FANA SIRI #18

Bab 36

Aharon bimbang dengan perkembangan terbaru Roshil itu. Dia tidak mahu Roshil terpengaruh dengan Islam lalu memeluk agama itu. Dia memantau rapat perkembangan Roshil sejak kecil lagi. Roshil ialah pemuda luar biasa. Oleh itu dia sudah menanam niat sejak dulu untuk menjadikan Roshil sebagai pengikut setianya bila tiba masanya nanti.

Dia sudah merancang serapi-rapinya sejak dulu. Tetapi perancangannya itu diganggu oleh Sayyid Muhaimin. Dia harus bertindak drastik jika tidak mahu kehilangan Roshil yang menjadi sebahagian watak utama di dalam rancangan sulitnya itu nanti.

“Dia semakin rapat dengan pemuda itu?!” Richard Rotchield seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Ya. Aku lihat dengan mata kepalaku sendiri,” jawab Aharon. “Yang lebih teruknya ialah aku lihat dia cenderung untuk mendalami Islam,” kata Aharon lagi.

“Apa?!” Richard Rotchield marah. “Bagaimana boleh jadi begitu?! Apa kristian tidak mampu menambat hatinya?!”

“Pemuda itu berjaya menanam perasaan ingin tahunya terhadap Islam,” beritahu Aharon.

Richard Rotchield menghenyakkan badannya di kerusi kulit mewah di dalam pejabatnya itu. Air mukanya keruh. Bimbang dengan perkembangan terbaru Roshil itu.

“Apakah yang aku dengar ini benar, Aharon?” tanya Richard Rotchield, sukar hendak percaya.

“Pernahkah aku menipu tuan? Sumber risikan mengesahkan hal ini,” balas Aharon.

Richard Rotchield melepaskan keluh. Setahunya Aharon tidak pernah bercakap bohong kepadanya walau sekali. Dia menekup mukanya kerana amat kecewa. Hatinya luluh.

“Jadi apa yang harus kita lakukan?” tanya Richard Rotchield.

“Hapuskan pemuda itu,” jawab Aharon dengan begitu pantas. “Cuci otak Roshil supaya dia membenci Islam. Kita kena pastikan dia ke Tanah Melayu kerana bencikan Islam. Pastikan dia masuk ke sana untuk menghancurkan Islam. Kita akan tarik dia semula dari sana selepas dia menemui kembarnya.”

“Nanti apa kata Roshil jika engkau bunuh pemuda itu,” kata Richard Rotchield.

“Kita bunuh dia tanpa meninggalkan kesan,” jawab Aharon lalu tersenyum.

Richard Rotchield mengangguk. Setuju dengan cadangan Aharon itu. Maklum benar tentang kepakaran Aharon membunuh tanpa mampu dikesan oleh sesiapa pun itu. Buktinya kematian David Feller, Ken Rushel dan Charlie Hupon sampai sekarang tidak mampu diselesaikan oleh PPA.

“Tuan benarkan?” tanya Aharon.

“Teruskan. Tapi pastikan tanpa kesan,” jawab Richard Rotchield.

Aharon tersenyum lebar. Rancangan serampang dua matanya berjalan lancar.

Di luar bilik pejabat itu, dari celah daun pintu yang sedikit terbuka, Katherine terkejut dengan perbualan yang baru didengarnya itu. Dia segera meninggalkan pejabat tersebut. Di dalam bilik pejabat,  Aharon menoleh ke arah pintu. Berasa ada seseorang sedang mencuri dengar. Dia segera ke pintu dan segera menolak daunnya. Katherine yang berlari baru membelok hilang di hujung koridor.

“Kenapa?” tanya Richard Rotchield.

“Tiada apa-apa,” jawab Aharon. “Hanya perasaanku menyangka ada seseorang mendengar perbualan kita tadi.

Bab 37

Katherine segera mencari Roshil. Bertanya kepada Rabbi Yahuda. Rabbi Yahuda enggan memberitahu walaupun tahu. Dia bertanya pula kepada kenalannya di PPA. Kenalannya itu, Dania, seorang perisik wanita terbaik PPA, memberitahu bahawa Roshil di Pulau Merah. Dania mendapat maklumat itu daripada Jacob, teman lelakinya. Katherine menyampaikan pesanan kepada Dania. Sementara Dania pula menyampaikannya kepada Jacob. Jacob menyampaikannya pula kepada Roshil. Katherine minta bertemu. Ada hal mustahak.

Roshil terbang ke Paris. Katherine sudah menunggunya di kota metropolitan itu. Mereka bertemu di sebuah kondominium mewah di tengah-tengah Paris.

“Benarkah apa yang engkau cakap ini?” tanya Roshil. Dia was-was untuk ke situ. Dia khuatir jika Katherine membuat helah hanya untuk bertemu dengannya.

“Ya,” jawab Katherine.

Roshil mengamati muka Katherine. Tidak dikesannya tanda-tanda gadis itu sedang berbohong.

“Itu yang aku dengar dari perbualan papa dan Aharon,” kata Katherine lagi.

Roshil kehairanan. “Tetapi kenapa?”

“Mereka marah sebab engkau belajar tentang Islam. Engkau belajar daripada pemuda itu, bukan?” jawab Katherine.

“Ya. Tetapi kenapa? Kenapa kristian dibenarkan tetapi tidak Islam? Apa sebabnya? Apa rahsianya?” balas Roshil.

Katherine tidak dapat menjawab soalan-soalan Roshil itu.

“Kenapa Muhaimin yang perlu menjadi mangsa?” tanya Roshil lagi.

“Mungkin kerana mereka anggap dia mampu mempengaruhi engkau. Engkau sudah terpengaruh Shil?” tanya Katherine, jujur.

Roshil terdiam kemudian berkata jujur, “Kate, semakin aku kenal Islam semakin aku dapati ia agama yang benar.”

“Benarkah Shil?” tanya Katherine, terkejut dan teruja sama. “Beritahulah kepadaku apa yang engkau temui di dalam agama itu,” kata Katherine, hampir merayu.

Roshil tersenyum. “Ketenangan, Kate.”

“Ketenangan? Engkau tak temui itu di dalam Judaisme dan Kristian?” tanya Katherine, kehairanan pula.

“Ya. Tetapi ketenangan ini lain. Terasa lebih menyentuh hati. Terasa lebih tulen,” jawab Roshil. “Bukankah sesuatu yang benar itu sentiasa lebih mententeramkan?”

Katherine mengangguk bersetuju dengan kenyataan terakhir Roshil itu. “Apa lagi yang engkau temui Shil?”

“Pastinya kebenaran,” jawab Roshil. “Aku baca Al-Quran. Kitab suci mereka. Tiada satu pun ayatnya yang bertentangan seperti didakwa oleh orang-orang kita. Aku sudah cuba cari tetapi tidak dapat jumpa walaupun hatiku inginkan pertentangan itu. Waktu itu barulah aku tersedar itulah kitab yang benar. Kitab yang mengandungi kata-kata Tuhan. Tidak direka oleh manusia. Tidak pula ditokok tambah ayatnya oleh tangan dan lidah manusia. Tidak juga dibuang sesuka hati ayatnya,” jelas Roshil.

“Bukan Muhammad yang menulisnya?” tanya Katherine. Dia juga mengkaji tentang Islam. Dia baca banyak buku yang menuduh Nabi Muhammad SAW menulis kitab suci Islam itu.

“Dia tidak tahu menulis dan membaca, Kate,” balas Roshil.

“Engkau percaya itu?” tanya Katherine.

“Jika pun dia tahu menulis dan membaca tidak mungkin dia mampu menulis kitab seperti itu. Tiada seorang pun yang mampu, Kate,” jawab Roshil.

“Kenapa?” tanya Katherine.

“Bahasanya terlalu indah. Terlalu halus. Terlalu sempurna. Ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya juga terlalu luas. Melangkaui ilmu pengetahuan yang terdapat pada zaman hidup beliau. Melewati padang pasir yang kontang. Banyak ilmu di dalam kitab itu hanya baru ditemui dan diketahui selepas beratus dan seribu tahun,” jawab Roshil.

Katherine tercengang dengan penjelasan Roshil itu.

“Apa lagi yang engkau temui Shil?” tanya Katherine, makin teruja.

“Tuhan dan pesuruh-NYA yang paling mulia,” jawab Roshil, pantas.

“Tuhan? PesuruhNYA? Bukankah engkau sudah temui Tuhan di dalam kristian?” tanya Katherine, kehairanan.

Roshil menggeleng. “Bila kenal Islam aku mula berasa sangsi pada tuhan kristian.”

“Jesus bukan tuhan?” tanya Katherine, tercengang.

Roshil mengangguk.

“Bagaimana begitu?” tanya Katherine, ingin mendengar hujah.

Roshil menjelaskan tentang Nabi Isa a.s yang mereka panggil sebagai Jesus itu kepada Katherine seperti yang dijelaskan oleh Sayyid Muhaimin kepadanya. Katherine terpukau dengan penjelasan itu. Tiba-tiba hatinya dapat merasakan kebenaran Islam. Di ruang hatinya yang paling ikhlas dia mula tertarik dengan Islam. Ingin benar mengenali agama tersebut.

“Apa pendapat engkau?” tanya Roshil.

“Segalanya masuk akal,” jawab Katherine terus terang. “Mengapa Tuhan perlu menyerupakan dirinya sebagai seorang manusia untuk akhirnya mengorbankan diri di tiang salib semata-mata untuk menebus dosa ciptaan-NYA. Dia berkuasa dan sudah tentunya dia boleh mengampunkan dosa hambanya begitu sahaja.”

Roshil tersenyum. “Engkau tahu…”

“Tahu apa Shil?” pintas Katherine.

Roshil tersenyum lagi melihat kegopohan Katherine. Laku yang sama terjadi padanya ketika mula-mula berbicara tentang Islam dengan Sayyid Muhaimin dulu.

“Maafkan aku,” kata Katherine perlahan. Mukanya merona merah. Pandangan matanya jatuh. Berasa malu dengan kelakuannya tadi. Dia dahagakan kebenaran tentang agama. Dia sudah mengkaji semua agama kecuali Islam. Bila dia mengkaji semua agama itu semakin dirasainya kepincangan agama-agama tersebut. Semakin dia percaya bahawa agama-agama itu sama ada dicipta atau diselewengkan oleh manusia. Dia semakin meninggalkan Judaisme dan menghampiri ateis dalam diam-diam.

“Engkau tahu apa makna crossed key pada lencana pope itu?” tanya Roshil.

“Apa maknanya?” tanya Katherine selepas menggeleng.

“Ia adalah La Ila Ha Illallah dan Muhammadurrasullah,” jawab Roshil, suaranya bergetar. Ada sesuatu yang meresap di dalam dadanya. Perasaan sebak dan sayu yang tidak tahu terbit kerana apa dan dari mana.

“Apa itu?” tanya Katherine.

“Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH,” jawab Roshil, suaranya lebih bergetar.

“Itukah kunci-kunci ke syurga seperti yang dikatakan oleh Jesus?” tanya Katherine.

“Ya,” jawab Roshil. “Tapi Vatican menyembunyikan kebenaran itu.”

Katherine tercengang. “Dari mana engkau tahu itu?”

“Muhaimin dan seorang biskop di Vatican,” jawab Roshil.

“Biskop di Vatican?!” Katherine lebih tercengang.

“Ya.” Roshil mengesahkan. Kemudian menceritakan apa yang berlaku semasa dia mencari jawapan itu di Vatican selepas mendengar jawapan itu daripada Sayyid Muhaimin.

Roshil tiba-tiba teringatkan Sayyid Muhaimin. Lalu meminta diri. Berjanji akan menemui Katherine untuk berbincang tentang Islam lagi nanti.

Bab 38

Aharon mencelup hujung jarinya ke dalam serbuk santau yang sudah dipujanya itu. Dia meniup serbuk santau itu mengikut arah angin. Ditiupnya selepas membaca mantera santau yang di dalamnya terselit nama Sayyid Muhaimin. Serbuk santau itu terbang mengikut angin dibawa oleh khadamnya, jin, tepat kepada mangsa.

Sayyid Muhaimin ketika itu sedang tidur. Di dalam tidurnya itu dia bermimpi bertarung dengan seseorang yang tidak dikenalinya. Seseorang yang kelihatan begitu misteri. Lelaki tua itu memakai sejenis jubah yang mempunyai penutup kepala.

Lelaki tua itu menyerang dengan menggunakan tenaga batin. Dia berjaya menangkis serangan lelaki itu. Kemudian membalas dengan jurus jarak jauh. Lelaki tua itu terpelanting dan berdarah.

Dia berpaling untuk pergi dari situ kerana menyangka lelaki tua itu sudah tewas. Tetapi tiba-tiba lelaki itu bangun lalu menjentik jarinya. Dia menoleh tetapi sudah terlambat untuk mengelak gumpalan serbuk entah apa yang menyerbunya. Gumpalan serbuk itu menerjah dadanya. Sakitnya bukan main. Seperti ditusuk pedang yang amat tajam hingga tembus badan. Dia terenjat lalu kemudian rebah tidak berdaya. Terdengar lelaki tua itu ketawa berdekah-dekah. Menyeramkan.

Sayyid Muhaimin terjaga dari lena. Meludah ke kiri tiga kali lalu membaca ta’awwuz. Ketika mahu mengubah posisi baringannya dia merasakan dadanya sakit. Ada sesuatu yang sedang menyucuk masuk hingga ke jantung dan tembus ke bahagian belakang badannya. Kemudian rasa sakit itu hilang.

Sayyid Muhaimin menyambung tidur kerana menyangkakan sakit dadanya itu akibat  postur tidur yang salah.

Sementara Tok Mula di sel bertentangan terjaga mengejut dari tidur. Matanya terus sahaja melihat ke arah sel Sayyid Muhaimin. Pantas bangun dari pangkin tidurnya dan terus ke dinding depan sel. Dia memerhati lama sel Sayyid Muhaimin. Dilihatnya Sayyid Muhaimin sedang tidur nyenyak.

Dia berasa sesuatu yang tidak kena. Memejamkan matanya dan ternampak lelaki tua di dalam mimpi Sayyid Muhaimin itu. Aura lelaki tua berjubah tutup kepala itu sangat kuat hingga menyebabkan Tok Mula tersentak.

Dia tertanya-tanya siapa lelaki itu. Dia memejamkan matanya sekali lagi. Kali ini memagar rapi dirinya dengan kalimah-kalimah ALLAH. Tidak pergi secara kosong seperti tadi. Memohon kepada ALLAH agar diberi kemudahan untuk menyelidiki lelaki tua itu. Sesaat kemudian dia pun mengembara secara batin. Melanggar segala hukum rasional.

Secepat kilat dia sudah berada di dalam bilik khas lelaki tua itu. Lelaki tua itu sedang duduk bersila sambil memejamkan mata dan membaca mantera. Siapa lelaki tua ini? Tanyanya di dalam hati. Lalu diberitahu dia adalah Aharon. Siapa dia? Tanyanya lagi. Lalu dia ditunjukkan sejarah hidup Aharon tetapi tidak sampai habis. Setakat Aharon berguru dengan seorang lelaki pendek dan gemuk tetapi sakti di Gunung Everest selepas melarikan diri dari pembantaian oleh elit bangsanya.

Tok Mula membuka mata dan secara spontan mengalunkan Al-Fatihah, tiga kul dan ayat kursi lalu meniup ke keempat-empat penjuru bangunan sel itu.

Aharon membuka mata dengan pantas. Berasa ada sesuatu berada berdekatan dengannya. Dia segera memejamkan mata kembali. Melihat melalui ilmu batinnya. Tetapi dia tidak dapat mengesan apa-apa. Dia memejamkan mata sekali lagi. Dia sampai ke bangunan sel Sayyid Muhaimin. Tetapi tidak mampu untuk masuk secara batin. Bangunan sel itu sudah dipagar dengan sesuatu yang amat kukuh.

Racun santau Aharon itu sudah menjalar di dalam badan Sayyid Muhaimin. Ia berkumpul dan menyekat peredaran darah secara normal. Menyebabkan urat-urat berpintal-pintal dan mencederakan organ-organ dalamannya sedikit demi sedikit.

Sayyid Muhaimin juga berasa pening-pening. Pening yang luar biasa sifatnya. Berdenyut-denyut keras pada kedua belah pelipis kepalanya sampai dirinya terasa mual dan tangan dan kakinya berasa dingin. Dia juga mula batuk-batuk. Batuk yang luar biasa fiilnya. Panjang dan kering sehingga ada kalanya berasa dadanya seperti mahu tercabut kerana batukan itu.

Dia juga diserang kantuk yang amat sangat. Kelopak matanya seperti dipaksa-paksa untuk tutup. Dia juga berasa lenguh-lenguh pada sendi-sendi. Kaki kirinya, dari buku lali hingga ke bawah, kemerahan seperti sedang dipanggang. Tidak lama kemudian kawasan itu berubah seperti melecur. Sebahagiannya pantas membengkak air. Sebahagian lain pula menjadi keras, kehitaman dan berkedut-kedut. Pedih dan panas bercampur menyebabkan Sayyid Muhaimin dalam kesakitan yang amat sangat.

“Engkau tak apa-apa, cucu?” tanya Tok Mula yang mengesan perubahan pada diri Sayyid Muhaimin sejak semalam. Pertanyaannya tak dijawab. “Engkau tak apa-apa, cucu?” ulang Tok Mula dengan suara yang keras sedikit.

Baru nampak badan Sayyid Muhaimin bergerak. “Kenapa tok?” tanya Sayyid Muhaimin pula. Dia terlelap menahan sakit tadi.

“Tok tanya cucu tak apa-apa?” tanya Tok Mula.

“Rasa tak sedap badan tok. Panas dingin. Dada rasa sakit menyucuk. Kepala rasa pening mual,” jawab Sayyid Muhaimin sambil susah payah bangun.

“Jangan paksa diri. Baring sahaja,” kata Tok Mula.

“Tak apa,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Apa lagi yang cucu rasa? Mengantuk?” tanya Tok Mula.

“Ya,” jawab Sayyid Muhaimin. “Tak boleh ditahan-tahan.”

“Sendi?” tanya Tok Mula.

“Lenguh sangat,” jawab Sayyid Muhaimin. “Kaki saya pula bengkak, melecur, hitam dan berkedut.”

“Tunjukkan kaki engkau pada tok. Boleh berjalan ke hadapan?” tanya Tok Mula.

Sayyid Muhaimin turun dari katil. Berasa sangat sakit ketika kaki kirinya itu terjuntai sebelum mencecah lantai sel. Matanya berair kerana menahan sakit. Selepas beberapa lama dia pun cuba berdiri. Berat badannya memberi tekanan kepada kakinya. Sekali lagi dia berasa sangat sakit. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sakitnya. Dia menapak perlahan-lahan. Setiap langkahan disertai dengan kesakitan. Matanya terus berair dan air mata itu meleleh membasahi pipi. Hatinya tidak lekang menyebut ALLAH. Dia sampai juga di depan sel.

Tok Mula meneliti muka Sayyid Muhaimin. Dia tahu Sayyid Muhaimin baru sahaja menyapu air matanya. Dia kagum dengan ketabahan dan kesabaran pemuda itu menghadapi dugaan ALLAH.

“Tunjukkan kaki engkau,” arah Tok Mula.

Sayyid Muhaimin menunjukkan kaki kirinya itu kepada Tok Mula. Dia menarik sikit kaki seluarnya hingga ke buku lali.

Tok Mula mengangguk. Andaiannya pada gejala-gejala yang disebut Sayyid Muhaimin tadi tepat.

“Penyakit apa ni tok?” tanya Sayyid Muhaimin.

“Cucu ni terkena santau,” jawab Tok Mula.

Sayyid Muhaimin terkejut. Tidak menyangka gejala-gejala yang dialaminya sejak semalam itu adalah simptom santau.

“Badan engkau miang? Perit tekak?” tanya Tok Mula.

 Sayyid Muhaimin mengangguk.

“Semua itu kesan santau,” beritahu Tok Mula. “Sejak bila engkau rasa tidak sedap badan?”

“Malam semalam selepas terjaga dari mimpi,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Cucu mimpi apa?” tanya Tok Mula.

Sayyid Muhaimin menceritakan mimpinya itu kepada Tok Mula.

“Lelaki tua itu pakai jubah yang ada tutup kepala, betul?” tanya Tok Mula.

“Ya,” jawab Sayyid Muhaimin dengan kehairanan kerana dia tidak beritahu Tok Mula tentang rupa lelaki tua di dalam mimpinya itu.

“Cucu nampak mukanya?” tanya Tok Mula.

“Tidak,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Rasa kenal tak?” tanya Tok Mula lagi.

Sayyid Muhaimin menggeleng.

Roshil yang muncul dengan termengah-mengah mengejutkan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula. Roshil terus sahaja bertanya tentang keadaan kesihatan Sayyid Muhaimin. Terkejut bila melihat keadaan kaki Sayyid Muhaimin.

“Bagaimana boleh jadi begini?” tanya Roshil, risau.

“Engkau tahu sebabnya,” balas Tok Mula.

Sayyid Muhaimin tersentak. Begitu juga Roshil. Masing-masing memandang Tok Mula.

“Benar engkau tak tahu?” tanya Tok Mula, matanya mati pada Roshil.

Roshil teragak-agak hendak menjawab pertanyaan Tok Mula itu.

“Inilah kesan ilmu yang engkau ambil di Gunung Wirana tempoh hari,” jawab Tok Mula.

Sayyid Muhaimin melihat Roshil. Roshil pula melihat Tok Mula.

“Ibu santau?” tanya Roshil.

“Ya. Inilah kesan ibu santau,” jawab Tok Mula. “Selalunya kalau kena terus mati. Hanya sedikit yang selamat.”

“Aku tak buat,” kata Roshil, membela diri lebih awal.

“Tok tahu,” jawab Tok Mula.

Roshil berasa lega. Disangkanya Tok Mula dan Sayyid Muhaimin mengesyaki itu adalah perbuatannya.

“Tapi satu hari nanti engkau pasti terpaksa mencari mangsa. Engkau mesti lepaskan ia. Jika tidak ia memakan diri. Engkau sanggup aniaya orang sampai begini?” kata Tok Mula.

Roshil telan air liur. “Tok boleh ubatkan dia?”

“Raden Ehsan boleh,” jawab Tok Mula.

“Kita kena keluarkan dia cepat dari sini. Bahaya jika terus lama di sini,” kata Roshil.

“Engkau tahu sesuatu?” tanya Tok Awal. “Siapa punya angkara ni?”

“Nanti aku ceritakan. Aku akan cuba keluarkan Muhaimin dan tok dari sini secepat mungkin. Hendak ke mana?” tanya Roshil.

“ Pulau Doba,” kata Sayyid Muhaimin yang diam sahaja sejak tadi. Matanya berair menahan sakit.

Hati Roshil tersentuh melihat keadaan Sayyid Muhaimin. Walaupun tidak didengarnya Sayyid Muhaimin mengaduh atau mengeluh sakit tetapi dia tahu betapa peritnya kesakitan yang ditanggung oleh pemuda itu.

“ Pulau Doba?” tanya Roshil.

“Ya. Raden Ehsan, kawan aku yang pakar dalam ilmu perubatan Islam boleh bantu tok. Dia dan kawan-kawan aku yang lain mungkin sedang berada di Pulau Doba sekarang,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Bagaimana mereka tahu engkau ada di sini?” tanya Roshil, kehairanan.

“Mereka tahu aku di sini. Ada pengesan di bahu aku yang tak mampu dikesan oleh apa-apa pengimbas. Mereka akan keluarkan aku dari sini selepas genap sebulan,” beritahu Sayyid Muhaimin terus terang.

“Jadi engkau sengaja biarkan aku tangkap engkau di Gua Balam dulu?” tanya Roshil.

Sayyid Muhaimin tersenyum.

Roshil terkejut dengan apa yang baru diketahuinya itu. “Tapi kenapa?”

“Aku ingin tahu kenapa engkau beria-ia menyerang kami,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Maafkan aku kerana bertindak terburu-buru. Aku sangka engkau dalang di sebalik serangan itu,” kata Roshil.

Roshil tidak dapat menahan perasaan kecewa terhadap dirinya sendiri. Dia juga tidak mampu menahan rasa bersalahnya terhadap Sayyid Muhaimin. Dia tidak sanggup berdepan dengan pemuda baik yang menderita kerana kesilapannya itu. Lalu dia meminta diri. Air matanya hampir gugur ketika dia beredar dari situ.

Roshil bertemu dengan pengarah penjara. Mengarahkan Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dilepaskan dari situ. Tetapi malangnya dimaklumkan bahawa pihak atasan tidak membenarkan sebarang pelepasan dan perpindahan bagi banduan bernombor 01 dan 02 itu. Arahan itu baru berkuat kuasa semalam. Roshil cuba menghubungi Richard Rotchield. Tetapi malangnya  pembantu peribadi Richard Rotchield tidak tahu di mana tuannya itu berada. Apa yang dia tahu Richard Rotchield sedang menghadiri satu mesyuarat sulit selama seminggu.

Roshil kembali ke sel Sayyid Muhaimin.

“Mereka tidak benarkan engkau dan tok dilepaskan atau dipindahkan,” kata Roshil dengan nada kecewa.

“Mengapa?” tanya Tok Mula.

Roshil tiada jawapan untuk itu. “Aku akan usahakan sesuatu. Aku minta engkau bertahan,” janjinya. Kata-kata Katherine tentang rancangan Aharon itu mengganggu fikirannya sekarang. Dia tahu dia perlu segera bertindak. Jika tidak nyawa Sayyid Muhaimin pasti melayang di tangan Aharon.

Sayyid Muhaimin mengangguk.

“Dapat lepaskan hingga ke Pulau Bora pun jadilah. Kawan-kawannya akan ambil alih dari sana,” kata Tok Mula.

“Aku janji akan usahakan sesuatu,” balas Roshil. “Semua ini salah aku…” sambung Roshil menyalahkan diri.

 “Bukan salah engkau,” balas Sayyid Muhaimin.

“Aku penjarakan engkau. Aku seksa engkau. Dan kini engkau disantau kerana aku,” kata Roshil.

“Dia disantau kerana engkau?” tanya Tok Mula.

Roshil menceritakan tentang rancangan Aharon itu dan mengapa rancangan itu dilaksanakan. Kemudian menyalahkan dirinya sekali lagi kerana menjadi penyebab kepada penderitaan Sayyid Muhaimin itu.

“ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala berfirman pada ayat 22 surah Al-Hadid “Tiada satu pun bencana yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Lauh Mahfuz sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH.” Selalu ingat ini,” balas Sayyid Muhaimin.

“Pada ayat 155 hingga 157, ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala berfirman pula : “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi roji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk,” sambung Sayyid Muhaimin.

 Tok Awal mengangguk. Betapa dia berasa Sayyid Muhaimin seorang pemuda yang begitu istimewa. Pemuda itu sudah berada pada makam reda, atas dari makam sabar. Sementara Roshil terkesan dengan kata-kata Sayyid Muhaimin itu. Dia berasa betapa besarnya jiwa pemuda itu. Entah mengapa dia berasa sebak tiba-tiba. Tidak pernah ditemuinya seseorang yang sebaik Sayyid Muhaimin sebelum ini. Dibaling dengan batu tapi dibalasnya dengan buah.

 “Rasulullah SAW  ada bersabda, “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit, melainkan ALLAH akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya. Hadis riwayat Bukhari dan juga Muslim,” sambung Sayyid Muhaimin lagi.

“ Dan “Fa in nama al ‘us ri yusran. In nama al ‘us ri yusran.” Ayat lima dan enam surah Al-Insyirah. Terjemahannya ialah : ‘Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan’,” jelas Sayyid Muhaimin lagi lalu terus memegang bahu Roshil. “Engkau tak bersalah,” tegasnya. Dan ketika itulah dia sudah menganggap Roshil lebih daripada seorang sahabat. Seperti adik kandungnya sendiri. Yang perlu dibimbing untuk bersama-sama di dalam cahaya Ilahi.

Roshil yang sebak sejak tadi mula menitiskan air mata. Akhirnya perasaan benci, dendam dan meluat terhadap Sayyid Muhaimin itu bertukarlah menjadi kasih dan sayang. Betapa cepatnya perasaan itu berubah. Betapa mudahnya keluhuran budi Sayyid Muhaimin menyentuh hatinya.

Roshil terus merangkul Sayyid Muhaimin. Air matanya membasahi bahu Sayyid Muhaimin. Segera dia berasa Sayyid Muhaimin tidak ubah seperti abang kandungnya. Abang kandung yang selalu mengingatkan adiknya tentang hakikat sesuatu perkara.

“Aku akan usahakan supaya engkau keluar dari sini. Ini janji aku,” kata Roshil sebaik melepaskan rangkulan. Kemudian dia segera pergi dari situ. Agak malu dengan tindakannya sebentar tadi. Tetapi dia berasa lega kerana dapat meluahkan perasaannya pada seseorang yang kini dianggapnya sebagai abang kandungnya itu.

Sayyid Muhaimin berasa betis kanannya berdenyut-denyut. Dia menarik kaki seluarnya. Terkejut bila mendapati tanda lahirnya yang sudah lama pudar itu kini menghitam semula.

Tok Mula terkejut dengan apa yang dilihatnya. Pantas melihat Sayyid Muhaimin atas bawah. Pemuda di hadapannya itu tidak ada iras Sharifah Khadra. Tidak juga mirip Sayyid Irfan. Tetapi tanda lahirnya itu menjelaskan segalanya. Air matanya mengalir dengan tidak semena-mena.

“Kenapa tok?” tanya Sayyid Muhaimin. Cepat mengesan air mata yang mengalir membasahi pipi Tok Mula.

Panggilan ‘tok’ yang dilafazkan oleh Sayyid Muhaimin itu kini benar-benar menyentuh perasaan Tok Mula yang paling halus. Tidak disangkanya pemuda yang amat istimewa itu adalah benar-benar cucu kandungnya. Dia terus menangis sehingga menghairankan Sayyid Muhaimin di sel bertentangan.

“Kenapa tok?” tanya Sayyid Muhaimin bimbang.

“Cucuku…” jawab Tok Mula dalam sedu yang menyayat hati. “Tok adalah ayahanda bondamu, Sharifah Khadra. Ayahanda mertua ayahandamu Sayyid Irfan.”

Sayyid Muhaimin terkejut mendengar pengakuan Tok Mula. “Tok adalah Sayyid Awalluddin?” tanyanya dalam nada suara yang bergetar.

“Ya, cucuku,” jawab Tok Mula yang sebenarnya adalah Sayyid Awalluddin itu.

“Ya ALLAH. Syukur kepada ALLAH,” balas Sayyid Muhaimin. Matanya berkaca lalu air mata pun menitislah.

Tok Mula meminta maaf kepada Sayyid Muhaimin kerana terpaksa menyembunyikan identiti sebenarnya. Dia perlu mengesahkan kebenaran kata-kata Sayyid Muhaimin bahawa dia adalah anak Sharifah Khadra dan Sayyid Irfan terlebih dahulu. Dia terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga kerana percaya Richard Rotchield pasti tidak berhenti mencarinya. Dia ada terfikir kemungkinan Sayyid Muhaimin adalah agen Richard Rotchield yang menyamar sebagai cucu kandungnya bagi mendedahkan identitinya yang sebenar. Tetapi semakin lama bersama semakin dia percaya Sayyid Muhaimin bukan agen Richard Rotchield. Tetapi tidak pula dia menganggap Sayyid Muhaimin adalah cucu kandungnya yang sebenar kerana betis Sayyid Muhaimin yang dilihatnya semasa mengambil wuduk di Gua Balam tidak bertanda lahir. Dia lebih menganggap Sayyid Muhaimin seorang pemuda yang amat istimewa. Tetapi melihat Sayyid Muhaimin mudah membuatkannya teringatkan cucu kandungnya itu yang tidak diketahui bagaimana rupanya.

Dan sekarang sesungguhnya Sayyid Muhaimin, pemuda istimewa itu, rupa-rupanya adalah cucu kandungnya!

Jika tidak kerana dipisahkan oleh sel mahu sahaja mereka menerpa ke arah satu sama lain, berpelukan dan menangis melepas rindu sambil mengucap syukur kepada ALLAH yang telah mengizinkan pertemuan itu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s