

“Engkau kenal Roshil?” tanya Hugo.

“Ya,” jawab Jacob.

“Bagaimana engkau kenal dia?” tanya Hugo.

“Kami sama-sama belajar di Stanford dahulu. Dia pelajar yang hebat di sana. Genius yang gagah,” jawab Jacob.

“Engkau berdua selalu berhubung?” tanya Hugo.

“Ya,” jawab Jacob.

“Siapa yang akan menghubungi siapa?” tanya Hugo lagi, pantas.

“Roshil akan hubungi aku,” jawab Jacob.

“Dia minta engkau sertai pasukan menyoal siasat Muhaimin?” tanya Hugo, pantas.

“Ya,” jawab Jacob.

“Apa penilaian engkau pada Muhaimin,” tanya Hugo.

“Seperti di dalam laporan,” jawan Jacob.

“Apa seperti di dalam laporan?” tanya Hugo juga walaupun laporan Jacob tentang Sayyid Muhaimin sudah terpampang di salah satu skrin di belakang Jacob.

“Kami membuat kesimpulan bahawa dia tidak terlibat dalam serangan hendap terhadap Roshil itu,” jawab Jacob.

“Apa reaksi Roshil?” tanya Hugo.

“Dia berasa bersalah,” jawab Jacob.

“Kenapa dia berasa begitu?” tanya Hugo.

“Sebab dia menyeksa orang yang tidak bersalah,” jawab Jacob.

“Engkau tahu Muhaimin jatuh sakit selepas itu?” tanya Hugo.

“Tahu,” jawab Jacob.

“Engkau tahu Roshil ada memohon pembebasan Muhaimin?” tanya Hugo.

“Tahu,” jawab Jacob.

“Engkau tahu permohonannnya ditolak?” tanya Hugo lagi.

“Tahu,” jawab Jacob.

Degupan jantung Jacob kedengaran laju dan laju.

“Adakah ada kaitan di antara permohonan yang ditolak dengan kejadian pembolosan itu?” tanya Hugo.

“Tidak,” jawab Jacob dengan yakin. Degupan jantung yang kedengaran laju tadi kedengaran biasa semula. Tetapi ia adalah rakaman audio di saat dia tenang tadi. Degupan jantungnya secara langsung kini hanya dapat didengar oleh Hugo dan pegawai-pegawai PPA.

Tetapi data pengesan bohong menunjukkan sebaliknya. Graf yang mengukur kadar denyutan nadi mencanak naik. Data analisis air muka dan tingkah laku mengisyaratkan tanda-tanda Jacob sedang menipu. Matanya berkelip cepat dan jantungnya berdegup kencang.

“Engkau terlibat?” tanya Hugo.

“Tidak,” jawab Jacob dengan yakin.

Data pengesan bohong dan analisis air muka dan tingkah laku terus mengisyaratkan Jacob sedang menipu.

Hugo mengangguk-angguk. Sementara Jacob berlagak tenang. Tidak diketahuinya data pengesan bohong dan analisis air muka dan tingkah laku di skrin di hadapannya tidak sama dengan data pengesan bohong dan analisis air muka dan tingkah laku yang sedang dipandang oleh Hugo.

“Dania terlibat?” tanya Hugo.

“Tidak,” jawab Jacob.

“Roshil?” tanya Hugo lagi.

“Tidak,” jawab Jacob.

Hugo bangun dan berkata kepada pegawai pusat operasi. “Bawakan Dania sekarang!” Lalu dia meninggalkan bilik itu.

Jacob terpinga-pinga. Menoleh ke belakang lalu melihat data sebenar pengesan bohong dan analisis air muka dan tingkah lakunya. Dia menelan air liur dan mula berasa cemas. Tetapi cuba berlagak biasa. Fikirannya merayau-rayau meneka apa yang akan berlaku seterusnya.

Selepas setengah jam, dinding di sebelah kanan bilik itu pun terbuka. Sebuah dinding kaca kelihatan pada pandangan mata. Di sebalik dinding kaca itu kelihatan Dania di dalam bilik soal siasat sebelah. Mukanya cemas dan ketakutan sambil berjalan mundar mandir memeluk tubuh.

Jacob terkejut besar. Dia pantas bangun dan mendekati dinding cermin itu. Menampar-nampar dan menumbuk-numbuknya. Tetapi Dania tidak terkesan dengan perbuatannya itu. Dinding kaca itu kedap bunyi dan anti lutsinar. Pada Dania, cermin di dinding kiri bilik soal siasat itu adalah cermin biasa. Yang dinampaknya di dalam cermin itu hanyalah dirinya sendiri.

Sistem kunci dinyahaktif. Daun pintu ditolak. Hugo masuk terburu-buru.

“Duduk!” arah lelaki itu kepada Dania.

Hugo duduk membelakangkan dinding cermin. Sementara Dania duduk mengadap dinding cermin. Lapan skrin komputer dihidupkan. Data-data seperti di bilik soal siasat Jacob itu dipaparkan di skrin-skrin tersebut. Kali ini data-data itu milik Dania.

“Engkau tahu kenapa engkau dibawa ke sini?” tanya Hugo.

“Tidak,” jawab Dania.

“Engkau tahu apa yang terjadi di Pulau Merah?” tanya Hugo.

“Ya,” jawab Dania.

“Bagaimana engkau tahu?” tanya Hugo.

“Komuniti PPA tahu hampir apa sahaja,” jawab Dania.

“Engkau kenal Jacob?” tanya Hugo.

“Kenal,” jawab Dania.

“Apa hubungan engkau berdua?” tanya Hugo, pantas.

“Kawan seagensi,” jawab Dania.

“Cinta?” tanya Hugo.

“Tidak,” jawab Dania.

Graf pengesan bohong mencanak naik. Perkataan ‘Bohong!’ berkelip-kelip pada data analisis air muka dan tingkah laku Dania. Ia hanya ditunjukkan pada skrin-skrin komputer di belakang Dania. Sedangkan skrin-skrin komputer di hadapannya pula data-data itu normal sahaja.

“Engkau sepatutnya ada temu janji dengannya sehari selepas kejadian di Pulau Merah itu bukan?” tanya Hugo.

“Ya. Tidak salah makan malam bersama kawan seagensi bukan?” balas Dania.

“Betul. Aku tidak pernah cakap ia salah,” jawab Hugo. “Tetapi di The Valentine, bukan?”

Dania tergamam. Dia tidak pernah menyangka Hugo ada maklumat begitu terperinci tentang temu janjinya dengan Jacob itu. Sebenarnya dia dan Jacob sudah berjanji tidak akan mendedahkan percintaan mereka kepada PPA kecuali kepada rakan-rakan paling rapat dengan mereka.

Kemudian rakaman video Jacob sedang membeli cincin di Tiffany & Co pun dipaparkan. Rakaman itu adalah dari kamera litar tutup butik barangan kemas itu. Kedengaran Jacob sedang berbual-bual dengan jurujual wanita di situ.

“Encik beli untuk siapa?” tanya jurujual wanita itu.

“Untuk teman wanita aku,” jawab Jacob.

“Sebagai apa? Hadiah hari jadi, lamaran atau apa?” tanya jurujual wanita itu.

“Lamaran,” jawab Jacob, tersenyum.

Jurujual wanita itu ikut tersenyum. “Boleh aku cadangkan sesuatu?” tanya jurujual wanita itu sambil matanya melilau mencari cincin yang paling sesuai untuk Dania. “Berapa saiz jarinya? Bagaimana orangnya?”

“Aku rasa saiz jari dia sama dengan saiz jari engkau. Orangnya pula ringkas sahaja,” jawab Jacob. Matanya sudah statik pada sebentuk cincin di dulang paling kiri. Sebentuk cincin emas putih berlarik ringkas dan berbatu berlian kecil itu begitu comel pada pandangan matanya.

Jacob tidak sempat membuka mulut untuk meminta jurujual wanita itu mengambil cincin comel yang berkenan di hatinya itu kerana cincin comel itu juga menjadi pilihan jurujual wanita itu. “Yang ini okey encik?”

Jacob tersenyum sambil mendengar jurujual wanita itu menerangkan tentang cincin yang dipilihnya itu. Berapa karat emas putihnya, apa jenis berlian yang menghiasainya, siapa pembuatnya, berapa harganya dan lain-lain.

Jacob puas hati lalu urusan jual beli pun berlakulah. Dan ketika kotak barang kemas itu diserahkan kepadanya selepas membuat pembayaran, penjual wanita itu bertanya, “Siapa nama wanita paling bertuah itu, encik?”

Jacob tersenyum lalu menjawab, “Dania.”

Rakaman video itu tamat. Diganti pula dengan rekod transaksi jual beli cincin tersebut, rekod tempahan meja di The Valentine dan rakaman video keterangan penyelia The Valentine itu.

Bunyi degupan jantung Dania tiba-tiba didengarkan. Dup dap dup dap dup dap…. . Laju bukan main. Serta merta dirinya gelisah.

Jacob yang melihat dari bilik sebelah mengeluh perlahan dan tertunduk. Dia tahu Hugo sudah pun mendapat kunci kepada kelemahan mereka berdua. Dia amat yakin Hugo akan menggunakan hubungan cinta mereka itu sebagai alat paling ampuh untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diingininya.

“Apa kata engkau?” tanya Hugo.

“Aku, aku, errr….” suara Dania tersekat-sekat. “Aku dan Jacob memang bercinta.” Akhirnya dia terpaksa mengaku.

“Apa lagi yang engkau cuba sorokkan daripada kami?” tanya Hugo.

Dania diam.

Hugo tersenyum. Pelanduk sudah masuk perangkap. “Engkau kenal Roshil?”

“Ya,” jawab Dania.

“Bagaimana engkau kenal dia?” tanya Hugo.

“Dia kawan Jacob di Stanford dahulu,” jawab Dania.

“Dia terlibat dalam kejadian di penjara rahsia itu?” tanya Hugo.

Degup jantung Dania kedengaran laju.

“Tidak tahu,” jawab Dania.

Data pengesan bohong dan data analisis air muka dan tingkah laku pada skrin masih normal.

“Siapa yang terlibat?” tanya Hugo

“Tidak tahu,” jawab Dania.

“Siapa dalangnya?” tanya Hugo lagi.

“Tidak tahu,” jawab Dania.

“Di mana Muhaimin dan Tok Mula sekarang?” tanya Hugo.

“Tidak tahu,” jawab Dania.

Hugo meninggalkan bilik soal siasat itu. Tidak lama kemudian dia masuk ke dalam bilik soal siasat Jacob. Dia tersenyum sinis sebaik melihat muka Jacob.

“Nampaknya Dania lebih pandai menipu berbanding diri engkau,” kata Jacob pada Hugo. “Kami akan buat dia bercakap benar.”

Daun pintu ditolak selepas sistem kunci dinyahaktif. Tiga orang lelaki berbadan sasa masuk. Mereka adalah penyiasat-penyiasat PPA yang pakar di dalam kaedah menyeksa tahanan. Mereka membawa beberapa botol air, sehelai kain dan tali. Mereka mengikat Dania dan kemudian membaringkannya di atas meja.

Mereka melakukan waterboarding terhadapnya. Selepas beberapa saat Dania mula mengalami refleks gag. Badannya meronta-ronta, melentik-lentik, terkejang-kejang. Mereka memberhentikan curahan air ke muka Dania yang ditutup dengan kain itu. Lalu mereka membuka kain tersebut dan bertanya sama ada dia terlibat di dalam kejadian tempoh hari atau tidak. Perempuan itu menafikan perkara tersebut. Dan proses waterboarding diulang lagi. Kali ini lebih lama. Diberhentikan lalu ditanya soalan yang serupa tetapi Dania tetap menafikan.

“Engkau tidak kasihankan teman wanita engkau? Untuk kali ini ia pasti akan lebih lama. Engkau sendiri tahu kesannya,” kata Hugo kepada Jacob.

Beberapa lagi botol air dibawa masuk ke dalam bilik soal siasat itu. Dania yang masih tercungap-cungap kelihatan ketakutan. “Aku tidak tahu apa-apa!” jeritnya.

Tetapi jeritan Dania itu tidak dihiraukan oleh penyiasat-penyiasat PPA itu. Mereka tetap melalukan waterboarding terhadapnya.

10 saat, Dania kembali refleks gag.

Jacob yang melihat serba gelisah. Dia risau dengan keadaan Dania itu.

20 saat, badan Dania mula melentik-lentik dan terenjat-renjat. Kedengaran suaranya garau menahan seksaan.

Jacob menumbuk-numbuk dinding cermin.

30 saat, Dania menggelupur seperti terkena renjatan elektrik.

Dan ketika inilah tiba-tiba Jacob mengalah, “Lepaskan dia! Lepaskan dia! Aku akan beritahu semuanya!!!”

“Cukup,” arah Hugo.

Salah seorang penyiasat PPA yang mendengar arahan Hugo melalui fon telinganya mengarahkan kawannya memberhentikan curahan air ke muka Dania. Kain yang menutup muka dan tali yang mengikat tangan Dania dibuka.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s